Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Konflik Israel-Hamas dijangka berterusan dalam 2024

Jan 01, 2024 | 05:30 AM



Konflik antara Israel dengan Hamas dilihat akan berterusan tanpa penyelesaian sebenar dan nyata dalam 2024.

Penganalisis yang dihubungi Berita Harian menyatakan mereka melihat konflik kemungkinan besar menemui jalan buntu menjelang 2024.


Malah untuk mencapai perdamaian sejati antara kedua-dua pihak adalah sukar menyaksikan keadaan semasa yang memperlihatkan sedikit harapan ke arah penyelesaian berkekalan dalam masa terdekat.

Penganalisis mengambil kira aspek-aspek politik, sejarah, dan sosial yang telah lama menyumbang kepada ketegangan dan kekerasan di kawasan tersebut.

Faktor seperti perbezaan ideologi, pertikaian wilayah dan isu-isu keamanan berterusan menjadi penghalang utama dalam usaha mencapai perdamaian.

Keadaan semasa di kawasan konflik itu dijangka kekal tegang dengan kejadian kekerasan yang berulang. Apatah lagi kededua pihak, Israel dan Hamas, telah melancarkan serangan balas dalam beberapa bulan terakhir 2023 lantas meningkatkan ketidakstabilan di rantau itu.

Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) meragui kemungkinan adanya daya usaha diplomatik atau proses damai yang signifikan dalam masa terdekat, tetapi berharap bahawa andaian beliau itu dapat dibuktikan salah.

Beliau berkata bahawa satu-satunya jalan adalah bagi Amerika Syarikat mengenakan desakan dan tekanan ke atas Israel agar terus bekerjasama atau menghadapi ancaman kehilangan sokongannya.

Manakala di pihak Hamas, Iran mungkin dapat memanfaatkan pengaruhnya dalam konflik itu.

Dr Mustafa Izzuddin, Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore pula berpandangan:

“Pemerintah Israel semakin beralih ke haluan kanan, yang menjadikan penyelesaian konflik itu semakin sukar. Selagi ada pemerintahan Encik Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) atau pemerintah yang lebih berhaluan kanan daripadanya, konflik Israel-Palestin tidak akan selesai.”

Menurut Dr Mustafa, pemerintah Encik Netanyahu telah hilang sokongan akibat konflik baru-baru ini.

“Tindakan ketenteraan mereka gagal memulangkan tebusan warga Israel, tetapi sebaliknya menyebabkan ribuan awam Palestin terbunuh, memburukkan lagi keadaan konflik tersebut,” tambahnya.

Dalam analisis beliau, walaupun dijangka pentadbiran Encik Netanyahu akan meningkatkan sokongan domestik dengan menghapuskan Hamas, tetapi sebaliknya berlaku.

“Kemampuan Hamas membebaskan tahanan Palestin dari penjara Israel melalui pertukaran tebusan Israel telah meningkatkan sokongan terhadap Hamas dalam kalangan rakyat Palestin sendiri,” jelas Dr Mustafa.

“Israel perlu berunding bukan sahaja dengan Pihak Berkuasa Palestin yang dipimpin Fatah, malah juga dengan Hamas.

“Tanpa kehadiran Hamas di meja rundingan, tidak akan ada penyelesaian bagi konflik Israel-Palestin,” jelas beliau.

Sementara itu, Zamil Kanan, Penyelaras Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata situasi politik di Timur Tengah secara keseluruhannya tidak stabil.

“Israel, sepanjang beberapa tahun sebelum ini, mengalami beberapa perubahan pemerintahan dan pilihan raya, dan ini menunjukkan bahawa pendapat umum tidak homogen.

“Perpecahan di Palestin sentiasa ada. Terdapat Fatah dan Hamas. Masalahnya ialah pembangunan ekonomi di Palestin tidak berjalan lancar.

“Ini disebabkan faktor-faktor dalaman yang berlaku. Jika kita faham, dinamik ini bukan konflik agama, tetapi politik, antara Israel dengan Hamas atau Palestin.”

Dr Norshahril menekankan tentang keperluan memahami politik domestik kedua-dua negara.

“Kita harus lihat pada politik domestik selain daripada hubungan kuasa antara negara-negara Arab, perpecahan yang berlaku dalam negara-negara Timur Tengah dan hubungan mereka dengan kedua-dua Israel dan Palestin.

“Jika kita mahu melihat kesan diplomatik, kita memerlukan sebuah negara neutral menangani masalah ini, negara yang dipercayai oleh kedua-dua Israel dan Palestin untuk bekerjasama,” tambahnya.

PENYELESAIAN DUA NEGARA

Para penganalisis melihat PBB kekal komited untuk menyokong rakyat Palestin dan Israel dalam menamatkan pendudukan dan menyelesaikan konflik selaras dengan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB yang berkaitan dan perjanjian dua hala dalam usaha mencapai penyelesaian dua negara.

Pertempuran yang disifatkan paling berdarah dalam tempoh beberapa dekad di Gaza menghidupkan semula pilihan penyelesaian dua negara sebagai harapan terakhir untuk mengembalikan keamanan di wilayah bergolak di Palestin.

Penganalisis menyatakan  keperluan mendesak untuk meneruskan semula rundingan damai penyelesaian dua negara.

Tetapi usaha-usaha dan strategi yang diperlukan untuk mencapai penyelesaian itu masih tidak jelas.

Ramai diplomat dan penganalisis bersetuju bahawa keamanan berkekalan wajib diusahakan selepas pertempuran antara Israel dengan Hamas tamat.

Penyelesaian untuk konflik pahit yang melanda rantau itu selama hampir seabad dengan membahagikan tanah antara Sungai Jordan dengan Mediterranean bagi mengukir dua negara Israel dan Palestin yang merdeka dan berdaulat yang wujud secara bersebelahan berulang kali disokong oleh pemimpin dunia.

Sekiranya mekanisme sedia ada terbukti gagal membuahkan hasil, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dilihat perlu mengadakan proses rundingan baru dan bersatu.

Ini dalam memainkan peranan penting bagi menyelesaikan krisis di Palestin dan menghasilkan tindakan konkrit bagi menoktahkan segera kekejaman Israel di Gaza.

Dr Tan berkata huraian dua negara yang dirundingkan – satu-satunya cara ke depan dijangka tidak akan dapat dilaksanakan dalam beberapa tahun akan datang.

Ini kerana perang dan pertumpahan darah di kedua-dua pihak tidak akan membuat mana-mana pihak datang ke meja runding dengan niat serius untuk pendekatan jangka panjang terhadap masalah itu.

Dr Mustafa berkata: “Walaupun mendapat sokongan antarabangsa, kenyataan di lapangan menunjukkan bahawa penyelesaian dua negara tidak mungkin berjaya.

“Usaha luaran menunjukkan sesuatu sedang dilakukan untuk mencapai huraian dua negara, tetapi pada akhirnya, tiada apa yang akan dicapai.”

Beliau menambah: “Satu-satunya cara huraian dua negara boleh dilaksanakan adalah jika Amerika menekan Israel untuk melakukannya, kerana tiada cara lain yang akan berjaya.

“Alternatifnya adalah huraian satu negara di mana semua – sama ada Israel atau Palestin – hidup berdampingan dengan hak sama rata di bawah satu negara berdaulat, tetapi itu akan lebih sukar dicapai.”

MENGHARAP KEAJAIBAN

Adakah 2024 akan terus menyaksikan konflik itu yang bukan hanya membawa kesan kepada kedua-dua pihak yang terlibat secara langsung, malah kepada penduduk awam di kawasan tersebut.

Kesan sosioekonomi dan kemanusiaan dirasai oleh ramai penduduk, dengan banyak keluarga kehilangan tempat tinggal, sumber pendapatan, dan terputus daripada perkhidmatan asas.

Walaupun terdapat usaha-usaha antarabangsa untuk mendamaikan kedua-dua pihak, hingga kini, belum ada penyelesaian konkrit yang diperoleh.

Dialog dan perundingan terus menjadi cabaran, dengan setiap pihak mempunyai syarat dan tuntutan berbeza.

Adakah sekali lagi 2024 bakal melihat masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan kemanusiaan, berulang kali mengeluarkan seruan supaya menghentikan kekerasan dan kembali ke meja runding sedang ketegangan dan ketidakpercayaan antara Israel dengan Hamas terus menjadi penghalang utama.

Analisis yang dilakukan oleh para penganalisis politik menunjukkan bahawa tanpa perubahan yang signifikan dalam pendekatan dan sikap kedua-dua pihak, konflik itu diperkira akan berlanjutan hingga 2204.

Keadaan itu membawa implikasi serius bagi kestabilan dan keselamatan kawasan serta kehidupan penduduk di Gaza dan Timur Tengah.

Semua pihak hanya dapat berharap agar berkurangnya konflik.

Tetapi terdapat lebih kemungkinan perang akan memburuk dan ramai mengharapkan berlaku keajaiban pada 2024.

Dr Mustafa menjelaskan: “Perdamaian itu lebih banyak tentang proses daripada tentang perdamaian itu sendiri. Tiada daya usaha diplomatik baru kerana Israel adalah negara yang tidak berminat dalam mewujudkan keamanan, tetapi lebih mengutamakan kekacauan.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >