Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis: Jemaah haji S’pura di Tanah Suci dalam keadaan baik meski cuaca panas

May 26, 2025 | 7:16 PM
Jemaah haji Singapura di Makkah berada dalam keadaan sihat meski cuaca panas terik, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang turut menasihatkan agar jemaah meminum air secukupnya dan mengelakkan kegiatan luar semasa suhu tinggi.
Jemaah haji Singapura di Makkah berada dalam keadaan sihat meski cuaca panas terik, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang turut menasihatkan agar jemaah meminum air secukupnya dan mengelakkan kegiatan luar semasa suhu tinggi. - Foto HALIJAH TRAVELS FACEBOOK

Jemaah haji Singapura di Makkah berada dalam keadaan sihat meski cuaca panas terik, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 26 Mei.

Sebagai respons kepada Berita Harian (BH) susulan laporan sekatan pergerakan di Arab Saudi baru-baru ini akibat suhu yang meningkat, Muis berkongsi terdapat kurang daripada 100 anggota jemaah haji Singapura berada di Makkah kini dan kesemuanya berada dalam keadaan baik, walaupun suhu melebihi 40 darjah Celsius sejak kebelakangan ini. 

Rombongan pertama jemaah haji Singapura, yang terdiri daripada 43 anggota jemaah dan tiga pegawai di bawah Halijah Travels berlepas pada 22 Mei.

Muis berkata: “Pada masa ini, kurang daripada 100 anggota jemaah haji Singapura berada di Makkah dan semuanya berada dalam keadaan sihat.

“Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (Amtas), firma ejen penjualan (GSA) dan pihak berkuasa Saudi dalam pengurusan selamat jemaah haji kami sepanjang tempoh haji.”

Rombongan pertama itu pada awalnya dijadual berlepas dengan penerbangan Scoot pada 4.05 petang menuju ke Jeddah, namun penerbangan tersebut ditangguhkan dan berlepas pada 6 petang.

Menjawab pertanyaan BH mengenai pengaturan bagi rombongan lain yang akan datang dalam beberapa hari akan datang, Muis berkata:

“Dengan suhu mencecah melebihi 40 darjah Celsius dalam beberapa hari kebelakangan ini, SPAO akan memantau dengan teliti keadaan dan kerap berhubung dengan pihak berkuasa Saudi, sementara kami menunggu ketibaan lebih ramai jemaah dari Singapura.”

Rombongan kedua jemaah haji pula dijadual berangkat pada 24 Mei, manakala rombongan terakhir pula akan bertolak pada 2 Jun.

“Jemaah haji dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu seperti meminum air secukupnya, mengelakkan kegiatan luar semasa suhu memuncak, dan mendapatkan rawatan perubatan segera jika mereka mengalami sebarang ketidakselesaan,” kata Muis lagi.

Menurut agensi berita pada 25 Mei, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan arahan yang menyarankan sekatan pergerakan jemaah di kawasan Arafah dan Mina pada waktu kemuncak haba sebagai langkah pencegahan terhadap risiko strok haba.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg