Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada hasrat kekal di Gaza selepas tumbangkan Hamas: Menteri Pertahanan Israel

Dec 13, 2023 | 10:04 AM
TERBUKA UNTUK BERBINCANG: Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, menyatakan pihaknya tidak berniat kekal di Gaza selepas perang berakhir.
TERBUKA UNTUK BERBINCANG: Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, menyatakan pihaknya tidak berniat kekal di Gaza selepas perang berakhir. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Menteri Pertahanan Israel berkata negaranya tidak berhasrat untuk kekal di Jaluran Gaza dan ia terbuka untuk membincangkan alternatif mengenai siapa yang akan mengawal wilayah itu, selagi ia bukan kumpulan yang memusuhi Israel.

Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, juga berkata bahawa Israel terbuka untuk kemungkinan mencapai persetujuan dengan kumpulan militan yang disokong Iran Hezbollah di Lebanon dengan syarat sebarang perjanjian termasuk menyertakan zon selamat di sepanjang sempadan dan terdapat jaminan yang sewajarnya.

“Israel akan mengambil apa jua langkah untuk memusnahkan Hamas tetapi kami tidak berhasrat untuk kekal di Semenanjung Gaza,” katanya kepada pemberita pada 11 Disember.

Lebih dua bulan sejak Hamas menyerang selatan Israel yang mencetuskan perang dan lebih sebulan sejak Israel melancarkan serangan daratnya, Encik Gallant berkata banyak kemajuan telah dicapai, terutamanya di utara Gaza.

Beliau berkata lagi bahawa Israel terbuka untuk membincangkan alternatif mengenai siapa yang mungkin menguasai Gaza selepas perang.

“Syarat utama ialah badan ini tidak akan bertindak dengan permusuhan terhadap negara Israel. Selebihnya, pada pendapat saya, boleh dibincangkan. Ia pasti bukan Hamas, dan juga bukan Israel. Kami akan mengekalkan kebebasan kami untuk bertindak, untuk beroperasi secara ketenteraan terhadap sebarang ancaman,” tegas beliau.

Dalam peralihan strategi yang jelas, beliau menyeru pejuang dan komander Hamas supaya menyerah diri, bukannya dibunuh.

Lebih 500 militan dari Hamas dan kumpulan yang lebih kecil telah ditangkap setakat ini di Gaza dan dibawa ke Israel untuk disoal siasat, kata tentera pada 11 Disember.

Ditanya tentang perkembangan di sepanjang sempadan dengan Lebanon yang menyaksikan Israel telah memerangi Hezbullah, Encik Gallant berkata:

“Jika Hezbullah membenarkan proses perjanjian, dan saya tidak akan menjelaskan butirannya sekarang, tetapi sudah tentu ia tidak termasuk situasi di mana terdapat jarak selamat dari pagar kami ke pasukan yang boleh menembak ke wilayah Israel atau pasukan yang boleh mengambil tindakan di dalam Israel.

“Jika ini boleh, dengan jaminan yang sesuai, kita boleh bercakap mengenainya.”

Sementara itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata pada 11 Disember bahawa Israel tidak terkecuali daripada dasar negaranya yang menetapkan bahawa mana-mana negara yang menerima senjatanya mesti mematuhi undang-undang perang. Ini berlaku selepas Washington menjual kira-kira 14,000 peluru kereta kebal kepada Israel tanpa semakan Kongres. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg