TEHERAN: Dalam konteks ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dengan Iran, kebimbangan terhadap potensi konflik yang lebih besar semakin menjadi perbincangan hangat.
Dengan sokongan berterusan daripada Amerika Syarikat kepada Israel, persoalan yang timbul adalah sejauh mana sekutu-sekutu serantau Iran, seperti Houthi di Yaman; Hezbollah di Lebanon; dan kumpulan bersenjata di Iraq, dapat mempengaruhi dinamik peperangan yang mungkin berlaku.
Sepanjang 2023, Houthi telah melancarkan serangan terhadap kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandeb.
Tindakan itu bukan sahaja sebagai tanda perpaduan dengan rakyat Palestin, malah ia juga sebagai bantahan terhadap serangan Israel di Gaza.
Serangan itu menunjukkan Houthi ingin menjadi suara yang mewakili reaksi terhadap tindakan Israel.
Menurut seorang jurucakap Houthi, Encik Yahya Saree, kumpulan ini tidak akan menghentikan serangan mereka sehingga Israel menghentikan serangan terhadap Lebanon dan Gaza.
Tindakan ini jelas mencerminkan sokongan yang lebih luas daripada Iran terhadap kumpulan bersenjata di seluruh kawasan, dengan tujuan untuk mengukuhkan pengaruh mereka dalam menghadapi Israel.
Namun, serangan yang dilakukan oleh Houthi dan sekutu-sekutu lain kerap menghadapi cabaran dalam mencapai matlamat mereka disebabkan oleh sistem pertahanan Israel yang canggih.
Walaupun terdapat ancaman daripada Houthi dan kumpulan bersenjata di Iraq, Israel telah berulang kali menyatakan bahawa sistem pertahanannya, dengan bantuan dari Amerika dan negara lain, dapat memintas sebahagian besar serangan yang dilancarkan.
Serangan yang berlaku, termasuk serangan peluru berpandu yang disasarkan oleh Iran, hanya menyebabkan kerosakan minimum.
Ahli pemikir di Washington, Encik Sina Toossi, menyatakan bahawa Israel mungkin memperkecilkan kesan daripada serangan itu, tetapi ia masih memberi gambaran positif kerana ia mengurangkan tekanan politik terhadap Israel dan Amerika untuk melancarkan serangan balas yang besar.
Encik Toossi juga menekankan pentingnya menghentikan kebangkitan ketegangan itu melalui gencatan senjata.
Beliau percaya tiada pihak yang ingin berperang, tetapi sekutu Iran akan terus berusaha menghalang konflik berskala besar daripada berlaku.
Satu perkara penting yang dinyatakan oleh Encik Toossi adalah mengenai kemudahan minyak di kawasan Iran jika diserang oleh Israel menimbulkan kemungkinan perang habis-habisan yang semakin ketara risikonya di Asia Barat.
Kumpulan bersenjata di Iraq telah mengancam untuk menyerang kemudahan minyak yang lain di Asia Barat jika Israel melancarkan serangan besar-besaran.
Jika eksport tenaga di Teluk Parsi terganggu dengan ketara, ia akan memberi kesan besar kepada pasaran minyak sejagat dan ekonomi dunia, termasuk Eropah.
Dalam sejarah, kemudahan minyak telah menjadi sasaran bagi semua pihak dalam konflik ini.
Contohnya, serangan yang dilakukan oleh Houthi ke atas kemudahan minyak Saudi Aramco pada September 2019 menunjukkan betapa besar kesan yang boleh timbul daripada serangan tersebut, yang telah menjejas sekitar 5 juta tong pengeluaran sehari.
Walaupun kumpulan bersenjata di Iraq masih aktif, penganalisis risiko geopolitik dari Universiti London, Dr Andreas Krieg, berpendapat mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyerang Israel secara langsung.
Kumpulan itu lebih memberi tumpuan kepada perang gerila dan tidak mempunyai senjata yang setanding dengan Hezbollah atau Houthi.
Dalam erti kata lain, mereka tidak mampu memberikan kesan besar terhadap Israel.
Sebaliknya, Hezbollah mempunyai rangkaian sejagat dan mampu beroperasi dari pelbagai lokasi, menjadikannya lebih berbahaya kepada Israel.
Pada masa yang sama, peluru berpandu atau dron yang dilancarkan dari Iraq kerap dijalankan oleh Iran, bukan oleh militia Iraq itu sendiri.
Hal itu menunjukkan betapa pentingnya peranan Iran dalam menyokong sekutunya dalam konflik ini.
Satu lagi aspek yang perlu diperhatikan ialah penutupan Selat Bab al-Mandeb oleh Houthi, yang dianggap sebagai kesan paling langsung yang mereka lakukan setakat ini.
Walaupun serangan peluru berpandu terhadap Israel kerap dipintas, tindakan itu telah menyebabkan rasa tidak selamat di kawasan itu.
Profesor di Universiti Ankara, Dr Betul Dogan Akkas, menyatakan bahawa walaupun penggantungan perdagangan maritim tidak memberikan kesan besar terhadap perang Israel di Gaza, ia telah memberikan rasa tidak selamat kepada Israel.
Ini adalah bukti bahawa walaupun Houthi mungkin tidak dapat menghentikan serangan Israel secara langsung, namun mereka tetap berjaya mewujudkan suasana ketidakpastian dan kebimbangan dalam kalangan pihak Israel.
Sekutu Iran seperti Houthi dan kumpulan bersenjata di Iraq dalam konflik dengan Israel adalah kompleks.
Walaupun mereka tidak mempunyai kemampuan untuk melancarkan serangan besar-besaran, tindakan mereka dalam mengganggu keamanan dan mewujudkan ketidakpastian yang jelas.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh para penganalisis, tindakan itu menunjukkan bahawa mereka berperanan dalam mewujudkan suasana yang memaksa pihak-pihak yang terlibat untuk memikirkan semula strategi mereka.
Ketika ketegangan semakin memuncak dan potensi konflik berskala besar terus menghantui kawasan Timur Tengah, adalah jelas sekutu-sekutu Iran akan terus menjadi pemain penting dalam dinamik di rantau itu.
Mereka tidak hanya berperanan untuk bertindak agar dilihat sebagai ‘pelindung’ bagi rakyat Palestin malah, ia juga sebagai alat dalam usaha Iran untuk mengukuhkan kedudukannya di Timur Tengah.
Keputusan yang diambil oleh semua pihak dalam waktu terdekat ini akan menentukan masa depan keamanan dan kestabilan di rantau ini, ujar Dr Betul. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg