Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis tuduh Iran lancar serangan siber ke atas 700 pasar raya
Sistem peti sejuk digodam hingga makanan rosak dan hampir 20 kebakaran tercetus; Paris keluarkan waran tangkap terhadap tiga warga Iran serta ancam sekatan baru
Perancis tuduh Iran lancar serangan siber ke atas 700 pasar raya
PARIS: Perancis menuduh pasukan elit Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melancarkan serangan siber besar-besaran terhadap 700 pasar raya di negara itu, menyebabkan sistem peti sejuk terganggu, makanan rosak dan hampir 20 kebakaran berlaku.
Serangan pada 11 dan 12 Oktober lalu itu membolehkan penggodam mengawal sistem penyejukan dari jauh, meningkatkan suhu peti sejuk dan mematikan amaran keselamatan tanpa disedari pengendali pasar raya.
Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, pada 9 November mengesahkan bahawa siasatan pihak berkuasa mendapati IRGC bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
“Saya boleh mengesahkan bahawa serangan ini dilakukan oleh Pengawal Revolusi Republik Islam Iran,” katanya di luar mesyuarat Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) di Paris.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai serangan siber paling serius pernah berlaku di Perancis, bukan sahaja dari segi jumlah premis terjejas, malah tahap kerosakan yang ditimbulkan.
“Serangan ini belum pernah berlaku sebelum ini, baik dari segi skala mahupun tahap agresifnya,” katanya.
Menurut beliau, serangan itu merupakan cubaan sabotaj siber berskala besar pertama yang menyasarkan kemudahan di wilayah Perancis dan menjadi ancaman serius terhadap kepentingan negara serta keselamatan rakyat.
Pemerintah Perancis sudah memanggil Duta Iran ke Paris bagi menyampaikan bantahan keras dan memberi amaran bahawa tindakan Tehran tidak akan dibiarkan tanpa sebarang akibat.
Paris turut merancang mengenakan sekatan baru terhadap institusi dan individu Iran di peringkat Kesatuan Eropah (EU).
“Kami akan mengambil apa juga langkah tambahan yang perlu dan setimpal, sama ada secara terbuka atau sebaliknya, bagi bertindak balas terhadap kejadian ini dan menghalang serangan serupa berulang,” kata Encik Barrot.
Ketua Pendakwa Raya Paris, Cik Laure Beccuau, menjelaskan bahawa penggodam menggunakan sambungan Internet untuk mengambil alih kawalan sistem penyejukan di pasar raya.
Mereka kemudian mengaktifkan proses penyahbekuan secara berterusan sehingga suhu meningkat melebihi paras selamat untuk menyimpan makanan.
Pada masa sama, sistem amaran yang sepatutnya mengesan kenaikan suhu turut dimatikan.
Akibatnya, sejumlah besar makanan mudah rosak terpaksa dibuang, manakala gangguan pada peralatan turut dikaitkan dengan hampir 20 kebakaran.
Pejabat pendakwa raya Paris sudah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap tiga warga Iran yang dipercayai mempunyai hubungan dengan Pusat Elektronik dan Siber IRGC.
Mereka dikenal pasti sebagai Hamid Reza Lashgarian, Reza Salarvand dan Mahdi Lashgarian.
Menurut pihak berkuasa, ketiga-tiganya dikaitkan dengan operasi siber yang menyasarkan peralatan industri bagi tujuan sabotaj.
Siasatan turut menemukan penggunaan bahasa Parsi dan alamat Internet yang dapat dikesan berpunca dari Iran.
Ketiga-tiga suspek berdepan tuduhan mengganggu sistem pemprosesan data secara haram bagi kepentingan kuasa asing.
Kejadian di Perancis bukan satu-satunya serangan terhadap sistem penyejukan yang dilaporkan di Eropah.
Pada 2 November, pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah lain turut mengalami gangguan serupa.
Masalah pada sistem penyejukan juga dilaporkan di beberapa negara kira-kira dua minggu selepas serangan pertama di Perancis.
Tentera Amerika kini menyiasat kemungkinan kaitan antara kejadian di Eropah dengan serangan terhadap sistem penyejukan di sebuah pangkalan tenteranya di Arizona pada Ogos lalu.
Sementara itu, badan perkhidmatan darah Perancis turut melaporkan serangan siber terhadap pembekal peralatan penyejukannya, yang menjejaskan tiga pusat penyimpanan darah.
Bagaimanapun, tindakan pantas kakitangan berjaya mengelakkan kerosakan bekalan darah.
Pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada serangan terhadap pusat darah itu mempunyai kaitan dengan kejadian di pasar raya.
Menteri Hal Ehwal Digital dan Kecerdasan Buatan Perancis, Anne Le Henanff, berkata serangan tersebut menunjukkan bahawa kemudahan penting kepada kehidupan harian rakyat semakin terdedah kepada ancaman siber.
Beliau memberi amaran bahawa serangan terhadap sistem penyejukan bukan sekadar mengganggu perniagaan, malah boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Dakwaan terhadap Iran muncul ketika Teheran masih berperang dengan Amerika dan Israel, walaupun kebanyakan negara Eropah berusaha mengelakkan penglibatan langsung dalam konflik tersebut.
Beberapa bekas pegawai keselamatan Barat berpendapat Iran mungkin menggunakan serangan siber untuk menunjukkan bahawa negara itu masih mampu mengancam kepentingan Barat.
Pakar keselamatan siber, Alex Orleans, berkata tindakan sedemikian mungkin bertujuan mengingatkan negara lain supaya tidak memandang rendah keupayaan Teheran.
Namun, pakar turut mengingatkan bahawa sistem penyejukan mungkin menjadi sasaran kerana kelemahan keselamatannya, bukannya semata-mata untuk menyampaikan mesej politik.
Agensi perisikan Amerika pula dilaporkan membuat penilaian awal dengan tahap keyakinan rendah bahawa Iran bertanggungjawab terhadap serangan di Perancis.
Penilaian itu bermakna bukti yang diperoleh masih terhad dan kesimpulan mungkin berubah apabila maklumat baru ditemukan.
Ketua Dasar Luar EU, Cik Kaja Kallas, bagaimanapun menegaskan bahawa Eropah perlu mengambil pendirian tegas terhadap ancaman tersebut.
“Tindak balas kita perlu tegas,” katanya. - Agensi berita