WEST PALM BEACH (Florida): Calon presiden Republikan, Encik Donald Trump, terselamat pada 15 September selepas Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat menggagalkan apa yang disebut oleh Biro Siasatan Federal (FBI) sebagai satu percubaan membunuh yang jelas ketika beliau bermain di padang golfnya di West Palm Beach, Florida.
Ejen Perkhidmatan Rahsia ternampak seorang lelaki bersenjata di semak berhampiran garisan sempadan Kelab Golf Antarabangsa Trump itu lalu melepaskan tembakan, beberapa ratus meter dari tempat Encik Trump bermain, kata pegawai penguat kuasa undang-undang.
Suspek itu meninggalkan senapang AK-47 dan barangan lain di tempat kejadian, dan melarikan diri dengan sebuah kenderaan tetapi kemudiannya dapat ditahan.
Cubaan terhadap nyawa Encik Trump itu berlaku hanya dua bulan selepas beliau ditembak semasa tampil di perhimpunan kempen di Pennsylvania hingga menyebabkan kecederaan pada telinga kanannya.
Kedua-dua kejadian itu menyerlahkan cabaran untuk memastikan calon presiden selamat dalam kempen yang hangat dipertandingkan dan berpolarisasi, dengan hanya lebih tujuh minggu sebelum pilihan raya Amerika pada 5 November.
Bagaimana suspek mendapat tahu Encik Trump akan bermain golf pada masa itu masih kurang jelas, tetapi percubaan serangan itu pasti menimbulkan persoalan baru tentang tahap perlindungan yang diberikan kepadanya.
CNN, Fox News dan The New York Times mengenal pasti suspek tersebut sebagai Ryan Wesley Routh, 58 tahun, dari Hawaii, memetik pegawai penguatkuasa undang-undang yang tidak dinamakan. FBI enggan mengulas.
Dia mempunyai lapan tangkapan sebelum ini bagi kesalahan-kesalahan kecil, kata CNN.
Lewat 15 September, ejen Perkhidmatan Rahsia dan Keselamatan Dalam Negeri menggeledah bekas rumah suspek di Greensboro, North Carolina.
Ketua Polis Palm Beach County, Encik Ric Bradshaw, berkata seorang ejen Perkhidmatan Rahsia yang melindungi Encik Trump melihat laras senapang di celah semak kira-kira 365 hingga 460 meter dari bekas presiden Amerika itu ketika mereka memeriksa lubang golf sebelum beliau mula bermain.
Ejen-ejen lantas melepaskan sekurang-kurangnya empat das tembakan pada kira-kira 1.30 petang waktu tempatan 15 September (1.30 pagi waktu Singapura pada 16 September).
“Dengan senapang dan skop seperti itu, itu bukan jarak yang jauh,” tambahnya.
Lelaki bersenjata itu kemudian melepaskan senapang, dua beg galas dan barangan lain, dan melarikan diri dengan sebuah kereta Nissan berwarna hitam.
Menurut ketua polis itu, seorang saksi nampak lelaki bersenjata itu melarikan diri dan berjaya mengambil gambar plat kereta itu.
Selepas suspek melarikan diri, pegawai penguat kuasa undang-undang berkata mereka menghantar amaran kepada agensi seluruh negeri dengan maklumat mengenai kenderaan itu.
“Kami mempunyai seseorang dalam tahanan sekarang,” kata Encik Bradshaw, yang tidak mengenal pasti suspek atau memberikan butiran mengenai motifnya.
Pihak berkuasa yang berucap pada sidang akhbar itu tidak mengesahkan sama ada lelaki bersenjata itu benar-benar melepaskan tembakan ke arah bekas presiden Amerika itu.
“Kami tidak pasti pada masa ini sama ada individu itu dapat mengambil kesempatan terhadap ejen kami,” kata Encik Rafael Barros daripada Perkhidmatan Rahsia.
Rumah Putih berkata dalam satu kenyataan bahawa Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan timbalannya, Cik Kamala Harris, telah diberi taklimat mengenai insiden itu, dan berasa lega apabila mengetahui bahawa Encik Trump selamat.
“Keganasan tidak mempunyai tempat di Amerika,” kata Cik Harris dalam siaran media sosial X. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg