KAHIRAH: Perang Iran yang bermula dengan pertempuran antara Teheran dengan Amerika Syarikat dan Israel kini berisiko berkembang menjadi konflik maritim yang merentasi tiga laluan perdagangan paling strategik dunia – Selat Hormuz, Selat Bab al-Mandab dan Terusan Suez.

Serangan dron terhadap dua kapal gas di bandar pelabuhan Damietta, Mesir, pada 29 Julai lalu menjadi petunjuk paling membimbangkan bahawa kesan peperangan itu kian menghampiri Terusan Suez.

Serangan tersebut menyebabkan kebakaran pada sebuah unit penyimpanan dan pengegasan semula terapung milik Amerika serta sebuah kapal tangki gas asli cecair (LNG) milik Greece.

Pegawai marin yang memadamkan kebakaran dilaporkan bimbang letupan lebih besar boleh memusnahkan sebahagian pelabuhan dan menjejas kawasan berdekatan.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dan asal dron itu masih belum dapat dipastikan.

Namun, kepentingan serangan tersebut bukan hanya mengenai siapakah yang melancarkannya.

Lebih membimbangkan ialah ia menunjukkan bahawa pelabuhan Mesir dan kapal yang menggunakan laluan berhampiran Terusan Suez kini berada dalam lingkungan ancaman perang serantau.

Ini membawa satu perubahan penting dalam konflik tersebut.

Iran telah menggunakan kedudukannya di Selat Hormuz sebagai tekanan terhadap perdagangan tenaga dunia, sementara Houthi di Yaman pula mempunyai kemampuan mengancam kapal melalui Selat Bab al-Mandab dan Laut Merah.

Sekiranya ancaman yang sama berkembang sehingga ke kawasan Terusan Suez, tiga laluan maritim yang saling berkaitan boleh terjejas serentak.

Mesir bukan pihak utama dalam perang Iran, tetapi kedudukan geografinya menyebabkan negara itu sukar mengelakkan kesan konflik.

Terusan Suez menghubungkan Laut Merah dengan Laut Mediterranean dan merupakan antara laluan perdagangan terpenting antara Asia dengan Eropah.

Mesir juga mempunyai saluran paip Sumed yang digunakan untuk membawa minyak dari Laut Merah ke Laut Mediterranean, termasuk minyak dari Arab Saudi.

Justeru, tekanan terhadap laluan itu boleh memberi kesan bukan sahaja kepada Mesir, malah perdagangan dan pasaran tenaga antarabangsa.

Pengarah Eksekutif Sementara Majlis Dasar Timur Tengah, Encik Nicholas Heras, menyifatkan Mesir sebagai sasaran yang terdedah kerana faktor geografinya.

Menurut beliau, Houthi berada pada kedudukan paling sesuai untuk membantu strategi lebih luas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menjadikan Laut Merah sebagai laluan yang semakin berisiko.

Jika ancaman itu menyebabkan lebih banyak kapal mengelakkan Terusan Suez, kesannya terhadap ekonomi Mesir boleh menjadi besar ketika negara tersebut sudah berdepan tekanan ekonomi.

Dalam konteks itu, ancaman terhadap Terusan Suez boleh memberikan Teheran satu bentuk tekanan tidak langsung.

Ia tidak perlu menyerang Mesir secara terbuka.

Cukup sekadar meningkatkan persepsi bahawa laluan tersebut tidak lagi selamat sehingga syarikat perkapalan, pengendali kapal tangki dan syarikat insurans mula membuat perhitungan semula.

Penganalisis keselamatan firma Horizon Engage, Encik Alex Almeida, percaya dron yang menyerang Damietta lebih berkemungkinan dilancarkan dari barat Iraq berbanding Yaman.

Jarak dari wilayah Anbar di Iraq ke Damietta sekitar 900 kilometer, berbanding kira-kira 2,000 kilometer dari utara Yaman.

Namun, Houthi sebelum ini sudah menunjukkan kemampuan melancarkan dron jarak jauh sehingga ke Israel.

Menurut Encik Almeida, serangan itu boleh menjadi sebahagian daripada strategi lebih luas yang membawa mesej bahawa jika Iran tidak dapat mengeksport tenaga dengan bebas, negara lain juga tidak harus menganggap eksport mereka akan berjalan tanpa gangguan.

Corak itu dapat dilihat melalui serangan terhadap kemudahan tenaga Saudi dan kapal yang melalui laluan strategik serantau.

Serangan dari Iraq terhadap kemudahan pemprosesan minyak Abqaiq di Saudi, serta serangan Houthi terhadap prasarana tenaga di Jizan dan Yanbu, menunjukkan tekanan tidak lagi tertumpu pada satu medan.

Jika strategi itu diteruskan, kapal yang membawa minyak dari Yanbu menuju Terusan Suez atau sasaran tenaga di Mediterranean Timur juga boleh terdedah.

Penggunaan kumpulan sekutu turut memberi Iran kelebihan strategik.

Teheran boleh meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga dan perdagangan antarabangsa tanpa semestinya melakukan serangan secara langsung dari wilayahnya yang boleh mencetuskan serangan balas Amerika.

Perkembangan di Selat Hormuz turut meningkatkan kepentingan Selat Bab al-Mandab.

Apabila laluan minyak melalui Selat Hormuz terganggu, Laut Merah menjadi semakin penting sebagai laluan alternatif.

Penganalisis Encik Mohammed Al-Basha daripada Basha Report berkata peningkatan kepentingan Selat Bab al-Mandab memberikan Houthi pengaruh lebih besar.

Dengan mengancam perkapalan melalui selat itu, Houthi boleh meningkatkan tekanan terhadap Saudi dan pada masa sama memperkukuh kedudukannya dalam sebarang rundingan akan datang.

Hubungan Iran-Houthi juga semakin rapat sejak konflik serantau yang menyusuli serangan 7 Oktober 2023.

Menurut Encik Al-Basha, rangkaian penghantaran senjata Iran ke Yaman masih beroperasi meskipun perang semakin meluas, menunjukkan kemampuan Houthi untuk mengekalkan tekanan maritim belum terhapus.

Risiko lebih serius ialah penggunaan periuk api laut di Bab al-Mandab.

Pakar operasi tentera laut Institut Hudson, Encik Bryan Clark, berkata tindakan melombong selat tersebut boleh menjadi antara cabaran paling sukar untuk ditangani Amerika dan sekutunya.

Saudi mahu bina tindak balas serantau.

Negara serantau pula mula menyedari bahawa ancaman terhadap Laut Merah tidak boleh ditangani secara bersendirian.

Saudi mencadangkan pembentukan gabungan multinasional bagi memastikan laluan perkapalan Laut Merah kekal terbuka.

Mesir dijangka menjadi anggota penting kerana keselamatan Laut Merah berkait secara langsung dengan Terusan Suez dan kepentingan ekonominya.

Namun, kemampuan gabungan itu masih dipersoalkan.

Encik Almeida berkata selain Saudi, hanya Mesir dan Turkey mempunyai kekuatan tentera laut yang besar dalam gabungan tersebut.

Mereka juga mungkin berhati-hati untuk berdepan secara langsung dengan kemampuan antikapal Houthi, terutama selepas Amerika sendiri menghadapi cabaran dalam operasi menentang kumpulan itu.

Ketiadaan Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang mempunyai pengalaman operasi di Yaman dan Laut Merah, turut menimbulkan persoalan mengenai kekuatan gabungan tersebut.

Suez kini sebahagian daripada percaturan perang

Ancaman terbesar kepada Mesir bukan semestinya serangan langsung terhadap Terusan Suez.

Ancaman sebenar ialah kemungkinan perang Iran mengubah seluruh kawasan dari Teluk hingga Laut Mediterranean menjadi satu medan tekanan maritim yang saling berkaitan.

Jika Hormuz tidak selamat, lebih banyak tekanan beralih kepada Bab al-Mandab.

Jika Bab al-Mandab turut terganggu, kapal menuju Suez akan terjejas.

Dan jika pelabuhan Mesir sendiri mula menjadi sasaran, keyakinan terhadap keseluruhan laluan itu boleh merosot.

Inilah sebab serangan Damietta mempunyai makna strategik jauh melangkaui kerosakan yang berlaku di pelabuhan tersebut.

Ia menunjukkan sempadan geografi perang semakin kabur.

Mesir mungkin enggan menjadi sebahagian daripada konflik Iran, tetapi kedudukannya sebagai penjaga Terusan Suez menjadikannya sukar untuk kekal di luar percaturan.

Jika sebelum ini kebimbangan dunia tertumpu pada siapa yang menguasai Selat Hormuz dan Bab al-Mandab, serangan di Damietta menimbulkan persoalan baharu yang lebih besar .

Adakah Terusan Suez kini menjadi mata tekanan seterusnya dalam perang yang kian meluas? – Agensi berita.