DARFUR: Sudan, negara dengan lebih 50 juta penduduk, kini berhadapan dengan salah satu krisis kemanusiaan yang paling dahsyat dalam sejarahnya.
Perang saudara yang telah tercetus selama 17 bulan sejak April 2023, telah membawa kematian, pelarian besar-besaran, kelaparan dan musnahnya hampir semua prasarana awam dan pemerintahan di negara itu.
Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 7.9 juta orang telah dipindahkan di dalam negara, manakala 2.1 juta telah melarikan diri ke negara jiran atau lebih jauh lagi.
Selain itu, lebih separuh daripada penduduk Sudan kini menderita kelaparan akut akibat konflik yang berterusan.
Perang saudara di Sudan bermula apabila Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) berperang bagi menguasai negara yang sudah rapuh.
Perang yang tercetus pada April 2023 antara tentera Sudan SAF di bawah pemerintah de facto negara itu, Encik Abdel Fattah al-Burhan, dengan RSF yang diketuai oleh bekas timbalannya, Encik Mohamed Hamdan Daglo, telah menyebabkan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Pada asalnya, negara itu telah menghadapi ketidakstabilan selepas kejatuhan pemimpin autoritarian, Encik Omar al-Bashir, pada 2019. Beliau telah memerintah selama 30 tahun.
elepas itu, satu rampasan kuasa tentera pada 2021 membubarkan pemerintahan peralihan yang sepatutnya membawa negara itu ke arah pemerintahan awam.
Isu utama yang mendorong konflik adalah ketidaksepakatan antara SAF dengan RSF mengenai pembaharuan sektor keselamatan dan ketenteraan.
Perselisihan mengenai gabungan RSF ke dalam SAF membawa kepada konflik kuasa dan akhirnya mencetuskan perang pada 15 April 2023.
Sejak itu, Sudan telah mengalami kemusnahan meluas. Prasarana asas seperti loji air, stesen elektrik, dan rangkaian komunikasi terjejas teruk.
Peningkatan inflasi sebanyak 136.67 peratus pada pertengahan 2024 menunjukkan betapa parahnya keadaan ekonomi negara itu.
Sistem pendidikan dan kesihatan pula hampir lumpuh sepenuhnya, dengan kebanyakan kemudahan kesihatan sama ada musnah akibat serangan atau kekurangan sumber.
Angka kematian yang dilaporkan akibat perang itu berbeza-beza, namun semuanya menunjukkan skala amat besar.
Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED) menganggarkan bahawa lebih daripada 22,000 orang telah terbunuh sejak konflik bermula. Namun, angka ini masih diperdebatkan.
Persatuan Doktor Sudan menyatakan lebih 40,000 orang telah terkorban, manakala wakil khas Amerika Syarikat mendakwa jumlah kematian mungkin setinggi 150,000.
Lebih 50,000 orang melarikan diri dari bandar tersebut selepas kediaman mereka dijarah.
Selain kematian, lebih 10 juta orang telah dipindahkan, iaitu satu perlima daripada populasi Sudan.
Ramai pelarian telah melintasi sempadan ke negara jiran seperti Chad, Mesir, dan Uganda, sementara yang lain mencuba nasib untuk tiba di Eropah melalui Laut Mediterranean.
Masalah kelaparan akut menjadi semakin meruncing di Sudan, dengan lebih 25.6 juta orang kini menderita kelaparan.
Kawasan paling terjejas termasuk Aj Jazirah, Darfur, Khartoum, dan Kordofan.
Menurut PBB, sekitar 750,000 orang sedang berada di ambang kebuluran.
Kem Zamzam di Darfur Utara telah diisytiharkan sebagai kawasan paling teruk terjejas oleh kebuluran.
Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan melaporkan seorang kanak-kanak meninggal dunia setiap dua jam di kem tersebut pada awal 2024.
Seperti yang dinyatakan oleh Persatuan Doktor Sudan, sekiranya tiada tindakan untuk menghentikan pertempuran, jumlah orang yang mengalami kebuluran akan terus meningkat.
Keadaan di Darfur semakin buruk, dan ia lebih teruk berbanding pada 2003, yang pada ketika itu ia telah diiktiraf sebagai krisis kemanusiaan oleh Majlis Keselamatan PBB.
Walaupun terdapat bantuan antarabangsa, ia masih tidak mencukupi untuk menangani krisis besar itu.
Sejak April 2023, Sudan hanya menerima sekitar $2.142 bilion dalam bentuk bantuan kemanusiaan, iaitu kurang 50 peratus daripada keperluan sebenar.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, terdapat kekurangan dana serta kekurangan tekanan politik untuk menghentikan konflik itu.
Selain itu, banyak hospital dan pusat perubatan di Sudan telah berhenti beroperasi, dengan kira-kira 80 peratus daripada semua kemudahan perubatan kini tidak berfungsi.
Persatuan Doktor Sudan menyatakan lebih 22 hospital telah diserang oleh SAF dan RSF.
Ia mengakibatkan hospital yang masih berfungsi terpaksa beroperasi dengan bekalan air dan elektrik yang tidak mencukupi, serta menghadapi kekurangan ubat-ubatan dan peralatan perubatan asas.
Lebih memburukkan lagi keadaan, ada laporan bahawa bantuan yang dihantar ke Sudan tidak sampai kepada mereka yang memerlukan.
Bantuan yang dihantar ke kawasan di bawah kawalan RSF didakwa telah dirampas dan sama ada disalurkan kepada tentera mereka atau dijual di pasaran gelap.
Walaupun ada usaha untuk mengadakan rundingan damai antara pihak yang berperang, ramai pakar memberi amaran perjanjian damai mungkin hanya akan digunakan sebagai peluang untuk memperkukuh kuasa masing-masing di medan perang.
Darfur, yang telah mengalami sejarah kekejaman etnik, terus menjadi kawasan paling terkesan dengan keganasan.
Ramai pemimpin dunia, termasuk Kesatuan Eropah (EU), telah memberi amaran mengenai risiko berulangnya pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku sebelum ini.
Walaupun krisis di Sudan berlanjutan, ia seolah-olah terpinggir di mata dunia antarabangsa.
Konflik itu tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, terutamanya dalam konteks krisis lain seperti perang di Ukraine dan Gaza.
Seperti yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Encik Filippo Grandi, ketidakpedulian antarabangsa terhadap krisis di Sudan sangat membimbangkan.
Masa depan Sudan kelihatan suram, walaupun perang itu berjaya dihentikan.
Masyarakat kelas pertengahan yang menjadi tulang belakang kepada negara telah musnah.
Ramai yang telah kehilangan pekerjaan, rumah, dan keluarga mereka. Seperti yang dikatakan oleh Encik Grandi, ramai rakyat Sudan kini tahu kehidupan mereka sebelum ini telah berakhir. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg