Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perang musnah tuaian zaitun di Gaza

Sejak permulaan serangan Israel pada 7 Oktober, petani tidak dapat mengakses tanah ladang dan tanaman mereka.
Nov 7, 2023 | 2:01 PM
PERANG MUSNAH TUAIAN: Penduduk Palestin memetik buah zaitun, sempena permulaan musim menuai, di Deir el-Balah di tengah Jaluran Gaza.
PERANG MUSNAH TUAIAN: Penduduk Palestin memetik buah zaitun, sempena permulaan musim menuai, di Deir el-Balah di tengah Jaluran Gaza. - Foto AFP

GAZA: Seorang ibu kepada dua anak, bekerja sebagai petani bersama ibu bapanya sejak kecil di pekan Abasan al-Kabira di selatan Gaza, berhampiran sempadan dengan Israel.

“Ladang saya mempunyai pokok zaitun dan rumah hijau, di mana saya menanam tomato dan menjalankan penternakan,” katanya.

Namun, beliau tidak lagi boleh menjaga tanaman dan ternakan di ladangnya. Wanita berusia 40 tahun itu dipindahkan bersama keluarganya dan kini tinggal di sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di pusat Khan Younis, akibat pengeboman Israel yang hampir berterusan sejak 7 Oktober.

“Saya tidak tahu bagaimana keadaan tanaman dan ternakan saya. Saya hanya mahu pulang ke ladang saya untuk melihat apa yang telah berlaku,” katanya, dipetik oleh Al Jazeera.

Ini adalah sentimen yang disuarakan oleh petani di seluruh Gaza.

Bulan Oktober dan November adalah musim buah zaitun dituai. Ia mempunyai kepentingan yang istimewa bagi rakyat Palestin, yang menganggap musim menuai sebagai acara kebangsaan. Petani akan memetik buah zaitun bersama keluarga dan rakan-rakan mereka dan lagu-lagu rakyat akan berkumandang, mewujudkan suasana perayaan.

Hidangan akan dimasak dan dinikmati di bawah pokok. Buah zaitun kemudiannya ditekan untuk mengekstrak minyak zaitun, yang mana kualitinya bergantung pada iklim dan tanah.

Namun, dengan perang terbaru Israel ke atas Gaza, yang bermula pada 7 Oktober selepas serangan Hamas ke atas Israel selatan, petani terpaksa meninggalkan rumah dan ladang mereka yang terletak berdekatan dengan sempadan Israel.

Cik Samaher berkata beberapa petani cuba pulang ke rumah mereka tetapi menjadi sasaran serangan pesawat perang Israel.

“Kami mengalami penderitaan yang besar sebagai petani, kerana peperangan ini merugikan kami,” katanya.

“Kami hampir tidak mempunyai masa untuk menarik nafas sejak perang pada 2021, dan sekarang perang ini pula.”

Malah sebelum perang tercetus lagi, musim memetik buah zaitun dicemari oleh keganasan.

Di Tebing Barat, penduduk Israel telah menyerang penduduk Palestin, mencuri buah zaitun dan membakar ladang mereka.

Encik Bilal Saleh, seorang petani zaitun Palestin, ditembak mati pada Oktober ketika menuai hasil tanamannya berhampiran Nablus.

Di Jaluran Gaza, tentera Israel menyasar dan mengebom tanah ladang atau menyemburnya dengan racun perosak, membunuh tanaman dan menjadikan tanah tidak sesuai untuk pertanian.

Berhampiran bandar selatan Khan Younis, tanah pertanian merangkumi kawasan seluas lebih 4,000 hektar. Ia terletak di timur bandar, di sekitar bandar berhampiran pagar sempadan Israel: Khuza’a, Abasan al-Kabira, Abasan al-Jadida dan Bani Suhaila.

Terdapat 7,000 ladang di wilayah Khan Younis, menurut Kementerian Pertanian di Jaluran Gaza.

Encik Ahmed Abu Rjeila, 40 tahun, sudah biasa mengelak peluru. “Saya pernah pergi ke tanah saya di Abasan al-Jadida bersama tiga saudara lelaki saya. Kami perlu menghadapi bahaya setiap hari daripada pendudukan Israel, yang akan menembak kami,” katanya.

Kini, risikonya terlalu tinggi – walaupun prospek kehilangan hasil tuaian membimbangkannya.

Beliau dan keluarganya telah dipindahkan dari rumah mereka pada awal perang, dan kini tinggal di sebuah sekolah PBB di Khan Younis.

“Saya mempunyai beratus-ratus pokok zaitun, dan keluarga serta rakan saya sepatutnya memetiknya dan menjualnya di pasar atau mengekstraknya untuk mendapatkan minyak,” katanya.

Beliau juga mempunyai tanaman bermusim di rumah hijau.

“Saya membelanjakan beribu-ribu syikal pada musim ini, dan tidak akan ada pulangan ke atas pelaburan saya jika perang ini berterusan dan akses saya ke ladang dinafikan,” ujarnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg