Serangan AS-Israel ke atas Iran buka fasa baru konflik
Tindakan ketenteraan ke atas Iran bakal ubah imbangan kuasa serantau
TEHERAN: Serangan udara besar-besaran Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari menandakan satu perubahan mendadak dalam dasar Washington terhadap Teheran. Buat pertama kali dalam tempoh beberapa dekad, tindakan ketenteraan itu bukan sekadar usaha mengekang program nuklear, tetapi dilihat sebagai percubaan jelas untuk menamatkan pemerintahan Republik Islam.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sendiri mengesahkannya apabila berkata operasi itu bertujuan “melindungi rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman segera daripada rejim Iran”. Pada masa sama beliau menggesa rakyat Iran bangkit menggulingkan pemerintah mereka, dengan mesej: “Saat kebebasan kamu telah tiba… ambil alih pemerintah kamu.”
Pendekatan ini membawa konflik Amerika Syarikat dan Iran memasuki dimensi baharu. Ia bukan lagi konflik pencegahan, tetapi konflik pilihan.
Beberapa jam kemudian, beliau mengumumkan di media sosial bahawa Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan tersebut. Jika disahkan sepenuhnya, pengumuman itu bukan sekadar perkembangan ketenteraan tetapi percubaan menamatkan struktur pemerintahan Republik Islam secara langsung.
Beberapa penilaian keselamatan Amerika sendiri menunjukkan Iran belum hampir memiliki senjata nuklear. Laporan perisikan pertahanan sebelum ini menganggarkan Teheran memerlukan sekitar satu dekad lagi untuk menghasilkan senjata nuklear dalam jumlah signifikan.
Tambahan pula, tiada petunjuk serangan Iran akan berlaku dalam masa terdekat terhadap Amerika, sekutunya atau pangkalannya di rantau Asia Barat.
Pakar undang-undang Universiti Cambridge di United Kingdom Profesor Marc Weller menegaskan, “Amerika Syarikat tidak boleh mendakwa bertindak mempertahankan diri. Tiada ancaman segera yang memerlukan tindak balas ketenteraan.”
Beliau menambah rundingan pelucutan senjata masih berjalan dan “tidak benar bahawa penggunaan kekerasan adalah satu-satunya pilihan”. Ini menurutnya menjadikan keputusan Washington lebih bersifat strategik daripada defensif.
Serangan tersebut menyasarkan bukan sahaja kemudahan nuklear tetapi juga peluru berpandu balistik, radar, struktur kepimpinan serta elemen penting dalam pasukan Pengawal Revolusi Iran.
Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara di Chatham House, Sanam Vakil, berkata serangan itu bukan sekadar melemahkan kemampuan ketenteraan Iran di pinggiran, tetapi merupakan pukulan langsung terhadap struktur keselamatan negara dan keseluruhan sistem pemerintahannya. Menurut beliau, konflik berkenaan kini bersifat menentukan kelangsungan kerana ia menyentuh masa depan rejim Iran itu sendiri.
Encik Trump pula menggambarkan tindakan itu sebagai kemuncak permusuhan selama 47 tahun sejak Revolusi Islam 1979. Matlamatnya bukan sekadar memaksa rundingan tetapi mentakrif semula keseluruhan hubungan antara dua negara.
Namun sejarah menunjukkan menjatuhkan pemerintah jauh lebih mudah daripada membina kestabilan selepas itu. Encik Vakil mengingatkan ruang antara kejatuhan rejim dan pembentukan demokrasi sering menjadi “fasa paling berbahaya”.
Beliau berkata: “Tekanan ketenteraan luar boleh melemahkan rejim, tetapi tidak secara automatik membina alternatif yang berfungsi.”
Iran juga berbeza daripada Iraq pada 2003. Negara itu memiliki institusi negara lebih kukuh, ideologi mendalam dan rangkaian serantau meluas. Malah, serangan balas dilancarkan hanya beberapa jam selepas serangan pertama, menunjukkan persediaan awal.
Teheran kemudian menyerang Israel dan beberapa lokasi di rantau itu, menandakan konflik tidak akan kekal terhad secara geografi.
Pengarah Chatham House, badan pemikir dasar antarabangsa di London, Encik Bronwen Maddox menyifatkan strategi Washington sebagai tidak konsisten dan berisiko. “Pertukaran rejim tidak boleh dicapai melalui serangan dari udara semata-mata,” katanya.
Beliau menegaskan Washington kini mengejar terlalu banyak sasaran serentak iaitu memusnahkan program nuklear, melumpuhkan peluru berpandu dan pada masa sama berharap rakyat Iran bangkit menggulingkan pemerintah. “Ini resepi kekeliruan,” katanya.
Lebih membimbangkan, penunjuk perasaan Iran sendiri belum tentu sanggup kembali ke jalanan. Puluhan ribu pernah ditembak dalam gelombang protes terdahulu dan ramai kini merasakan mereka dibiarkan bersendirian.
Pengarah Program Amerika Syarikat dan Amerika Utara di Chatham House Cik Laurel Rapp menyatakan strategi Amerika bergantung kepada satu andaian besar iaitu rakyat Iran akan bangkit menggulingkan pemerintah. Beliau menyifatkannya sebagai “pertaruhan besar”.
Jika kebangkitan tidak berlaku, Washington akan berdepan dua pilihan: berundur atau meningkatkan lagi penglibatan ketenteraan.
Encik Trump sebelum ini berkempen untuk menamatkan perang berpanjangan dan membawa pulang tentera Amerika. Tindakan baharu ini bertentangan dengan mandat tersebut. Menurut Cik Rapp, “Rakyat Iran akan menanggung kos tertinggi tanpa jaminan ganjaran.”
Iran tidak berdiam diri. Serangan balas terhadap Israel dan kawasan lain menunjukkan Teheran memilih meluaskan medan konflik bagi meningkatkan kos kepada sekutu Amerika.
Pengarah Program Keselamatan Antarabangsa, Marion Messmer, memberi amaran serangan itu berisiko menjerumuskan lebih banyak negara ke dalam kancah konflik. Selain bahaya peperangan meluas, beliau melihat kesan diplomatik yang jauh lebih mendalam.
Menurutnya, tindakan ketenteraan ketika rundingan belum menemui jalan buntu sepenuhnya akan “menghakis kepercayaan negara lain terhadap rundingan dengan Amerika pada masa depan”. Jika berterusan, ia berpotensi melemahkan keseluruhan sistem diplomasi antarabangsa.
Satu persoalan besar ialah sama ada sekutu Iran seperti kumpulan Houthi di Yaman akan terlibat secara langsung. Penyelidik Encik Farea Al-Muslimi menjelaskan kumpulan itu berhati-hati kerana tidak mahu dilihat berperang semata-mata bagi pihak Iran. Legitimasi domestik mereka lebih bergantung kepada naratif solidariti Palestin.
Namun kumpulan Houthi masih memiliki pengaruh besar termasuk keupayaan mengancam laluan perdagangan Laut Merah. “Penglibatan mungkin berlaku jika mereka diserang secara langsung,” katanya, sambil menambah peningkatan konflik akan menaikkan kos ekonomi global.
Penyelidik Encik Farea Al-Muslimi menganggap serangan ini berpotensi mengubah struktur geopolitik Asia Barat. Pertama, ia boleh memanjangkan konflik berpanjangan yang cuba dielakkan Washington sejak dua dekad lalu.
Kedua, tindakan itu berisiko menghasilkan kesan bertentangan bukan menjatuhkan pemerintah, tetapi menyatukan rakyat di belakangnya. Sejarah menunjukkan apabila sesebuah negara berdepan ancaman luar, sokongan terhadap kerajaan sering meningkat walaupun sebelum ini wujud penentangan. Dalam keadaan terancam, masyarakat cenderung merapatkan barisan, sekali gus mengukuhkan kedudukan pemerintah.
Ketiga, ia mencabar undang-undang antarabangsa kerana tindakan unilateral tanpa mandat global boleh menjadi contoh kepada negara lain.
Serangan Amerika Syarikat ke atas Iran bukan sekadar operasi ketenteraan, tetapi percubaan membentuk semula sejarah hubungan dua negara. Ia berasaskan andaian bahawa tekanan ketenteraan boleh memaksa perubahan politik dalaman.
Para penganalisis hampir sebulat suara menilai risikonya jauh mengatasi sebarang manfaat yang diharapkan. Akhirnya, konflik ini mungkin bukan menentukan masa depan Iran sahaja, tetapi juga menentukan sama ada dunia kembali kepada era peperangan pencegahan atau kekal berpegang pada diplomasi.
Dalam kata-kata Cik Rapp, “Jalan yang dibuka kini penuh ketidakpastian dan rakyat Iran akan membayar harganya.” - Agensi berita.

