Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Perang Israel-Hamas jauh dari tamat walau gencatan senjata dilaksana: Penganalisis

Penyelesaian jangka panjang baru harus dibentang bagi pastikan gencatan senjata berterusan
Nov 24, 2023 | 05:12 PM



Gencatan senjata antara Israel dengan Hamas telah bermula pada Jumaat tetapi penyelesaian bagi perang itu masih jauh daripada tamat pada jangka masa terdekat.

“Syarat gencatan senjata yang dilaporkan ialah kira-kira 50 atau lebih tebusan akan dibebaskan (oleh Hamas). Tiada butiran lain telah dilaporkan kecuali bagi setiap 10 tebusan tambahan, gencatan senjata akan dilanjutkan buat sehari lagi.

“Sama ada Hamas akan bersetuju dengan gencatan senjata tambahan ini bergantung kepada sama ada kepimpinan tentera Hamas melihat kelebihan bagi ketenteraannya.

“Ini hanyalah gencatan senjata bukan penamat kepada peperangan dan pertimbangan utama bagi kedua-dua pihak adalah sama ada untuk mendapatkan kelebihan ketenteraan atau sekurang-kurangnya tidak kehilangan sebarang kelebihan ketenteraan,” kata mantan diplomat kanan Singapura, Encik Bilahari Kausikan.

Penganalisis lain yang bercakap dengan Berita Harian (BH) berharap Hamas akan menggunakan peluang ini untuk membebaskan tebusan, dan pada masa yang sama, dapat kembalikan tahanan warga Palestin dari Israel.


“Saya harap Hamas akan bersetuju. Saya harap gencatan senjata akan kekal,” kata Duta Kelana di Kementerian Ehwal Luar (MFA), Profesor Tommy Koh.

Dr Mustafa Izzuddin, Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, berharap Hamas akan mempertimbangkan untuk membebaskan lebih ramai tebusan melebihi jumlah yang dipersetujui pada awalnya iaitu 50 untuk membolehkan gencatan senjata yang lebih lama.

“Hamas mungkin akan bersetuju kerana mereka mendapat kembali tebusan Palestin yang dipenjara oleh Israel adalah salah satu objektif utamanya,” kata Dr Mustafa.

Beliau menambah bahawa selain Hamas, yang telah menggesa gencatan senjata, Israel juga sangat memerlukan gencatan senjata itu memandangkan tekanan domestik yang dihadapinya.

“Pemerintah Israel kehilangan sokongan daripada kedua-dua pihak domestik dan antarabangsa, usaha mereka untuk mendapatkan kembali tebusan telah sia-sia, dan terdapat tekanan luar daripada rakan dan sekutu Israel untuk bersetuju dengan gencatan senjata.

“Hamas bersetuju dengan gencatan senjata kerana tekanan dalaman daripada rakyat Palestin dan tekanan luar daripada negara-negara yang berkomunikasi dengan mereka, tidak terkecuali Qatar yang telah menjadi pengantara gencatan senjata ini,” kata Dr Mustafa.

Anggota Lembaga Institut Timur Tengah, Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani, juga bersetuju pemerintah Israel tidak mempunyai pilihan selain bersetuju dengan gencatan senjata memandangkan mereka telah gagal membawa pulang kebanyakan tebusan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober.

“Pemerintah Israel di bawah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berada di bawah tekanan hebat daripada keluarga tebusan dan juga masyarakat Israel untuk bersetuju dengan gencatan senjata kerana mereka telah menunggu pembebasan keluarga mereka. Mereka mengutamakan pembebasan daripada serangan balas dendam ke atas Hamas,” kata Encik Fazlur.

Semasa gencatan senjata selama empat hari ini, Mesir berkata 130,000 liter diesel, 200 trak bantuan dan empat trak gas akan dihantar setiap hari ke Gaza.

Tetapi penganalisis berkata, ini mungkin tidak mencukupi dan penyelesaian jangka panjang diperlukan memandangkan kemusnahan besar-besaran terhadap rumah dan kehidupan di Gaza.

“Saya fikir bantuan kemanusiaan itu hanya memberikan bantuan sementara dan mungkin ada ramai penduduk yang akan tergesa-gesa untuk mendapat bantuan itu,” kata Dr Mustafa.

Encik Fazlur Rahman berharap bantuan kemanusiaan dan rawatan perubatan akan diselaraskan dan diagihkan dengan baik untuk rakyat Palestin.

“Gencatan senjata ini mesti membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Palang Merah, Bulan Sabit Merah & pertubuhan kemanusiaan yang berkaitan untuk menyelaraskan usaha demi memenuhi keperluan rakyat Palestin.

“Kami pernah melihat huru-hara sebelum ini apabila rakyat Palestin yang dilanda kelaparan bergegas & mengambil makanan dari pusat penghantaran.

“Mesti ada zon selamat yang disediakan untuk memindahkan mereka dan memastikan pengagihan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” kata Encik Fazlur.

Penganalisis berkata penyelesaian paling baik ialah gencatan senjata jangka panjang dan agar serangan antara Israel dengan Hamas dapat dihentikan menerusi perundingan penyelesaian dua negara. Namun, buat masa kini, harapan sedemikian tidak dapat dilihat.

“Satu-satunya penyelesaian jangka panjang ialah penyelesaian dua negara tetapi tidak ada jalan yang sesuai untuk penyelesaian sedemikian,” ujar Encik Bilahari.

Dr Mustafa berkata, selagi penyelesaian konflik itu tidak ditemui, konflik akan berterusan apabila gencatan senjata berakhir.

“Selagi mana Israel diperintah oleh Encik Netanyahu atau oleh mana-mana sayap kanan Israel, penyelesaian dua negara bagi konflik itu tidak akan menjadi kenyataan.

“Walaupun gencatan senjata sementara ini memberi peluang untuk mencari penyelesaian yang berpanjangan kepada konflik itu, kekurangan golongan sederhana di pihak Israel akan menjadikannya satu kemungkinan yang jauh,” kata Dr Mustafa.

Memandangkan kekurangan penyelesaian jangka panjang, Profesor Koh berkata harapan untuk penyelesaian jangka panjang tidak boleh diketepikan dan negara-negara antarabangsa perlu bersatu untuk mencadangkan penyelesaian baru.

“Apabila perang tamat, saya berharap PBB dan Amerika Syarikat akan melancarkan inisiatif baru untuk mencapai perdamaian antara Israel dengan Hamas,” kata Profesor Koh.

“Pemerintah Amerika mesti menggunakan pendekatan perdamaian yang lebih objektif, dan bukan dasar pro-Israelnya seperti kini yang mengendahkan resolusi PBB.

“Ini juga merujuk kepada penempatan haram & serangan Israel oleh warga Israel ke atas rakyat Palestin dan rumah mereka,” kata Encik Fazlur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >