Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BEKALAN AYAM DI MALAYSIA

Penternak mahu cara lebih baik mantapkan harga makanan ayam

Kerajaan juga digesa permudah, segerakan pembayaran subsidi kepada penternak
Jun 04, 2022 | 05:30 AM



PETALING JAYA: Penternak ayam Malaysia mahu mekanisme lebih baik untuk memantapkan harga makanan ayam dan mempercepat pembayaran subsidi kerajaan, selepas kerajaan mengumumkan bakal meniadakan subsidi buat penternak ayam mulai 1 Julai.



Seorang penternak ayam, Encik Mohd Fathi Jais, 49 tahun, berkata kerajaan Malaysia perlu membantu penternak ayam tempatan dengan memantapkan dan menjadikan harga makanan ayam lebih berpatutan di pasaran.



Beliau berkata harga makanan ayam telah meningkat sejak 2020.



"Jika kos makanan ayam tinggi, ia akan menaikkan harga ayam ternakan... Pada musim lalu, saya mengalami kerugian kira-kira RM60,000 ($18,840) kerana makanan ayam bermutu rendah mengakibatkan ayam saya tidak membesar seperti yang diharapkan pada masa ayam-ayam itu bersedia buat pasaran," katanya.



Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan baru-baru ini kerajaan tidak akan lagi memberi subsidi kepada penternak ayam mulai 1 Julai.



Sebaliknya, dana akan disalurkan terus kepada rakyat yang memerlukan bantuan, khususnya mereka yang dipanggil kumpulan B40, iaitu golongan berpendapatan paling rendah.



Datuk Ismail Sabri berkata langkah itu bertujuan memastikan rakyat tidak terbeban oleh kenaikan harga ayam.



Encik Mohd Fathi, yang menceburi industri ternakan ayam sejak 2018, berkata kerajaan juga perlu melihat cara memudahkan dan menyegerakan pembayaran subsidi kepada penternak ayam yang memohon sebelum ini.



"Saya sudah membuat permohonan (subsidi) pada Februari lalu tetapi sekarang sudah Jun dan saya masih belum menerima subsidi," ujarnya, yang mempunyai ladang ayam di Ijuk, Selangor.



Kos menternak seekor ayam seberat 2.2kg dianggarkan RM12 seekor, menurutnya.



"Jika kos makanan ayam meningkat, ia akan menyukarkan kami," tambah beliau.



Seorang lagi penternak ayam, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Tan, 45 tahun, berkata pihak berkuasa harus memudahkan penternak baru mendapatkan lesen menternak ayam.



"Selain itu, kerajaan boleh menimbangkan untuk menyediakan kadar lebih munasabah bagi menjual ayam. Kami juga sedang mencari pekerja asing buat ladang kami," katanya.



Timbalan presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Encik Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata adalah wajar kerajaan menghapuskan subsidi buat penternak ayam kerana tidak banyak respons terhadapnya.



"Ini mungkin kerana ramai daripada mereka adalah penternak besar. Mungkin lebih baik (subsidi) digunakan buat orang lain, terutama mereka dalam kumpulan B40," katanya.



Namun, beliau berharap kerajaan akan terus mencari jalan terbaik bagi memastikan bekalan ayam kekal mantap dan harga ayam mampu dibeli pengguna.



Mulai 1 Jun lalu, Malaysia melarang eksport ayam segar ke Singapura sebagai langkah menambah bekalan ayam segar dalam negara yang menghadapi kekurangan. - The Star.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >