Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu memburuk di M’sia: Sekolah di 6 negeri, Wilayah Persekutuan ditutup
Jerebu memburuk di M’sia: Sekolah di 6 negeri, Wilayah Persekutuan ditutup
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang semakin buruk di Malaysia memaksa sekolah di enam negeri, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, ditutup pada 9 Oktober.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata negeri terjejas ialah Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain Johor yang sekolahnya ditutup sehari lebih awal, mulai 8 Oktober.
Bagaimanapun, di Pahang, beliau berkata penutupan hanya membabitkan sekolah dan institusi pendidikan di daerah Rompin.
“Sekolah lain di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, pada malam 8 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, 38 kawasan di 11 negeri di Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, dengan Seremban, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 183 setakat jam 10 pagi pada 9 Oktober.
Datuk Fadhlina berkata beliau sudah meminta semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk terus memantau keadaan jerebu serta mengambil tindakan segera sekiranya keadaan memerlukan.
“Saya juga memahami sebarang keputusan penutupan sekolah, memberi kesan kepada urusan harian ibu bapa.
“Pada masa akan datang, kita akan memastikan sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya.
Beliau berkata ibu bapa juga diminta terus mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD dan JPN masing-masing.
Katanya, keselamatan serta kesihatan anak-anak dan warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan kementerian.
Di Pulau Pinang, sekolah beroperasi seperti biasa, namun aktiviti luar ditangguhkan berikutan jerebu, menurut JPN Pulau Pinang.
Selain sekolah, semua premis Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor serta institusi pendidikan Islam di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri di enam negeri terbabit turut ditutup.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menitahkan sekolah di kawasan terjejas jerebu ditutup jika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) kekal antara 150 hingga 180 untuk tempoh berpanjangan.
Sultan Ibrahim berkata keselamatan dan kesihatan pelajar perlu diberi keutamaan menyusuli keadaan jerebu teruk yang melanda negara ketika ini.
Sementara itu, sebanyak 38 kawasan di 11 negeri di Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Seremban, di Negeri Sembilan, mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 186 setakat jam 10 pagi pada 9 Oktober, diikuti Nilai dengan bacaan 183.
Beberapa kawasan di Johor; Selangor; Melaka; Perak; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya; Pahang; Kedah; Pulau Pinang dan Terengganu turut merekodkan bacaan IPU tahap tidak sihat antara 153 hingga 183.