Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Perak medan pertempuran sengit

Kerusi Parlimen di Selangor dan Johor turut jadi perhatian
Nov 05, 2022 | 06:53 AM



KEGIATAN berkempen secara rasmi hanya bermula sekitar tengah hari ini, tetapi dua calon utama di Tambun, Perak, telah pun mempergiat usaha untuk menambat hati pengundi dan menonjolkan kelebihan masing-masing.



Selain kerusi Tambun, Perak, menawarkan lagi 23 kerusi Parlimen - yang kedua paling banyak selepas Johor.



Anggota Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga berasal dari Perak, telah memulakan persaingan dengan ketua Pakatan Harapan dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menunjukkan calon yang lebih 'dekat' dengan negeri itu.



Sebagai contoh, Datuk Faizal telah menerbitkan video yang mengingatkan 'orang pendatang' tentang perbezaan sebutan 'air' dalam loghat Perak iaitu 'ayor' dan bukan 'ayaq' seperti di Pulau Pinang - tempat kelahiran Datuk Seri Anwar.



Membalas hujah itu, Datuk Seri Anwar baru-baru ini menekankan beliau telah menetap di Perak selama sembilan tahun, termasuk dua tahun dalam tahanan di Kamunting.



Menambah, Datuk Anwar berkata beliau meninggalkan pangkalan penyokong di Port Dickson, Negeri Sembilan, untuk bertanding di Tambun kerana beliau menganggap Perak garisan depan pertempuran oleh Pakatan Harapan, selain ingin merampas semula kawasan undi itu dan menubuhkan pangkalan baru.



Datuk Faizal, yang juga digelar sebagai 'Peja', memenangi kerusi parlimen di sana pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang ditandingi di bawah bendera PKR dan PH.



Namun, Datuk Seri Faizal, yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Perak dari Mac 2018 hingga Disember 2020, antara beberapa anggota PKR yang meninggalkan parti itu



Beliau kini Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sejak Ogos 2021, berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam pentadbiran pemangku Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.



Menyertai Datuk Anwar dan Datuk Faizal dalam persaingan empat penjuru di Tambun ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan Datuk Abdul Rahim Tahir dari Parti Pejuang Tanah Air, di bawah bendera pakatan Gerakan Tanah Air.



Perak juga akan menyaksikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan dengan tuduhan rasuah, cuba mempertahankan kerusi parlimen di Bagan Datuk yang telah didudukinya sejak 1995.



Di Selangor pula, pertembungan antara Menteri Besar dulu dan sekarang di Gombak menjadi perhatian.



Datuk Seri Amirudin Shari, yang bertanding di bawah bendera PH-PKR,- telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor sejak 2018 dan akan cuba merampas kerusi parlimen daripada bekas Menteri Kanan Perdagangan dan Perusahaan Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.



Datuk Azmin telah memenangi kerusi Parlimen Gombak selama tiga penggal, di bawah bendera PKR, tetapi sejak 2018, telah berpindah ke Bersatu, di bawah Perikatan Nasional (PN).



Pemangku Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, dari BN-Umno, pula telah dihantar bertanding di Sungai Buloh, kerusi parlimen yang dimenangi PKR dalam PRU-14.



Encik Khairy telah memberitahu wartawan pada bulan lalu bahawa beliau diminta berundur dari kerusi parlimen Rembau - yang didudukinya sejak 2008 - untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan.



Di Johor pula, ketua PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga calon Perdana Menteri bagi pakatan itu, akan bertanding untuk mempertahankan kerusi parlimen Pagoh, di Muar, Johor.



Beliau bakal ditentang oleh calon PH-PKR, Encik Iskandar Shah Abdul Rahman dan calon BN-Umno Razali Ibrahim.



Beberapa Menteri dari Umno juga akan mempertahankan kerusi parlimen mereka di Johor, termasuk Pemangku Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, yang akan bertanding di Sembrong dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, akan bertanding di Ayer Hitam.



BN telah melahirkan harapan untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.



Di satu acara di Iskandar Puteri untuk memulakan usaha BN menggembleng sokongan penduduk Johor baru-baru ini, pengarah pilihan raya BN dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan berkata beliau tidak menjangka memenangi kerusi-kerusi itu akan menjadi masalah.



BN menang mudah dalam pilihan raya negeri Johor pada Mac lalu, memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).



Ini berbanding kelakonannya dalam PRU14 pada 2018, dengan BN hanya memenangi lapan daripada 26 kerusi parlimen - antara faktor yang menyebabkan kerajaan yang dipimpin mantan Perdana Menteri Najib Razak runtuh.



Pada tahun yang sama, BN hanya memenangi 19 daripada 56 kerusi DUN, menyebabkan kerajaan Johor yang dibentuk BN jatuh kepada PH.



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), pemerhati politik Encik Adib Zalkapli, seorang pengarah BowerGroupAsia - firma runding cara berhubung ehwal kerajaan dan dasar awam di Asia Pasifik - berkata kali ini, cabaran bagi PH di Johor adalah untuk menggalakkan penyokong mereka keluar mengundi.



"Kita dapat lihat ketika pilihan raya negeri Johor Mac lalu, Barisan Nasional menang selesa kerana Pakatan Harapan gagal menaikkan semangat penyokong-penyokong mereka untuk keluar mengundi," kata beliau.



PRU15 diadakan sedang Malaysia berdepan dengan gelora politik yang berpanjangan sejak 2020 dan sedang negara itu berusaha bangkit daripada kesan ekonomi yang disebabkan pandemik Covid-19.



Walaupun berdepan dengan tentangan daripada beberapa pihak untuk mengadakan pilihan raya di tengah-tengah musim tengkujuh, Pemangku Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada 10 Oktober lalu, membuka laluan bagi PRU15 diadakan.




PILIHAN RAYA UMUM KE-15 (2022)



Parti-parti politik yang bertanding (Semenanjung)



Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 di Malaysia kian dirasakan dengan pakatan-pakatan utama rancak mengumumkan calon masing-masing menjelang Hari Penamaan Calon. Sempena Hari Penamaan Calon hari ini, BERITA HARIAN merumuskan pakatan-pakatan dan parti-parti utama yang menjadi anggotanya.




BARISAN NASIONAL (BN)



Barisan Nasional ialah pakatan parti yang telah menubuhkan kerajaan di Malaysia selama lebih enam dekad, sebelum ia diguling pada 2018.



Ia dibentuk oleh beberapa parti, tetapi mempunyai tiga parti utama yang mewakili tiga kaum iaitu Umno, MCA dan MIC.



Sejak Umno ditubuhkan pada 1946, parti ini kekal menjadi parti dominan dan mendapat sokongan padu, terutama daripada etnik Melayu kerana memperjuangkan Ketuanan Melayu.



Namun, parti ini dibelenggu pelbagai masalah kebelakangan ini, dengan bekas pemimpin parti dan mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak kini menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah.



Malah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (gambar atas) juga baru sahaja dilepaskan daripada 40 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi. Masalah dalaman ini menyebabkan BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, terputus kuasa buat pertama kali dalam sejarah.



Namun, BN kini bangkit kembali. Ada pemerhati berkata bahawa pilihan raya negeri di Johor pada Mac lalu – dengan BN menang 40 daripada 56 kerusi – menjadi mangkin bagi PRU15. Ini dibandingkan dengan 19 kerusi yang dimenangi BN dalam pilihan raya negeri Johor pada 2018.



Anggota BN:



UMNO Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu



MCA Persatuan Cina Malaysia



PBRS Parti Bersatu Rakyat Sabah



MIC Kongres India Malaysia



PBM Parti Bangsa Malaysia




PAKATAN HARAPAN (PH)



PAKATAN Harapan dilihat sebagai pakatan era baru yang mampu mengubah wajah politik di Malaysia, terutama selepas ia memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.



Namun, kerajaan yang ditubuh oleh pakatan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar kiri) ini runtuh selepas 22 bulan apabila Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan pecahan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali, bersatu untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional pada 2020.



Kali ini, Datuk Anwar berkata PKR dan PH akan merampas semula kerusi-kerusi yang harus dimilikinya, termasuk yang ‘dicuri’ oleh pembelot.



Angota PH:



PKR Parti Keadilan Rakyat



DAP Parti Tindakan Demokratik



PAN Parti Amanah Negara



UPKO Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu



MUDA Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)




PERIKATAN NASIONAL (PN)



Perikatan Nasional kadangkala dilabel sebagi BN Kedua, kerana ia diamati sebagai pecahan yang diketuai mantan Perdana Menteri Malahysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar kanan).



Namun Tan Sri Muhyiddin telah melabel Barisan Nasional (BN) sebagai musuh yang perlu diguling menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.



Bercakap kepada wartawan semasa mengumumkan calon bagi PRU15 baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin berkata tekad PN adalah untuk memastikan Malaysia tidak diperintah oleh golongan kleptokrat – dari BN yang sebahagiannya kini berdepan dengan tuduhan rasuah.



Anggota PN:



BERSATU Parti Pribumi Bersatu Malaysia



GERAKAN Parti Gerakan Rakyat Malaysia



PAS Parti Islam SeMalaysia



PPS Parti Progresif Sabah



STAR Parti Solidariti Tanah Airku




GERAKAN TANAH AIR (GTA)



GERAKAN Tanah Air (GTA) ditubuhkan berasaskan perjuangan hak Melayu di Malaysia, dan komponen utamanya juga adalah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang ditubuhkan di tengah-tengah pandemik pada 2020 oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar kiri), dengan tujuan menentang Perikatan Nasional (PN).



Dalam wawancara dengan media setempat, Tun Dr Mahathir berkata politik berdasarkan identiti juga terus wujud di Malaysia.



Namun, beliau berkata GTA dan Pejuang bukan pakatan atau parti bersifat perkauman atau ingin bermusuh dengan kaum bukan Melayu. Namun, beberapa pemerhati berkata GTA dan Tun Dr Mahathir tidak begitu berpengaruh dalam PRU-15 kali.



Tetapi, ada juga yang tidak dapat menafikan ‘sentuhan’ politik berbisa Tun Dr Mahathir yang berpengelaman berdekad dalam politik di Malaysia dan masih disegani oleh rakyat dan parti politik di sana.



Anggota GTA:



PEJUANG Parti Pejuang Tanah Air



PUTRA Parti Bumiputera Perkasa Malaysia



BERJASA Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia



IMAN Parti Perikatan India Muslim Nasional



– Foto-foto The STAR, REUTERS, INTERNET, FACEBOOK




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >