RIYADH: Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, mengumumkan pada 3 Disember bahawa beliau dan pemimpin Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, akan mempengerusikan bersama persidangan mengenai penubuhan negara Palestin pada Jun 2025.
“Kami telah memutuskan untuk mempengerusikan bersama persidangan melibatkan kedua-dua negara pada Jun 2025,” kata Encik Macron, merujuk kepada Israel dan negara Palestin yang berpotensi untuk ditubuhkan.
“Dalam beberapa bulan akan datang, bersama-sama kita akan memperbanyak dan menggabungkan inisiatif diplomatik untuk membawa semua orang ke arah matlamat ini,” tambahnya.
Menjawab soalan sama ada Perancis akan mengiktiraf negara Palestin, presiden Perancis berkata beliau akan berbuat demikian “pada masa yang tepat” dan ketika ia mencetuskan “gerakan pengiktirafan timbal balik”.
“Kami mahu melibatkan beberapa rakan kongsi dan sekutu lain, Eropah dan bukan Eropah, yang bersedia untuk bergerak ke arah ini, tetapi sedang menunggu maklum balas mereka,” tambahnya.
Encik Macron berkata tujuannya adalah “memberi jawapan dari segi keselamatan untuk Israel dan meyakinkan orang ramai bahawa penyelesaian dua negara adalah penyelesaian yang relevan untuk Israel”.
Arab Saudi kelihatan hampir mencapai perjanjian untuk menjalinkan hubungan dengan Israel sebagai sebahagian daripada pakej yang akan merangkumi jaminan keselamatan dari Amerika Syarikat, sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang telah mencetuskan perang selama hampir 14 bulan di Gaza.
Pengiktirafan oleh Arab Saudi akan menjadi detik penting dalam penerimaan Israel kerana kerajaan Saudi adalah penjaga dua tapak Islam paling suci.
Namun Riyadh telah menyatakan ia tidak mahu bergerak ke hadapan ketika Israel meneruskan kempennya di Gaza, memperteguhkan pendiriannya dalam beberapa bulan kebelakangan ini bahawa ia tidak akan mengiktiraf Israel tanpa negara Palestin yang merdeka.
Pengumuman pada 3 Disember itu dibuat ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk mengadakan persidangan antarabangsa pada Jun yang bertujuan memajukan penyelesaian dua negara.
Seruan untuk penyelesaian dua negara, berdasarkan negara Palestin yang ditubuhkan bersama Israel, telah berkembang sejak meletusnya perang di Gaza.
Pada September, Sepanyol menjadi tuan rumah mesyuarat pegawai Eropah dan menteri dari negara-negara Islam termasuk Arab Saudi selepas Sepanyol bersama-sama Ireland dan Norway secara rasmi mengiktiraf sebuah negara Palestin yang terdiri dari Jaluran Gaza dan Tebing Barat pada awal 2024. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg