Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putin mohon maaf kepada Azerbaijan, tapi tidak mengaku tentera Russia bertanggungjawab dalam nahas pesawat

Dec 29, 2024 | 3:39 PM
Seorang lelaki meletakkan gambar mangsa nahas pesawat, Mahammadali Eganov, 13 tahun, di kuburnya di Baku, Azerbaijan, pada 28 Disember.
Seorang lelaki meletakkan gambar mangsa nahas pesawat, Mahammadali Eganov, 13 tahun, di kuburnya di Baku, Azerbaijan, pada 28 Disember. - Foto REUTERS

MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, memohon maaf pada 28 Disember atas insiden melibatkan pesawat Azerbaijan Airlines, namun tidak mengakui ia mungkin ditembak tentera Russia. 

Beliau namun mengaku tentera Russia sedang beroperasi ketika pesawat itu cuba mendarat di Grozny dan memohon maaf kepada Encik Ilham Aliyev, presiden Azerbaijan atas “insiden tragik” tersebut, tanpa mengatakan pertahanan udara Russia yang menembaknya.

Pada 26 Disember, pesawat J2-8243 itu terhempas dengan diselubungi api dekat kota Aktau di Kazakhstan selepas melencong dari kawasan di selatan Russia di mana Moscow berulang kali menggunakan sistem pertahanan udara ke atas serangan dron dari Ukraine. Insiden itu meragut 38 nyawa.

Sebelum ini, Moscow mengatakan bahawa Grozny – tempat pesawat itu sepatutnya mendarat tetapi sebaliknya terhempas di Kazakhstan barat – telah diserang oleh dron Ukraine pada hari kejadian.

Namun Baku, ibu kota Azerbaijan pula berkata, Encik Aliyev telah “menegaskan” kepada Encik Putin bahawa pesawat itu telah diserang oleh gangguan luar di ruang udara Russia.

Moscow berkata, Encik Putin memberitahu Encik Aliyev bahawa pesawat itu cuba mendarat di Grozny “beberapa kali”.

“Pada masa itu, Grozny, Mozdok, dan Vladikavkaz diserang oleh dron Ukraine dan pertahanan udara Rusia sedang menangkis serangan-serangan ini,” kata Encik Putin.

Ia turut menambah: “Vladimir Putin telah memohon maaf atas insiden tragik yang berlaku di ruang udara Rusia dan sekali lagi menyampaikan ucapan takziah yang mendalam dan ikhlas kepada keluarga mangsa yang terkorban, serta mengharapkan pemulihan segera kepada mereka yang terjejas.”

Satu kenyataan dari pejabat Encik Aliyev mengenai panggilan telefon itu menunjukkan tiada keraguan bahawa pesawat itu telah ditembak di ruang udara Russia.

Pejabat Encik Aliyev berkata Baku mahukan siasatan “bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg