Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentagon akan robohkan jeti operasi bantuan Gaza

Projek bernilai AS$230j itu antara lain, hadapi masalah gelora laut sejak ia mula beroperasi pada Mei 2024
Jul 22, 2024 | 5:30 AM
Sebuah trak membawa bantuan kemanusiaan merentasi dermaga sementara untuk menghantar bantuan, di luar Jaluran Gaza. Dalam hampir dua bulan sejak ia mula dipasang di pinggir pantai, jeti sementara di luar Gaza itu hanya beroperasi kira-kira 20 hari, kata pegawai tentera.
Sebuah trak membawa bantuan kemanusiaan merentasi dermaga sementara untuk menghantar bantuan, di luar Jaluran Gaza. Dalam hampir dua bulan sejak ia mula dipasang di pinggir pantai, jeti sementara di luar Gaza itu hanya beroperasi kira-kira 20 hari, kata pegawai tentera. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, tidak lama lagi akan menutup secara kekal dermaga sementara bernilai AS$230 juta ($309 juta), yang dibina oleh tentera Amerika Syarikat untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata pegawai Amerika pada 11 Julai.

“Saya menjangkakan dalam tempoh yang agak singkat, kami akan menghentikan operasi jeti,” kata Encik Jake Sullivan, penasihat keselamatan negara Encik Biden, kepada pemberita.

Pada 10 Julai, kakitangan dari Komando Pusat tentera cuba dan gagal untuk menyambung semula jeti sementara ke pantai di Gaza, selepas laut bergelora.

Ia memaksa pengendali mengalihkan struktur itu beberapa hari lalu, untuk mengelakkan kerosakan, kata jabatan pertahanan Amerika, Pentagon.

Dalam satu kenyataan, Mejar Jeneral Patrick S. Ryder, setiausaha akhbar Pentagon berkata, usaha terbaru untuk menambat semula dermaga itu gagal kerana “isu teknikal dan berkaitan cuaca”.

Jeneral Ryder berkata dalam kenyataan pada 11 Julai bahawa jeti, kapal sokongan dan peralatan lain akan kembali ke pelabuhan di Ashdod, Israel, “tempat ia akan kekal sehingga diberitahu kelak. Tarikh berlabuh semula belum ditetapkan.”

Encik Biden mengarahkan tentera Amerika supaya mula membina jeti itu pada Mac. Ketika itu, beliau dikritik hebat kerana tidak berbuat lebih banyak untuk mengekang tindak balas tentera Israel terhadap serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober.

Pada masa itu, pihak berkuasa kesihatan memberi amaran bahawa Gaza berada di jurang kebuluran.

Encik Sullivan menjelaskan bahawa jeti itu tidak diperlukan seperti dahulu kerana lebih banyak lintasan darat untuk menghantar bantuan ke Gaza telah dibuka dalam beberapa minggu kebelakangan ini, di bawah tekanan dari Rumah Putih.

“Isu sebenar sekarang bukan mengenai mendapatkan bantuan ke Gaza.

“Ia mengenai mendapatkan bantuan di sekitar Gaza dengan berkesan. Tetapi terdapat banyak perkara yang perlu kita selesaikan, termasuk pelanggaran undang-undang dan kumpulan bersenjata.

“Dalam beberapa kes, Hamas sendiri cuba mengganggu dan menggagalkan penyaluran bantuan kemanusiaan,” katanya.

Namun, kumpulan kemanusiaan telah mengadu bahawa jeti itu sebahagian besarnya gagal dalam misinya.

Dalam hampir dua bulan sejak ia mula-mula dipasang di pantai, jeti itu telah beroperasi hanya kira-kira 20 hari, kata pegawai tentera.

Selebihnya, ia sedang dibaiki selepas laut bergelora memecahnya, dipisahkan untuk mengelakkan kerosakan selanjutnya atau dihentikan sementara operasinya atas alasan keselamatan.

Ditanya sama ada jeti sementara itu berjaya, Encik Sullivan menangkis kritikan tersebut.

Pentagon berkata pada 11 Julai bahawa 8,100 tan metrik bantuan telah dihantar ke pantai menggunakan jeti itu, sejak operasi bermula pada 17 Mei.

Jeti itu hanya merupakan pusat perhentian, sementara pentadbiran Encik Biden mendesak Israel agar membenarkan lebih banyak makanan dan bekalan lain masuk ke Gaza melalui laluan darat, cara yang jauh lebih cekap untuk menyalurkan bantuan.

Tetapi matlamat sederhana untuk dermaga gagal, kata beberapa pegawai tentera Amerika.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Israel telah memberikan pertubuhan bantuan lebih akses ke Gaza, tetapi kumpulan itu berkata keadaan masih teruk di kebanyakan kawasan enklaf tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg