MAKKAH: Persiapan kemudahan dan prasarana untuk jemaah haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina kini telah siap lebih 95 peratus hasil kerjasama dengan syarikat penyedia perkhidmatan haji, Masyariq Al-Masyiah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Encik Mohd Hisham Harun, berkata khemah, permaidani, tilam, bantal dan sistem penyaman udara tambahan telah disediakan bagi memastikan keselesaan jemaah, khususnya dalam menghadapi cuaca panas yang agak mencabar pada 2025.
Menurut beliau, sehingga kini hampir 95 peratus khemah di Arafah telah dipasang dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hari lagi.
Tambahnya, jumlah jemaah dalam sesebuah khemah bergantung kepada saiz khemah.
“Yang bersaiz besar boleh memuatkan lebih 200 orang. Setiap khemah juga dilabel dengan nombor maktab dan nombor khemah yang jelas.
“Jemaah haji boleh membuat semakan nombor khemah masing-masing melalui aplikasi THhujjaj dalam masa terdekat,” katanya kepada agensi berita Malaysia selepas meninjau persiapan khemah jemaah haji di Arafah dan Mina, di sini.
Bagaimanapun, ujar beliau, keadaan di Mina lebih sempit berbanding Arafah, sekali gus mengehadkan kapasiti khemah yang hanya mampu menampung sekitar 15 hingga 20 orang pada satu-satu masa.
Dalam pada itu, beliau berkata aspek makanan juga diberi keutamaan.
Hidangan disediakan menerusi kaedah ‘ready to eat meals’ (RTE) yang lebih mudah dan pantas untuk dinikmati jemaah.
Tambah beliau, bekalan air mineral turut disediakan secukupnya bagi memastikan jemaah kekal terhidrat sepanjang berada di kawasan Arafah.
“Insya-ALLAH, kualiti makanan kali ini akan lebih baik berbanding tahun lalu (2024),” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa persediaan pada 2025 dilakukan lebih awal, sekali gus Tabung Haji (TH) mempunyai masa untuk memberikan pandangan berhubung penambahbaikan yang boleh dilaksanakan demi kebajikan dan kemudahan jemaah haji.
“Kita akan cuba pastikan semua jemaah haji Malaysia mempunyai tempat di Mina dan keselesaan serta kemudahan yang diberikan kepada jemaah diteruskan seperti yang dirancang,” jelas beliau.
Berhubung langkah menghadapi kemungkinan strok haba, Encik Mohd Hisham menjelaskan bahawa setiap khemah sama ada di Arafah atau Mina dilengkapi dengan kemudahan klinik.
“Petugas kesihatan TH juga bersiap sedia mengambil tindakan awal sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Sekiranya perlu, kita turut sediakan ambulans untuk membawa pesakit yang mengalami strok haba ke hospital berhampiran sama ada di Mina mahupun di Arafah,” katanya.
Jemaah haji diingatkan agar tidak keluar dari khemah masing-masing, terutamanya antara 10 pagi dengan 4 petang semasa berada di Arafah dan Mina bagi mengelakkan risiko strok haba yang boleh mengancam nyawa.
Langkah itu selaras dengan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang mengesyorkan pelaksanaan ‘lockdown’ pada waktu tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg