PARIS: Penunjuk perasaan di seluruh Eropah bakal berhimpun di jalanan pada 20 November sebagai tanda perpaduan rentas sempadan, dengan menyertai demonstrasi yang diselaraskan bagi membantah peningkatan kos sara hidup, penenteraan dan pelbagai isu lain dalam usaha meningkatkan tekanan terhadap pemerintah masing-masing.

Selepas beberapa minggu bantahan diadakan di beberapa negara Eropah, kesatuan sekerja dan aktivis dari Perancis, Britain, Belgium, Sepanyol, Italy, Portugal dan Greece ingin meningkatkan tekanan dengan menganjurkan perhimpunan serentak pada 20 November serta sepanjang hujung minggu ini.

Meskipun rasa tidak puas hati di peringkat tempatan menjadi dorongan utama, gerakan yang telah menghimpunkan ratusan ribu orang ke jalanan itu dihubungkan oleh kebimbangan bersama di seluruh benua.

Kebimbangan itu termasuk kos perumahan yang melonjak, keadaan pembelajaran yang semakin merosot, gaji tidak naik serta peningkatan dalam perbelanjaan ketenteraan.

Demonstrasi berkenaan berlangsung ketika pencerobohan Russia ke atas Ukraine hampir genap lima tahun dan menjelang beberapa siri pilihan raya penting di Sepanyol, Perancis, Italy dan Greece.

Satu gabungan yang diterajui golongan belia berkata golongan muda di lebih 25 negara dijangka menyertai tunjuk perasaan berkenaan.

“Ini merupakan acara yang amat penting dalam menyediakan wadah bagi menyuarakan pandangan belia di seluruh negara serta melahirkan keperluan kami terhadap perubahan sistemik dan segera demi masa depan kami,” kata pelajar berusia 17 tahun, Zennor Tyndale-Biscoe, yang merancang menyertai demonstrasi di Truro, barat daya England.

“Kami amat yakin pada suara belia dan kesannya terhadap dunia orang dewasa,” kata Tyndale-Biscoe.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Gabungan diterajui belia itu menggesa agar “perubahan radikal terhadap sistem kehidupan sedia ada” dilaksanakan dan menggalakkan golongan muda membantah penenteraan serta ketidakadilan sosial.

“Perjuangkan masa depan kami, bukan peperangan mereka!” tegas gabungan yang menghimpunkan lebih 50 kumpulan diterajui belia dan pelajar itu.

Antara penganjur demonstrasi hujung minggu ini ialah gerakan Ves Kuning Perancis, sebuah gerakan yang pernah menggugat kedudukan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menerusi protes jalanan pada 2018 dan 2019.

Kesatuan sekerja dan aktivis hak perumahan telah mengemukakan enam tuntutan utama merangkumi hak perumahan terjamin untuk semua sehingga kepada pelaksanaan cukai ke atas golongan kaya serta penamatan dasar persenjataan semula.

Ketika Kesatuan Eropah (EU) berusaha memperkukuh keupayaan persenjataannya bagi menghadapi ancaman Russia, penganjur bantahan menegaskan bahawa dana yang diperuntukkan bagi tujuan persenjataan semula itu sepatutnya dibelanjakan untuk pendidikan, dasar belia serta perumahan.

Di Jerman, kebimbangan mengenai kemungkinan pengenalan semula perkhidmatan negara berbentuk ketenteraan telah mendorong ramai golongan muda untuk menyertai bantahan berkenaan.

“Ketika jumlah wang yang kelihatan tidak terhad dicurahkan kepada sektor ketenteraan dan prasarana sokongan, sistem kebajikan negara pula semakin terhakis,” kata seorang pelajar dan penunjuk perasaan dari Jerman, Hannes Kramer.

Meskipun penganjur memaklumkan ratusan bantahan dan mogok dijangka berlangsung di pelbagai negara termasuk Portugal, Croatia dan Switzerland, bilangan sebenar peserta masih sukar diramalkan.

Bantahan di negara Eropah itu mendapat inspirasi daripada tindakan pelajar Perancis yang mula menyekat sekolah menengah mereka pada pertengahan September bagi menuntut keadaan pembelajaran lebih baik.

Gerakan pelajar sekolah tersebut seterusnya mencetuskan kempen di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga barang yang melambung tinggi, perkhidmatan awam yang tidak memadai serta keganasan polis. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti