Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Pemerintah AS ‘mungkin’ ditutup jika rundingan Republikan, Demokrat gagal

Oct 1, 2025 | 3:45 PM
presiden amerika syarikat, donald trump
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump menyalahkan pihak Demokrat atas rundingan yang terhenti. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata bahawa pemerintah Amerika mungkin menyaksikan penutupan pertamanya dalam tempoh lebih enam tahun, dengan pendanaan tamat pada tengah malam (30 September) sedang tiada kejayaan dilihat dalam rundingan antara pihak Demokrat dengan Republikan.

“Kami mungkin terpaksa melakukan penutupan ini,” kata Encik Trump kepada pemberita di Pejabat Oval, hanya beberapa jam sebelum tarikh akhir untuk mencapai perjanjian.

“Tiada apa yang tidak dapat dielakkan, tetapi saya akan menyatakan ia kemungkinan berlaku,” tegasnya.

Penilaian Encik Trump dibuat selepas mesyuarat terakhir di Rumah Putih pada 29 September tidak membuahkan hasil, dengan anggota tertinggi Demokrat di Senat, Encik Chuck Schumer, berkata selepas itu bahawa “jurang besar” kekal di antara kedua-dua pihak.

Di sebalik kekurangan kemajuan, rundingan itu agak tegang, dengan ahli tertinggi Demokrat di Dewan Perwakilan, Encik Hakeem Jeffries, mengecam Encik Trump berhubung video buatan kecerdasan buatan (AI) berbaur “perkauman dan palsu” yang disiarkan oleh Presiden Trump selepas mesyuarat itu.

“Tuan Presiden, apabila anda mempunyai sesuatu untuk diperkatakan tentang saya, jangan keluarkan melalui video AI yang berbentuk perkauman dan palsu,” kata Encik Jeffries pada sidang akhbar pada 30 September.

“Apabila saya kembali ke Pejabat Oval, katakan secara langsung kepada saya,” tambahnya.

Video itu mengejek Encik Schumer dan Encik Jeffries menggunakan istilah kesat, menggambarkan mereka secara palsu bahawa mereka berdua ada kaitan dengan rancangan menarik pendatang tanpa izin dengan ganjaran, selain imej yang mengaibkan dua pemimpin Demokrat itu.

Encik Trump menyalahkan pihak Demokrat di atas rundingan yang terhenti dan mengancam untuk menghukum parti itu dan pengundinya semasa sebarang pemberhentian dengan menyasarkan keutamaan progresif parti itu serta memaksa pemotongan pekerjaan sektor awam secara besar-besaran.

Tindakan itu akan menambah kesulitan pekerja pemerintah selepas pemecatan berskala besar yang didalangi Jabatan Kecekapan Kerajaan di bawah pimpinan taikun Encik Elon Musk pada awal 2025.

Demokrat, yang membentuk minoriti dalam kedua-dua Dewan Kongres, telah berusaha menonjolkan pengaruh dan keupayaannya ke atas pemerintah persekutuan, lapan bulan dalam penggal kedua Encik Trump yang menyaksikan keseluruhan agensi pemerintah dikurangkan kakitangannya.

Senat yang mempunyai 100 anggota memerlukan 60 undi untuk meluluskan rang undang-undang pembiayaan pemerintah – tujuh undi lebih tinggi daripada kerusi Senat milik Republikan.

Tanpa tanda kompromi, undian Senat akan berlangsung pada sebelah petang mengenai lanjutan pembiayaan jangka pendek yang telah diluluskan Dewan Perwakilan, walaupun pembiayaan itu dijangka tidak akan berjaya di Senat.

Penutupan pemerintah akan menyaksikan operasi yang tidak penting terhenti, menyebabkan ratusan ribu penjawat awam tanpa gaji buat sementara waktu dan menjejas pembayaran faedah jaringan keselamatan sosial.

Penutupan sedemikian amat tidak popular.

Kedua-dua pihak Demokrat dan Republikan cuba mengelakkan senario itu – sambil menyalahkan satu sama lain sekiranya berlaku penutupan.

Republikan telah mencadangkan untuk melanjutkan pembiayaan sedia ada sehingga akhir November, sementara menunggu rundingan mengenai rancangan pembiayaan jangka panjang.

Demokrat pula mahu melihat perbelanjaan penjagaan kesihatan untuk isi rumah berpendapatan rendah dipulihkan, tetapi mungkin dihapuskan oleh pentadbiran Encik Trump. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg