Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenutupan sekolah akibat jerebu kejutkan ibu bapa yang bekerja
Penutupan sekolah akibat jerebu kejutkan ibu bapa yang bekerja
KUALA LUMPUR: Pengumuman penutupan sekolah lewat malam 8 Oktober mengejutkan ramai ibu bapa bekerja yang terpaksa mengatur penjagaan anak untuk keesokan harinya.
Seorang perunding, Encik Remus Tan, 51 tahun, dari Ampang, perlu memastikan anak perempuannya yang berusia 16 tahun terurus di rumah sebelum beliau keluar bekerja.
Anaknya yang ingin mengekalkan rekod kehadiran penuh ke sekolah terpaksa mengisi masa dengan membaca dan bermain piano.
“Saya tidak membawa anak saya keluar melainkan perlu. Zarah halus PM2.5 di udara bukan sesuatu yang remeh,” katanya.
PM2.5 ialah zarah halus bersaiz 2.5 mikron atau lebih kecil yang boleh sampai jauh ke dalam paru-paru.
Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan sementara sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akibat jerebu yang semakin buruk.
Pereka grafik bebas Encik Mazlan Shah, 33 tahun, dari Shah Alam, terpaksa menjaga anak lelakinya berusia 10 tahun sementara isterinya, penyelia kilang, terus bekerja.
Majikan isterinya hanya menawarkan cuti kecemasan, menyebabkan Encik Mazlan menyesuaikan jadual kerjanya.
“Tidak semua ibu bapa mempunyai pilihan ini,” katanya sambil menggesa kerajaan membantu pekerja yang terjejas.
Suri rumah Cik Anis, 43 tahun, dari Damansara Perdana pula menghadapi cabaran mengisi masa anak lelaki kembarnya yang berusia lapan tahun di apartmen.
Beliau membawa mereka ke taman permainan tertutup di pusat beli-belah dan berharap orang ramai lebih memahami ibu bapa yang menjaga anak yang aktif.
Pembekal makanan dan minuman, Encik Marcus Mah, yang mengendalikan lima lori dan menggaji lapan pekerja di Melaka, membenarkan seorang pekerja membawa anaknya ketika membuat penghantaran.
“Jika pekerja tiada penjaga anak, saya benarkan cuti kecemasan.Saya boleh mengambil alih tugas, termasuk penghantaran.
“Kita perlu bertimbang rasa dan membantu pekerja yang menjalankan perniagaan kita,” katanya. - Agensi berita