WASHINGTON: Peranan Jared Kushner sebagai antara perunding utama Amerika Syarikat dalam usaha menamatkan perang Gaza menjadi perhatian selepas satu siasatan CNN mendapati firma pelaburan miliknya mendapat manfaat daripada pegangan dalam sebuah syarikat Israel yang turut melabur ratusan juta dolar dalam firma yang membekalkan peralatan kepada tentera Israel.

Encik Kushner, menantu Presiden AS Donald Trump, memainkan peranan penting dalam merundingkan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas pada Oktober 2025 dan terus terbabit dalam usaha diplomatik berkaitan Gaza serta rancangan pembinaan semula wilayah Palestin itu.

Pada masa sama, firma pelaburan swasta miliknya, Affinity Partners, merupakan pemegang saham terbesar Phoenix Financial, salah sebuah kumpulan insurans dan kewangan terbesar Israel.

Siasatan CNN berdasarkan rekod kewangan Israel mendapati Phoenix mempunyai pelaburan sekurang-kurangnya AS$456 juta ($586 juta) dalam sembilan syarikat yang membekalkan peralatan kepada tentera Israel, termasuk dron, peluru artileri, kapal tentera serta komponen kereta kebal.

Bagaimanapun, CNN berkata siasatannya tidak menemukan bukti bahawa kegiatan diplomatik Encik Kushner secara langsung mempengaruhi keputusan pelaburan Phoenix.

Affinity juga tidak memiliki saham secara langsung dalam sembilan syarikat pertahanan tersebut. Namun sebagai pemegang saham terbesar Phoenix, firma Encik Kushner mendapat manfaat daripada peningkatan nilai syarikat itu.

Keadaan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pengkritik mengenai kemungkinan konflik kepentingan kerana Encik Kushner pada masa yang sama terbabit dalam rundingan bagi menamatkan perang Gaza.

Affinity menjadi pemegang saham terbesar Phoenix selepas menggandakan pegangannya pada Januari 2025, tidak lama sebelum Encik Trump kembali ke Rumah Putih.

Pada Julai lalu, Affinity menjual kira-kira satu perempat daripada pegangannya dalam Phoenix dengan nilai lebih AS$340 juta, iaitu sekitar lima kali ganda nilai pelaburan awal bagi saham tersebut.

Selepas penjualan itu, Affinity masih merupakan pemegang saham terbesar Phoenix dengan pegangan 7.4 peratus yang ketika itu bernilai lebih AS$1 bilion.

Antara pelaburan terbesar Phoenix yang dikenal pasti CNN ialah sekurang-kurangnya AS$265 juta dalam Elbit Systems, pengeluar pertahanan terbesar Israel.

Elbit menghasilkan pelbagai sistem ketenteraan dan sejak perang bermula memperoleh kontrak bernilai ratusan juta dolar daripada Kementerian Pertahanan Israel, termasuk bagi peluru udara canggih, ribuan peluru artileri 155 milimeter dan peningkatan kereta kebal.

Harga saham Elbit dilaporkan meningkat lebih 165 peratus sejak perang bermula.

Phoenix juga mempunyai pelaburan kira-kira AS$68 juta dalam NextVision, yang menghasilkan kamera untuk dron tentera, serta sekurang-kurangnya AS$40 juta dalam Reshef Technologies, pengeluar fius elektronik bagi peluru artileri.

Ia turut mempunyai pegangan dalam Israel Shipyards, yang menghasilkan kapal serang pantas, dan Ashot Ashkelon, pembekal sistem gear serta pendorongan bagi kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel.

Beberapa pelaburan Phoenix dalam syarikat berkaitan tentera Israel sudah dibuat sebelum Affinity menjadi pemegang saham terbesarnya, manakala beberapa lagi dibuat selepas itu.

Peguam Encik Kushner menolak sebarang kaitan antara tugas diplomatik beliau dengan keputusan pelaburan tersebut.

Menurutnya, Encik Kushner tidak pernah mengambil bahagian atau mengarahkan keputusan Phoenix untuk membeli, memegang atau menjual saham dalam sembilan syarikat yang dikenal pasti CNN dan beliau juga tidak pernah menganggotai lembaga Phoenix.

Bagaimanapun, Encik Kushner memberitahu Forbes pada September lalu bahawa beliau mempunyai “dialog sangat aktif” dengan Phoenix dan bertemu pihak pengurusannya setiap beberapa minggu.

Peguamnya mengesahkan Encik Kushner sebelum ini kerap berbincang dengan pengurusan Phoenix mengenai syarikat itu, perkembangan pasaran dan peluang strategik, tetapi berkata kekerapan perbincangan tersebut berkurangan dengan ketara selepas beliau semakin terbabit dalam usaha diplomatik secara sukarela.

Status Encik Kushner turut mendapat perhatian kerana beliau tidak memegang jawatan rasmi dalam pemerintah.

Beliau menjalankan tugas diplomatik tanpa menerima gaji atas permintaan Presiden Trump dan oleh itu tidak tertakluk kepada keperluan pendedahan kewangan sama seperti yang dikenakan terhadap pegawai pemerintah rasmi.

Sejak 2025, Encik Kushner kembali memainkan peranan penting dalam dasar Timur Tengah pentadbiran Trump, bekerjasama dengan utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff, dan mengadakan rundingan dengan pemimpin serantau termasuk Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Selain membantu merundingkan gencatan senjata Gaza, beliau turut mengemukakan rancangan bagi pembangunan semula wilayah itu selepas perang.

Rumah Putih menolak dakwaan bahawa kegiatan perniagaan Encik Kushner menimbulkan konflik dengan peranan diplomatiknya.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Anna Kelly, berkata kegiatan perniagaan peribadi Encik Kushner tidak mempunyai kaitan dengan tugas diplomatik yang dilakukannya secara sukarela atas permintaan Presiden Trump.

Namun, pakar etika dan anggota Demokrat mempersoalkan keadaan itu.

Ketua penasihat etika Warga bagi Tanggungjawab dan Etika di Washington (CREW)di Washington, Cik Cynthia Brown, berkata persoalan utama bukan semata-mata sama ada seseorang mendapat keuntungan daripada perang atau dasar pemerintah, tetapi sama ada individu yang memperoleh manfaat kewangan turut mempunyai peranan dalam membentuk dasar tersebut.

Anggota Demokrat juga menggesa penelitian lanjut terhadap urusan perniagaan keluarga Trump, termasuk Affinity Partners.

Buat masa ini, dapatan CNN menunjukkan pertindihan antara kepentingan perniagaan Encik Kushner dan peranan diplomatiknya dalam Gaza, tetapi tidak membuktikan bahawa beliau menggunakan kedudukannya dalam rundingan untuk mempengaruhi pelaburan Phoenix atau mendapatkan keuntungan daripada keputusan dasar Amerika.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti