Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerang hakis kedamaian, nama baik rantau Teluk
Perang hakis kedamaian, nama baik rantau Teluk
Perang hakis kedamaian, nama baik rantau Teluk
DUBAI: Perang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sahaja mencetuskan ketegangan ketenteraan di Asia Barat.
Malah, ia mula menggugat kedudukan negara Teluk sebagai pusat ekonomi dan pelaburan yang selama ini dianggap stabil dan selamat.
Konflik yang berlarutan sejak Februari lalu menyebabkan negara Teluk kini berdepan tekanan baru, daripada gangguan eksport minyak dan gas hinggalah kepada kejatuhan sektor pelancongan, penerbangan dan logistik.
Lebih membimbangkan, penganalisis memberi amaran kesan terhadap nama baik rantau itu mungkin mengambil masa bertahun untuk pulih.
Pakar Ekonomi Majlis Atlantik, Encik Khalid Azim, berkata status ‘safe haven’ atau kawasan selamat yang selama ini menjadi kekuatan utama negara Teluk kian terhakis akibat perang.
“Walaupun konflik akhirnya tamat, premium risiko lebih tinggi akan terus dikenakan terhadap syarikat dan pelabur yang beroperasi di Teluk,” katanya.
Menurut beliau, gangguan perkapalan di rantau itu mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali normal, manakala penutupan berpanjangan Selat Hormuz boleh memaksa perubahan kekal terhadap laluan perdagangan dunia.
“Jika konflik berlarutan, perubahan struktur dalam rantaian bekalan sejagat akan menjadi lebih mendalam dan memberi kos jangka panjang kepada ekonomi Teluk,” katanya.
Kesan perang itu amat besar kerana Selat Hormuz merupakan antara laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.
Sekitar satu pertiga perdagangan minyak mentah laut dunia melalui laluan itu, selain satu perlima penghantaran gas asli cecair (LNG).
Gangguan terhadap laluan strategik tersebut memberi kesan langsung kepada eksport minyak dan gas negara Teluk, khususnya Qatar dan Kuwait yang sangat bergantung pada Selat Hormuz.
Namun, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai sedikit kelebihan kerana kedua-dua negara memiliki prasarana alternatif untuk mengelakkan pergantungan penuh kepada selat itu.
Arab Saudi misalnya, menggunakan saluran paip timur-barat untuk menyalurkan sehingga tujuh juta tong minyak sehari ke Laut Merah; manakala UAE menggunakan saluran paip Habshan-Fujairah untuk mengeksport minyak melalui Teluk Oman.
Langkah itu membolehkan kedua-dua negara terus meraih keuntungan ketika harga minyak dunia melonjak akibat perang.
Saudi Aramco dilapor mencatat peningkatan keuntungan 26 peratus pada suku pertama 2026.
Bagaimanapun, penganalisis menegaskan keuntungan jangka pendek daripada kenaikan harga minyak tidak mencukupi untuk menampung kerosakan lebih besar terhadap ekonomi rantau itu.
Selain gangguan eksport, perang turut menyebabkan kerosakan besar terhadap kemudahan tenaga di Teluk.
Lebih 80 kemudahan tenaga termasuk loji pengeluaran, penapisan minyak dan saluran paip dilaporkan menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu Iran.
Nilai kerosakan pula dianggar mencecah AS$58 bilion ($74 bilion).
Qatar antara negara paling terkesan apabila hab industri Ras Laffan yang menjadi pusat utama LNG negara itu mengalami kerosakan serius.
QatarEnergy menganggarkan kerja pemulihan penuh mungkin mengambil masa sehingga lima tahun.
Keadaan itu memberi tekanan besar kepada negara Teluk yang selama ini cuba mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dan gas melalui strategi kepelbagaian ekonomi.
Sejak dua dekad lalu, negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) giat membangun sektor pelancongan, penerbangan dan logistik sebagai sumber pertumbuhan baharu.
Dubai, Doha dan Abu Dhabi muncul sebagai hab penerbangan serta pelancongan antarabangsa utama dunia.
Namun, perang menyebabkan sektor itu menerima tamparan besar.
Firma penarafan Moody’s menjangkakan kadar penghunian hotel di Dubai merosot kepada hanya 10 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 80 peratus sebelum perang.
Serangan Iran ke atas kawasan awam termasuk hotel dan bangunan kediaman menyebabkan ramai pelancong membatalkan perjalanan ke rantau tersebut.
Syarikat penerbangan utama seperti Emirates, Etihad dan Qatar Airways turut berdepan tekanan kewangan apabila lebih 30,000 penerbangan ke Asia Barat dibatalkan pada bulan pertama perang.
Harga bahan api jet yang menjadi kos operasi utama syarikat penerbangan turut meningkat hampir 90 peratus berbanding purata tahunan.
Konflik itu turut memperlihatkan bagaimana negara GCC kini bergerak dengan model ekonomi yang kian berbeza.
Arab Saudi mempercepat transformasi ekonomi menerusi pelan Wawasan 2030 selepas menyedari model lama berasaskan minyak tidak lagi mampu menjamin kemakmuran jangka panjang.
UAE pula lebih awal mempelbagaikan ekonomi melalui perdagangan, logistik, kewangan dan penerbangan, manakala Qatar menumpukan pelaburan besar dalam LNG.
Sebaliknya, Kuwait dilihat lebih mengekalkan kekayaan sedia ada tanpa perubahan ekonomi besar.
Bahrain dan Oman pula cuba mempelbagaikan ekonomi secara lebih perlahan akibat sumber hidrokarbon yang lebih terhad.
Encik Khalid berkata tekanan untuk membuat perubahan ekonomi kini semakin mendesak kerana separuh penduduk GCC berusia bawah 25 tahun dan memasuki pasaran pekerjaan dengan harapan baharu yang tidak lagi boleh dipenuhi model lama.
“Pemodenan dan kepelbagaian ekonomi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan ekonomi,” katanya.
Pasaran kewangan kini mula menilai semula tahap daya ketahanan ekonomi negara Teluk.
Menurut Encik Khalid, petunjuk pasaran kewangan menunjukkan Qatar dan Kuwait masih dianggap mempunyai kedudukan kewangan paling kukuh oleh pelabur, manakala Arab Saudi dan Oman berada sedikit di belakang.
Bahrain pula terus berdepan tekanan akibat beban hutang negara yang tinggi.
Moody’s menurunkan prospek Bahrain daripada ‘stabil’ kepada ‘negatif’, yang dijangka meningkatkan kos pinjaman negara itu.
Walaupun negara GCC memiliki dana kekayaan negara bernilai antara AS$4 trilion dengan AS$6 trilion, sebahagian dana itu dijangka digunakan untuk pembinaan semula dan pengukuhan daya pertahanan selepas perang.
Ini sekali gus boleh menjejas projek mega jangka panjang seperti Neom di Arab Saudi yang sudah beberapa kali dikecilkan skopnya akibat tekanan kewangan.
Penganalisis melihat perang ini sebagai titik perubahan besar terhadap masa depan ekonomi Teluk.
Selama puluhan tahun, rantau itu berkembang dengan bergantung pada minyak, kestabilan politik dan kedudukannya sebagai pusat perdagangan selamat.
Namun, perang Iran kini mengubah persepsi tersebut.
Jika sebelum ini Teluk dilihat sebagai pusat kestabilan ekonomi Asia Barat, konflik semasa menunjukkan rantau itu juga terdedah kepada risiko geopolitik yang boleh mengubah perdagangan sejagat dalam tempoh singkat.
Encik Khalid berkata masa depan ekonomi Teluk selepas perang tidak lagi hanya bergantung pada tenaga.
“Fasa seterusnya pembangunan ekonomi Teluk akan ditentukan oleh kemampuan negara-negara ini menjana pertumbuhan mampan tanpa bergantung sepenuhnya pada minyak, dan sama ada pasaran dunia bersedia mengiktiraf perubahan itu,” katanya. – Agensi berita.
