Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan Qatar sebagai perantara temu jalan buntu

Ia hentikan sementara jadi perantara bagi capai gencatan senjata antara Israel, Hamas
Nov 18, 2024 | 5:30 AM
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken (dua dari kiri), disambut oleh pegawai seiring kehadiran Duta Besar Amerika ke Qatar, Encik Timmy Davis (dua dari kanan), dan Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri Qatar, Encik Ibrahim Fakhroo (kanan), setibanya di Doha pada 24 Oktober. Encik Blinken tiba di Qatar sebagai perantara utama Hamas dalam usaha mengakhiri perang Gaza susulan pembunuhan pemimpin kumpulan itu oleh Israel.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken (dua dari kiri), disambut oleh pegawai seiring kehadiran Duta Besar Amerika ke Qatar, Encik Timmy Davis (dua dari kanan), dan Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri Qatar, Encik Ibrahim Fakhroo (kanan), setibanya di Doha pada 24 Oktober. Encik Blinken tiba di Qatar sebagai perantara utama Hamas dalam usaha mengakhiri perang Gaza susulan pembunuhan pemimpin kumpulan itu oleh Israel. - Foto AFP

DOHA: Qatar sekali lagi menjadi perhatian dunia, berikutan pengumuman pada 9 November yang menyatakan ia telah menghentikan sementara usaha menjadi perantara dalam mencapai gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza.

Langkah itu diambil berikutan kebuntuan dalam rundingan antara kedua-dua pihak, yang menyukarkan Qatar dalam melaksanakan peranannya sebagai pengantara.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, negara tersebut hanya akan meneruskan usaha perantaraannya apabila terdapat “kesediaan dan kesungguhan” daripada kedua-dua pihak untuk mengakhiri konflik yang berlarutan.

Usaha Qatar Sebagai Pengantara

Sebagai sebuah negara kecil di Teluk, Qatar sering memainkan peranan unik dalam arena geopolitik Timur Tengah, menjadi penghubung antara kuasa Barat dengan kumpulan yang dianggap sebagai musuh oleh negara Barat seperti Hamas dan Taleban.

Dengan pangkalan udara terbesar Amerika di Timur Tengah yang terletak di Qatar, negara itu dilihat oleh Washington sebagai sekutu strategik yang bukan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Namun, hubungan Qatar dengan Hamas yang didakwa kuat telah menimbulkan persoalan terhadap kebolehpercayaannya sebagai pengantara yang neutral dalam konflik Israel-Palestin.

Menurut sumber yang tidak dinamakan dari Amerika Syarikat dan Israel, pegawai Qatar baru-baru ini memaklumkan kepada pemimpin politik Hamas bahawa mereka tidak lagi dialu-alukan di negara itu, berikutan kebuntuan rundingan damai.

Tindakan itu menandakan perubahan dalam hubungan antara Qatar dan Hamas, yang selama ini dianggap rapat.

Sokongan Qatar Terhadap Hamas

Qatar dikatakan telah menyumbangkan sekitar AS$1.8 bilion ($2.39 bilion) kepada pentadbir Hamas yang menguasai Gaza sejak 2007.

Malah, mantan Amir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani, merupakan pemimpin dunia pertama yang melawat Gaza selepas Hamas mengambil alih wilayah tersebut.

Qatar juga telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak AS$360 juta setiap tahun kepada Gaza. Satu pertiga daripadanya adalah dalam bentuk bahan api yang dijual oleh pihak berkuasa Hamas untuk mendapatkan wang tunai.

Bantuan Qatar itu juga bertujuan menampung gaji pegawai pemerintah Hamas, walaupun terdapat dakwaan Hamas turut menerima ‘kickback’ atau ‘sogokan’ daripada gaji dan bantuan lain yang disalurkan ke Gaza.

Sebagai bukti hubungan rapat dengan Hamas, pemimpin utama Hamas seperti Encik Khalil al-Hayya dan Encik Khaled Meshaal berpangkalan di Doha.

Encik Meshaal yang merupakan mantan ketua politik Hamas dan kini memimpin pejabat Hamas di luar negara, dilaporkan mempunyai aset bernilai berbilion dolar.

Ini sekali gus menunjukkan peranan Qatar bukan sahaja dalam aspek kewangan, malah sebagai tempat perlindungan bagi pemimpin utama Hamas.

Dilema Berkecuali dengan Sokongan

Namun, langkah Qatar menjadi perantara turut menghadapi cabaran besar.

Sokongan politik dan kewangan Qatar terhadap Hamas bukan sahaja menjadi isu utama yang menjejas persepsi sikap berkecuali Qatar, malah menyebabkan negara sekutu seperti Amerika mempersoalkan sama ada Qatar benar-benar berkecuali dalam konflik itu.

Kenyataan Kementerian Luar Qatar yang menyalahkan Israel sepenuhnya atas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang lalu telah menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan Qatar menjadi perantara yang adil dalam mencapai penyelesaian damai.

Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani, mengeluarkan kenyataan pada 24 Oktober 2023 yang menyatakan bahawa Israel tidak boleh diberikan “lampu hijau tanpa syarat” untuk bertindak ke atas Gaza.

Kata-kata itu dilihat sebagai menyokong Hamas, terutama apabila Qatar tidak secara terbuka mengutuk tindakan Hamas yang juga dikritik oleh masyarakat antarabangsa.

Penyiaran Isu Hamas

Tambahan pula, peranan media Al Jazeera yang dimiliki oleh kerajaan Qatar dalam mengangkat naratif Hamas turut menimbulkan perbincangan.

Al Jazeera secara terbuka memaparkan kenyataan pemimpin Hamas dan sering kali memberikan liputan yang memihak kepada mereka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kweibawaan laporan mereka sebagai media bebas.

Al Jazeera turut menyiarkan ucapan Ketua Tentera Hamas, Encik Mohammad Deif, dan pelbagai kenyataan provokatif lain yang menyeru umat Islam agar “keluar ke jalanan” bagi menyokong perjuangan Palestin.

Pangkalan Tentera Amerika dan Kritikan terhadap Qatar

Bukan sahaja Amerika, bahkan negara jiran Qatar seperti Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengkritik negara tersebut kerana hubungan rapatnya dengan Hamas dan kumpulan Islam radikal yang lain.

Pada 2017, Arab Saudi, UAE, Bahrain, dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar dan mengenakan sekatan, dengan mendakwa bahawa Qatar menyokong pengganasan dan kumpulan pelampau seperti Ikhwanul Muslimin, yang mempunyai hubungan sejarah dengan Hamas.

Negara tersebut mendesak Qatar agar menamatkan hubungan dengan organisasi pengganas, menutup pejabat Hamas di Doha, serta mengekang hubungan rapatnya dengan Iran dan Turkey.

Walaupun terdapat kontroversi mengenai sokongan Qatar kepada Hamas, Amerika masih mengekalkan hubungan yang rapat dengan negara itu.

Pangkalan Tentera Udara Al-Udeid di Qatar yang menempatkan kira-kira 10,000 tentera Amerika berfungsi sebagai pangkalan penting dalam operasi ketenteraan Amerika di Timur Tengah.

Hubungan itu memberikan Qatar kelebihan dalam menjaga hubungan baik dengan Washington, walaupun ia dilihat menyokong Hamas secara terbuka.

Peranan Berterusan Qatar Dalam Rundingan

Walaupun Qatar dilihat memainkan “dua peranan” dalam konflik ini, niat negara tersebut untuk mengekalkan kestabilan di rantau tersebut tidak dapat dinafikan.

Menurut Perdana Menteri Qatar, Encik Mohammed Abdelrahman al-Thani, hubungan Qatar dengan Hamas bertujuan membina kestabilan dan keamanan di rantau tersebut.

Kenyataan beliau, bagaimanapun, disambut dengan ragu-ragu oleh banyak pihak yang berpendapat Qatar menggunakan peranannya sebagai perantara untuk mengukuhkan kedudukan politiknya di rantau tersebut.

Penghentian sementara Qatar dalam usaha mencapai gencatan senjata antara Hamas dengan Israel memperlihatkan kesukaran diplomatik yang dihadapi oleh negara kecil itu dalam mencapai keseimbangan antara menyokong Hamas dengan mengekalkan hubungan baik dengan Amerika serta negara Barat yang lain.

Walaupun Qatar dikritik kerana hubungan rapatnya dengan Hamas, usaha diplomatiknya yang tekal menunjukkan negara tersebut berpotensi menjadi perantara penting jika kedua-dua pihak bersedia berbincang dengan lebih serius.

Keupayaan Qatar untuk mengekalkan hubungan dengan kedua-dua pihak dalam konflik itu menunjukkan kebolehan diplomatiknya.

Namun masa depan peranan Qatar sebagai perantara masih kabur, terutama jika ia terus dianggap sebagai penyokong utama Hamas di rantau itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg