Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis pulangkan dana €50j keluarga Assad kepada Syria
Perancis pulangkan dana €50j keluarga Assad kepada Syria
Perancis pulangkan dana €50j keluarga Assad kepada Syria
DAMSYIK: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengumumkan negaranya akan memulangkan lebih €50 juta ($75 juta) yang dirampas daripada keluarga bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, kepada rakyat Syria bagi membiayai projek pembangunan semula negara yang musnah akibat perang.
Pengumuman itu dibuat ketika lawatan bersejarah Encik Macron ke Damsyik, yang juga merupakan lawatan pertama seorang ketua negara dari Kesatuan Eropah (EU) ke Syria sejak kejatuhan pemerintahan Assad pada penghujung 2024.
Namun, lawatan berprofil tinggi itu dicemari dua letupan bom di tengah ibu kota Syria yang mencederakan 18 orang, termasuk empat anggota polis, sekali gus menonjolkan cabaran keselamatan yang masih dihadapi pemerintah baharu Syria.
Dalam sidang media bersama Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, Encik Macron berkata wang yang dirampas daripada bapa saudara Bashar, Rifaat al-Assad, akan digunakan bagi membantu rakyat Syria membina semula negara mereka.
“Lebih €50 juta hasil rampasan aset yang diperoleh secara haram oleh keluarga bekas diktator akan dipulangkan kepada rakyat Syria untuk membiayai projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada mereka,” katanya.
Menteri luar kedua-dua negara turut menandatangani deklarasi hasrat untuk memulakan proses pemulangan €51 juta yang dirampas oleh sistem kehakiman Perancis daripada Rifaat al-Assad.
Selain pemulangan dana itu, Perancis dan Syria turut memeterai 15 perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penerbangan awam, kesihatan, perbankan, pembangunan ekonomi dan pembinaan semula prasarana.
Encik Macron berkata Perancis komited membantu Syria kembali pulih selepas lebih sedekad dilanda perang saudara.
“Rakyat Syria berhak menikmati keamanan, pembangunan dan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Rifaat al-Assad pernah melarikan diri ke Eropah pada 1984 selepas cubaan menggulingkan abangnya, Presiden Hafez al-Assad, gagal.
Rifaat kemudian menetap di Switzerland dan Perancis sebelum disabitkan bersalah pada 2021 atas kesalahan pengubahan wang haram serta menyalahgunakan dana awam Syria.
Rifaat pulang ke Syria pada tahun sama bagi mengelak menjalani hukuman penjara empat tahun di Perancis.
Beliau meninggal dunia pada Januari lalu pada usia 88 tahun.
Rifaat juga dikenali dengan gelaran “Penyembelih Hama” kerana didakwa mengetuai operasi ketenteraan yang mengorbankan puluhan ribu penduduk ketika kebangkitan kumpulan Muslim Brotherhood di bandar Hama pada 1982.
Sementara itu, lawatan Encik Macron terganggu apabila dua letupan berlaku berhampiran Hotel Four Seasons, lokasi beliau menginap dan mengadakan pertemuan dengan wakil masyarakat sivil Syria.
Kementerian Dalam Negeri Syria berkata pasukan keselamatan menemui dua bahan letupan yang disembunyikan di dalam sebuah kereta dan tong sampah.
Bagaimanapun, kedua-duanya meletup ketika pakar pemusnah bom sedang menjalankan operasi menyahaktifkan bahan letupan itu.
Seramai 18 orang cedera dalam insiden berkenaan, termasuk empat anggota polis dan beberapa anggota polis trafik.
Jurucakap kementerian, Encik Nour al-Din al-Baba, berkata siasatan awal menunjukkan bahan letupan itu diletakkan hanya beberapa minit sebelum kejadian di luar perimeter keselamatan yang ditetapkan bagi lawatan Encik Macron.
“Kami sudah memperoleh petunjuk awal mengenai pihak yang dipercayai bertanggungjawab,” katanya.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kenderaan terbakar di jalan utama berhampiran Kementerian Pelancongan sebelum letupan kedua berlaku hanya beberapa meter dari lokasi pertama.
Menurut analisis BBC Verify, kedua-dua letupan berlaku kira-kira 125 meter dari Hotel Four Seasons.
Seorang saksi memberitahu BBC Arabic bahawa letupan pertama hanya menyebabkan kerosakan harta benda.
“Ketika pasukan keselamatan sedang memeriksa kawasan itu, letupan kedua berlaku kira-kira 20 meter dari lokasi pertama dan mencederakan beberapa anggota keselamatan serta polis trafik,” katanya.
Pegawai Perancis mengesahkan Encik Macron tidak berada berhampiran lokasi kejadian dan tidak mendengar bunyi letupan.
Beliau kemudian meneruskan jadual lawatan serta mengadakan pertemuan rasmi dengan Ahmed al-Sharaa di Istana Presiden.
Dalam kenyataan di media sosial, Encik Macron berkata insiden itu tidak akan menghalang sokongan Perancis terhadap Syria.
“Tiada apa yang mampu memadamkan harapan rakyat Syria untuk hidup dalam sebuah negara yang berdaulat, selamat, bersatu dan menghormati kepelbagaian,” katanya.
Dalam sidang media bersama, beliau turut menyeru semua pihak terus memberi sokongan kepada mangsa letupan tanpa membiarkan serangan itu menggugat usaha membina semula Syria.
“Kita mesti terus tegas dalam soal keselamatan, tetapi tidak boleh membiarkan tindakan seperti ini menggugat usaha memulihkan negara,” katanya.
Encik Sharaa memuji keputusan Encik Macron meneruskan lawatan walaupun berlaku serangan bom.
“Keberanian beliau meneruskan lawatan ini mencerminkan sokongan Perancis terhadap masa depan Syria,” katanya. – Agensi berita.
