RAMALLAH/GAZA: Penyokong Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, memenangi sebahagian besar kerusi dalam pilihan raya majlis perbandaran Palestin.

Demikian menurut pegawai pilihan raya, dalam satu undian bersejarah yang buat kali pertama dalam hampir dua dekad turut melibatkan sebuah bandar di Jaluran Gaza.

Keputusan awal menunjukkan senarai Nahdat Deir al-Balah yang disokong parti Fatah pimpinan Encik Abbas memperoleh enam daripada 15 kerusi yang dipertandingkan di Gaza.

Sebaliknya, senarai yang dilihat berkait dengan Hamas hanya memenangi dua kerusi, manakala baki kerusi dimenangi oleh kumpulan bebas tempatan.

Di Tebing Barat, penyokong Encik Abbas menguasai pilihan raya dengan banyak kerusi dimenangi tanpa tentangan.

Pilihan raya yang berlangsung pada 25 April itu mencatatkan detik penting apabila bandar Deir al-Balah di Gaza, yang ditadbir oleh kumpulan saingan Hamas, turut terlibat.

Ia merupakan pilihan raya pertama seumpamanya di Gaza sejak 2006 dan undian Palestin pertama sejak perang Gaza bermula lebih dua tahun lalu.

Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammed Mustafa, berkata pilihan raya tersebut diadakan dalam keadaan yang amat mencabar.

“Pilihan raya ini berlangsung pada saat yang sangat sensitif, dalam suasana cabaran yang kompleks dan keadaan luar biasa,” katanya ketika keputusan diumumkan pada 26 April.

Pihak Penguasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Tebing Barat menyifatkan penyertaan Deir al-Balah sebagai satu langkah simbolik bagi menegaskan bahawa Gaza adalah sebahagian tidak terpisah daripada masa depan sebuah negara Palestin.

Pegawai PA menjelaskan bahawa undian di bandar itu merupakan “projek perintis” untuk menguji pelaksanaan pilihan raya dalam keadaan konflik.

“Ini adalah mesej kepada dunia bahawa Gaza dan Tebing Barat adalah satu unit geografi yang tidak boleh dipisahkan,” kata Pengarah Wilayah Suruhanjaya Pilihan Raya, Encik Jamil al-Khalidi.

Jurucakap Fatah, Encik Abdul Fattah Dawla, memuji penyertaan pengundi walaupun berdepan keganasan berterusan.

“Kehadiran pengundi hampir sama seperti pilihan raya tempatan sebelum ini, dan ini menunjukkan rakyat masih komited terhadap proses demokrasi walaupun dalam keadaan sukar,” katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, Encik Rami Hamdallah, berkata kadar keluar mengundi di Gaza hanya 23 peratus – jauh lebih rendah berbanding 56 peratus di Tebing Barat.

Menurut wartawan di lapangan, beberapa faktor menyumbang kepada peratusan rendah itu, termasuk kemusnahan akibat perang dan perpindahan besar-besaran penduduk.

Ramai rakyat Gaza kini kehilangan tempat tinggal dan memberi tumpuan kepada kelangsungan hidup harian.

“Orang ramai sibuk untuk terus hidup. Mereka kehilangan rumah dan hidup dalam keadaan tidak menentu,” lapor wartawan Al Jazeera, Encik Hind Khoudary.

Proses pilihan raya di Gaza turut terjejas akibat sekatan oleh Israel, yang menghalang sebahagian peralatan pengundian daripada memasuki wilayah tersebut.

Selain itu, kekangan bekalan elektrik menyebabkan tempoh pengundian terpaksa dipendekkan.

Suruhanjaya pilihan raya memaklumkan bahawa kemusnahan meluas di Gaza menjadi antara sebab utama undian tidak dapat dilaksanakan di seluruh wilayah itu.

Hamas, yang mentadbir Gaza sejak 2007, tidak secara rasmi meletakkan calon dan memboikot pilihan raya di Tebing Barat.

Namun, beberapa calon di Deir al-Balah dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan itu, menjadikan keputusan undian sebagai petunjuk awal tahap sokongan terhadap Hamas.

Kumpulan itu menyatakan akan menghormati keputusan pilihan raya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, sebahagian penduduk tetap keluar mengundi sebagai tanda komitmen terhadap hak demokrasi.

“Saya datang mengundi kerana ini hak saya. Kami perlukan wakil yang boleh menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” kata seorang penduduk Deir al-Balah, Encik Ashraf Abu Dan.

Diplomat Barat melihat pilihan raya tempatan itu sebagai langkah awal ke arah pilihan raya nasional pertama Palestin dalam hampir dua dekad.

Ia juga dilihat sebagai usaha memperkukuh ketelusan dan kebertanggungjawapan dalam pentadbiran Palestin.

“Kami berharap proses hari ini akan membawa kepada pilihan raya legislatif dan presiden,” kata calon di Tebing Barat, Encik Munif Treish.

Dalam masa sama, PA berdepan tekanan ekonomi apabila Israel menahan hasil cukai yang dikutip bagi pihaknya.

Langkah itu menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan keruntuhan kewangan.

Pemerintah Israel mempertahankan tindakan tersebut sebagai bantahan terhadap pembayaran kebajikan kepada tahanan Palestin dan keluarga mereka.

Walaupun pilihan raya itu memberi isyarat bahawa proses demokrasi masih berjalan, masa depan politik Palestin kekal tidak menentu.

Negara Eropah dan Arab secara umum menyokong penubuhan negara Palestin merdeka yang merangkumi Gaza, Baitulmakdis Timur dan Tebing Barat. – Agensi berita.