Perang jejas ekonomi Iran, bazar Teheran lengang menjelang Aidilfitri
Perang jejas ekonomi Iran, bazar Teheran lengang menjelang Aidilfitri
TEHERAN: Hampir tiga minggu konflik di Iran memberi kesan besar kepada ekonomi negara itu apabila bazar utama di Teheran yang biasanya sibuk kini lengang, dengan banyak kedai ditutup dan harga barangan meningkat.
Situasi itu berlaku ketika rakyat Iran sepatutnya membuat persiapan untuk sambutan Tahun Baharu Parsi, Nowruz, dan Aidilfitri, tempoh yang lazimnya menyaksikan peningkatan aktiviti jual beli.
Namun pada 18 Mac, suasana di bazar tersebut jauh berbeza apabila hanya segelintir pengunjung dilihat membeli-belah, manakala ramai sekadar melihat tanpa berbelanja.
Seorang penduduk, dikenali sebagai Cik Nisrin, 40 tahun, berkata keadaan ekonomi semakin membebankan, terutama selepas tercetusnya perang. “Bagaimana kami mampu membeli apa-apa?” katanya ketika mencari pakaian untuk dua anaknya.
Beliau yang bekerja di sebuah klinik pergigian dengan pendapatan sekitar AS$130 (S$166) sebulan berkata sebelum ini masih mampu membeli keperluan asas serta pakaian baharu. Namun, perang telah menambah tekanan kepada kos sara hidup yang sedia tinggi.
Cik Nisrin berkata suasana membeli-belah menjelang Nowruz kini jauh berbeza berbanding masa lalu.
Beliau mengimbas kenangan ketika ibunya mampu membeli pelbagai pakaian dan hadiah untuk lima anak.
Kini, katanya, perkara itu hampir mustahil walaupun bagi keluarga kelas pertengahan.
Menurut peniaga dan pelanggan, harga barangan meningkat lebih tinggi daripada kadar inflasi sekitar 36 peratus yang direkodkan sepanjang 2025.
Pemerintah Iran belum mengeluarkan data ekonomi terkini sejak konflik bermula pada 28 Februari.
Namun, kesan perang sudah jelas dirasai di lapangan, khususnya dalam sektor peruncitan.
Bazar Teheran yang terletak di pusat bandar merupakan nadi ekonomi utama, menempatkan pelbagai jenis perniagaan termasuk pakaian, makanan, rempah, karpet dan barangan elektronik.
Kompleks besar itu yang biasanya dipenuhi pelanggan kini kelihatan sunyi, dengan banyak kedai masih ditutup.
Selain kemerosotan perniagaan, beberapa bahagian bazar turut mengalami kerosakan fizikal akibat serangan udara.
“Bahaya, bahaya!” jerit seorang peniaga sambil memberi amaran kepada orang ramai yang melalui kawasan runtuhan siling.
Seorang peniaga pakaian, Encik Pouria Rahbar-Yektashenais, berkata perniagaannya baru sahaja pulih daripada kemerosotan ekonomi sebelum perang tercetus. “Semuanya runtuh,” katanya. Beliau berkata terpaksa menutup kedainya selama dua minggu kerana bimbang bazar menjadi sasaran serangan.
Kini, walaupun kedainya sudah dibuka semula, keadaan masih belum pulih. “Sekarang anda boleh lihat sendiri keadaannya,” katanya sambil menunjukkan deretan kedai yang masih ditutup dan lorong yang hampir kosong.
Konflik yang melibatkan Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel bukan sahaja memberi kesan kepada keselamatan, malah menambah tekanan kepada ekonomi yang sudah lama terjejas akibat sekatan antarabangsa.
Walaupun sebahagian perniagaan dan pejabat kerajaan masih beroperasi, aktiviti ekonomi keseluruhan dilihat semakin perlahan.
Aidilfitri dan Nowruz yang biasanya disambut dengan meriah kini berlangsung dalam suasana sederhana.
Ramai keluarga terpaksa mengurangkan perbelanjaan dan memberi tumpuan kepada keperluan asas.
Situasi ini mencerminkan kesan langsung konflik terhadap kehidupan harian rakyat Iran, yang kini berdepan gabungan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan keselamatan. - Agensi berita

