NEW YORK: Penulis Cik E. Jean Carroll pada Isnin membuat pindaan dua kes saman malu terhadap mantan presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menuntut sekurang-kurangnya AS$10 juta ($13 juta) pampasan tambahan, ekoran ulasan yang dibuat oleh Encik Trump melalui stesen CNN, selepas juri mendapatinya melakukan kekerasan seksual ke atas Cik Carroll.
Juri mahkamah di Manhattan, pada 9 Mei lalu, mendapati Encik Trump telah melakukan kekerasan seksual ke atas Cik Carroll pada 1990 dan kemudian pada Oktober 2022 memfitnah wanita itu berbohong tentang kejadian itu.
Juri berkenaan memerintahkan Encik Trump membayar pampasan kepada Cik Carroll sejumlah AS5 juta. Encik Trump mengajukan rayuan terhadap keputusan itu dan menyifatkan dakwaan Cik Carroll sebagai “penipuan lengkap”.
Pada Isnin, peguam Cik Carroll menarik perhatian kepada ulasan Encik Trump di halaman media sosial, Truth Social, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “memalukan” dan mengkritik Cik Carroll melalui stesen CNN pada 10 Mei.
Peguam Cik Carroll berhujah bahawa kenyataan fitnah yang dibuat Encik Trump, selepas keputusan mahkamah, “menunjukkan niat jahatnya terhadap Cik Carroll, perasaan benci dan dendam”.
“Kelakuannya ini harus dikenakan tuntutan pampasan yang lebih tinggi,” ujar beliau.
Peguam Encik Trump tidak segera respons ketika diminta mengulas perkara itu pada Isnin.
Cik Carroll membuat pengakuan semasa perbicaraan bahawa Encik Trump memujuknya masuk ke bilik mencuba pakaian, di bahagian pakaian dalam wanita di sebuah kedai serbaneka, Bergdorf Goodman di Manhattan, sama ada pada 1995 atau 1996, menolaknya ke dinding dan merogolnya.
Dua rakan Cik Carroll memberitahu mahkamah bahawa Cik Carroll menceritakan kejadian itu kepada mereka sejurus selepas insiden itu.
Encik Trump membuat ulasan kepada CNN, pada hari keputusan mahkamah itu diumumkan, bahawa beliau “tidak pernah bertemu wanita itu,” dan menyifatkan kenyataan Cik Carroll sebagai “penipuan,” “mereka-reka cerita”.
Kenyataan itulah yang menjadi asas bagi Cik Carroll mengajukan tuntutan pindaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg