RIYADH: Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio dan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman membincangkan rancangan untuk Gaza semasa mesyuarat pada 17 Februari, kata jurucakap Jabatan Negara, Cik Tammy Bruce.
Encik Rubio sedang melakukan lawatan ke Timur Tengah selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menimbulkan kemarahan dunia Arab ekoran cadangannya untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan.
“Setiausaha menggariskan pentingnya pengaturan untuk Gaza yang menyumbang kepada keselamatan serantau,” kata Cik Bruce ketika menyentuh hasil pertemuan antara Encik Rubio dengan putera mahkota.
Menurut beliau, kedua-dua pihak mengesahkan komitmen terhadap gencatan senjata yang dipersetujui pada Januari antara Israel dengan Hamas dan turut membincangkan mengenai Syria, Lebanon dan Laut Merah.
Agensi berita negara Saudi, SPA, berkata kededua pemimpin membincangkan perkembangan serantau dan sejagat serta usaha mencapai keselamatan dan kestabilan.
Encik Rubio tiba di Arab Saudi pada 17 Februari dari Israel dalam rangka memulakan lawatan pertamanya ke rantau itu sebagai diplomat tertinggi Amerika.
Lawatan Encik Rubio dibuat menjelang pertemuan yang dijangkakan antara pegawai Amerika dengan Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, yang akan memberi tumpuan pada menamatkan perang di Ukraine dan memulihkan hubungan Russia-Amerika.
Encik Lavrov dan pembantu kanan Presiden, Encik Yuri Ushakov, yang tiba di Riyadh lewat 17 Februari, kelihatan bersedia untuk bertemu Encik Rubio, Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Mike Waltz, dan Duta Khas Encik Steve Witkoff.
Kedua-dua pihak telah merendahkan jangkaan pertemuan peringkat tinggi pertama sejak Moscow menyerang Ukraine pada 2022 itu akan menghasilkan kejayaan.
Hakikatnya, rundingan itu telah mencetuskan kebimbangan di Kyiv dan Eropah ekoran langkah diplomatik dramatik Washington ke arah Kremlin.
Sumber Saudi memberitahu agensi berita, AFP sebelum ini bahawa Riyadh akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak serantau akhir minggu ini “untuk membincangkan alternatif Arab” kepada rancangan Encik Trump yang dikritik secara meluas.
Mesir, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Arab Saudi, Oman, Qatar dan Kuwait akan menyertai sidang kemuncak pada 21 Februari, kata sumber itu.
Washington berkata ia terbuka kepada cadangan alternatif dari negara Arab, tetapi Encik Rubio berkata buat masa ini “satu-satunya rancangan ialah yang diusulkan Encik Trump”.
Amerika juga telah mendesak agar perjanjian bersejarah yang dicapai bakal menyaksikan Arab Saudi mengiktiraf Israel.
Sebagai balasan, Riyadh menuntut penubuhan negara Palestin – yang telah lama ditentang oleh pemimpin Israel dan berpotensi bertentangan dengan cadangan Encik Trump.
Sementara itu, Senator Republikan, Encik Lindsey Graham, memberitahu wartawan di Israel pada 17 Februari bahawa Baitulmakdis tidak mempunyai rakan kongsi yang lebih baik daripada Arab Saudi dalam usaha menghapuskan Islam radikal.
Mengenai cadangan Encik Trump untuk membangunkan Gaza, Encik Graham berkata terdapat “sangat sedikit keinginan oleh Senat bagi Amerika mengambil alih Gaza dalam apa jua cara atau bentuk”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg