Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyerang Salman Rushdie disabit kesalahan pengganasan, sokong Hezbollah
Penyerang Salman Rushdie disabit kesalahan pengganasan, sokong Hezbollah
Penyerang Salman Rushdie disabit kesalahan pengganasan, sokong Hezbollah
NEW YORK: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat berketurunan Lebanon didapati bersalah oleh juri mahkamah persekutuan atas kesalahan melakukan perbuatan keganasan dan menyokong kumpulan bersenjata Hezbollah selepas menyerang novelis terkenal Salman Rushdie dalam satu serangan tikaman pada Ogos 2022 yang menyebabkan penulis itu buta sebelah mata.
Keputusan yang dicapai di Mahkamah Persekutuan Buffalo itu membuka jalan kepada Hadi Matar, 28 tahun, berdepan hukuman penjara seumur hidup, selain hukuman penjara 25 tahun yang telah dijatuhkan sebelum ini oleh mahkamah negeri New York atas kesalahan cubaan membunuh.
Hakim dijadual menjatuhkan hukuman terhadap Matar pada 3 November depan.
Pendakwa Raya Amerika Syarikat, Encik Michael DiGiacomo, berkata Matar bertindak selepas menyokong ideologi pemimpin Iran dan merancang serangan itu selama beberapa bulan.
“Hadi Matar memilih untuk menyelaraskan pegangan hidupnya dengan ideologi keganasan pemimpin Iran. Serangan kejam terhadap Salman Rushdie ketika beliau menghadiri satu forum awam mengenai kebebasan bersuara menjadi peringatan bahawa keganasan yang disokong Iran mampu menjangkau ke seluruh dunia,” katanya.
Selain didapati bersalah melakukan perbuatan keganasan merentasi sempadan negara, Matar turut disabitkan kesalahan memberi sokongan material kepada Hezbollah selepas penyiasat menemui pelbagai bahan berkaitan kumpulan itu di kediamannya.
Pendakwaan berhujah bahawa Matar bertindak bagi melaksanakan fatwa yang menggesa pembunuhan Rushdie, yang dikeluarkan pada 1989 oleh bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini, susulan penerbitan novel kontroversi “The Satanic Verses”.
Novel itu mencetuskan kemarahan sebahagian umat Islam kerana mengandungi gambaran fiksyen mengenai Nabi Muhammad saw.
Pendakwa turut menyatakan fatwa tersebut ditegaskan semula pada 2017 oleh bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, selain disokong dalam ucapan bekas Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah, pada 2006.
Serangan berlaku pada 12 Ogos 2022 di Institut Chautauqua di Mayville, New York, ketika Rushdie dijadual menyampaikan syarahan mengenai kebebasan bersuara dan penulis dalam buangan.
Ketika acara hampir bermula, Matar secara tiba-tiba meluru ke pentas sebelum menikam Rushdie berulang kali menggunakan pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter.
Rushdie mengalami lebih sedozen tikaman pada bahagian leher, dada, abdomen, tangan dan mata kanan sehingga menyebabkan saraf optiknya rosak serta kehilangan penglihatan pada mata berkenaan.
Penulis berusia 79 tahun itu turut mengalami kecederaan saraf yang serius dan menjalani rawatan serta pemulihan selama beberapa bulan.
Dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini, Rushdie berkata beliau hanya sempat melihat seorang lelaki bertopeng hitam menghampirinya sebelum rebah ke lantai akibat ditikam bertubi-tubi.
“Saya merasakan kesakitan yang amat sangat dan menjerit, ‘Apa yang berlaku kepada mata saya?’” katanya.
Matar berjaya ditahan oleh orang ramai yang berada di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Perbicaraan selama seminggu itu tidak mempertikaikan sama ada Matar melakukan serangan berkenaan, sebaliknya tertumpu kepada motif di sebalik tindakannya.
Pendakwa raya berhujah bahawa serangan itu merupakan tindakan keganasan yang dilakukan bagi memenuhi arahan ideologi Iran dan Hezbollah.
Mereka mengemukakan beberapa buku nota milik Matar yang mengandungi catatan mengenai fatwa terhadap Rushdie serta perancangannya untuk membunuh penulis itu.
Antara catatan yang dikemukakan di mahkamah ialah “Kita perlu membunuhnya secepat mungkin”, “Akhirnya selesaikan perkara ini” dan “Permulaan jihad”.
Pendakwa turut mengemukakan gambar Matar memakai baju Hezbollah, rakaman video propaganda yang dihasilkannya serta gambar tokoh Hezbollah dan pemimpin Iran yang ditemui di bilik tidur dan telefon bimbitnya.
Menurut mereka, semua bukti itu menunjukkan Matar menyokong Hezbollah dan mahu dikenang sebagai “syahid” kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, peguam bela Matar, Encik Nathaniel L. Barone II, menegaskan anak guamnya bertindak secara bersendirian tanpa menerima arahan daripada Hezbollah atau pemerintah Iran.
Beliau berhujah bahawa Matar sememangnya marah terhadap kandungan “The Satanic Verses”, tetapi tindakan itu didorong oleh pegangan agama dan peribadinya sendiri.
“Hadi Matar bertindak secara bebas tanpa sebarang penyelarasan atau kawalan daripada Hezbollah,” katanya sambil memaklumkan rayuan akan difailkan terhadap keputusan mahkamah.
Matar sebelum ini turut memberitahu seorang wartawan bahawa beliau percaya Rushdie telah “menghina Islam”.
Rushdie hidup dalam perlindungan ketat selama hampir sedekad di Britain selepas fatwa itu dikeluarkan pada 1989 sebelum kembali menjalani kehidupan lebih terbuka di New York sejak dua dekad lalu.
Bagaimanapun, serangan pada 2022 mengubah kehidupan beliau sekali lagi apabila mengalami kecederaan kekal.
Dalam satu ucapan tahun ini, Rushdie menyifatkan keganasan sebagai senjata yang digunakan golongan autoritarian untuk menyerang kebebasan budaya dan intelektual.
“Bagi golongan autoritarian, budaya adalah musuh. Sama ada kewartawanan, universiti, muzik atau penulisan, mereka yang jahil dan radikal tidak menyukainya lalu bertindak menentangnya. Itulah yang kita saksikan setiap hari,” katanya.
Keputusan mahkamah itu dilihat sebagai satu lagi perkembangan penting dalam usaha Amerika Syarikat menangani ancaman keganasan rentas sempadan, selain mengukuhkan pendirian bahawa serangan yang bermotifkan ideologi ekstrem tidak akan dipandang sebagai jenayah biasa, tetapi sebagai perbuatan keganasan yang membawa implikasi keselamatan antarabangsa. - Agensi berita