Letupan gegar bandar utama, ketika Iran serang pangkalan berkait AS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan gegar bandar utama, ketika Iran serang pangkalan berkait AS

Enam negara Majlis Kerjasama Teluk adakan mesyuarat tergempar secara maya untuk selaras tindak balas bersama
Mar 2, 2026 | 3:12 PM

Letupan gegar bandar utama, ketika Iran serang pangkalan berkait AS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Perang, Iran, Teluk, AS, Israel
Pemandu kenderaan melalui kawasan ketika kepulan asap menjulang ke udara susulan serangan yang dilaporkan dilakukan Iran di kawasan perindustrian Doha pada 1 Mac 2026. - Foto AFP

DUBAI: Konflik Asia Barat memasuki fasa lebih berbahaya apabila Iran melancarkan serangan untuk hari ketiga berturut-turut ke atas negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat, menyebabkan letupan kedengaran di beberapa bandar utama termasuk di Abu Dhabi, Dubai, Doha, Manama dan Kuwait City.

Agensi berita AFP, Reuters serta beberapa saksi melaporkan beberapa dentuman kuat bergema di bandar-bandar berkenaan, sekali gus menggoncang rantau yang selama ini dianggap stabil berbanding kawasan konflik lain di Asia Barat.

Tentera Israel pula mengesahkan Iran melancarkan gelombang peluru berpandu baharu ke arah negara itu pada 2 Mac.

Di Israel, letupan turut kedengaran di Baitulmakdis selepas tentera negara itu mengesan pelancaran peluru berpandu dari Iran.

“Sistem pertahanan beroperasi untuk memintas ancaman,” kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF), sambil menambah amaran awal dihantar ke telefon bimbit penduduk di kawasan terjejas.

Tiada laporan segera mengenai kesan langsung, dan letupan dipercayai berpunca daripada pemintasan peluru berpandu di udara.

Kementerian Dalam Negeri Bahrain memaklumkan seorang maut selepas serpihan peluru berpandu yang dipintas mencetuskan kebakaran pada sebuah kapal asing di pelabuhan Salman.

Kejadian itu menjadikan jumlah korban di negara Teluk meningkat kepada lima orang sejak 28 Februari.

Sejak permulaan serangan, pelbagai prasarana awam terjejas termasuk lapangan terbang, pelabuhan, bangunan kediaman dan hotel di negara Teluk.

Iran sebelum ini menegaskan ia tidak akan berunding dengan Amerika dan akan terus menyasarkan pangkalan tentera Amerika di rantau tersebut.

Kuwait pula turut memintas beberapa dron musuh berhampiran kawasan Rumaithiya dan Salwa tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Saksi yang ditukil Reuters berkata bunyi letupan serta semboyan amaran kedengaran sebelum sistem pertahanan udara bertindak.

Enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) – Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait – telah mengadakan mesyuarat tergempar secara maya untuk menyelaras tindak balas bersama.

Negara itu menyatakan kesediaan mempertahankan keselamatan masing-masing.

“Kami akan mengambil semua langkah perlu untuk melindungi wilayah, rakyat dan penduduk termasuk membalas pencerobohan jika perlu,” kata kenyataan bersama selepas mesyuarat.

Kenyataan itu turut menggesa serangan dihentikan serta-merta dan menegaskan kestabilan Teluk penting kepada ekonomi dunia.

“Kestabilan rantau Teluk bukan sekadar isu serantau malah tonggak utama kestabilan ekonomi sejagat,” katanya.

Menurut analisis imej satelit, rakaman video yang disahkan dan kenyataan rasmi pihak tentera Amerika, Iran telah melancarkan serangan terhadap sekurang-kurangnya enam kemudahan ketenteraan Amerika di Asia Barat sejak 28 Februari.

Ia termasuk pangkalan tentera di Bahrain, Kuwait, Qatar dan UAE dalam tindakan balas ketegangan serantau yang semakin meningkat itu.

Kemudahan di Bahrain, Iraq dan UAE serta tiga lokasi di Kuwait dilaporkan terkena serangan, merosakkan bangunan termasuk peralatan perhubungan satelit.

Pegawai Amerika berkata tiga anggota tentera terbunuh dan lima cedera parah dalam serangan ke atas Kem Arifjan di Kuwait.

Pangkalan Armada Kelima Tentera Laut Amerika di Manama turut terkena serangan peluru berpandu dan dron yang memusnahkan beberapa struktur.

Imej satelit menunjukkan dua terminal komunikasi satelit musnah dan beberapa bangunan rosak teruk.

Di Iraq, pangkalan tentera di Lapangan Terbang Antarabangsa Erbil dilaporkan terbakar dengan kepulan asap tebal kelihatan.

Serangan balas Teheran kini meluas ke bandar perdagangan dan penerbangan utama, sekali gus menjejas perjalanan udara dan perdagangan serantau.

Penganalisis memberi amaran konflik berpotensi berkembang menjadi perang lebih luas jika serangan berterusan.

Seorang pegawai keselamatan serantau berkata keadaan masih tidak menentu.

“Keadaan boleh berubah dengan sangat pantas. Setiap serangan baharu meningkatkan risiko konflik besar di rantau ini,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg