Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerang saudara Myanmar ragut lebih 100,000 nyawa
Perang saudara Myanmar ragut lebih 100,000 nyawa
Rampasan kuasa 2021 terus jerumus Myanmar ke dalam krisis
Perang saudara Myanmar ragut lebih 100,000 nyawa
YANGON: Lebih 100,000 orang telah terbunuh dalam konflik di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan perang saudara paling berdarah di Asia ketika ini, menurut kumpulan pemantau konflik antarabangsa.
Kumpulan Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED) dalam laporan terbaharunya berkata sekurang-kurangnya 100,114 kematian berkaitan konflik direkodkan sejak tentera menggulingkan pemerintah awam pimpinan Cik Aung San Suu Kyi pada Februari 2021.
Rampasan kuasa itu menamatkan era demokrasi Myanmar yang berlangsung hampir sedekad dan mengembalikan negara itu ke bawah pemerintahan tentera.
Selepas pasukan keselamatan bertindak keras terhadap bantahan rampasan kuasa, ramai aktivis meninggalkan bandar dan mengangkat senjata bersama kumpulan pejuang etnik minoriti untuk menentang pemerintah tentera.
Tiada angka rasmi korban dikeluarkan pemerintah Myanmar, namun penganalisis menyifatkan konflik yang kini memasuki tahun kelima itu sebagai perang paling berdarah di Asia ketika ini.
Penganalisis kanan ACLED, Encik Sun Mon Thant, berkata konflik di Myanmar kini merebak hampir ke seluruh negara dan semakin berbahaya.
Menurut ACLED, lebih 1,200 kumpulan bersenjata kini terlibat dalam perang saudara itu, menjadikannya “konflik paling berpecah-belah di dunia”.
Di bandar terbesar Yangon, keganasan berlaku dalam bentuk pembunuhan bersasar, manakala kawasan lain menyaksikan pertempuran sengit dan serangan udara hampir setiap hari oleh tentera Myanmar yang menggunakan jet pejuang buatan Russia dan China.
Myanmar turut disenaraikan sebagai negara kedua paling terjejas akibat konflik di dunia tahun lalu selepas wilayah Palestin.
Seorang wanita berusia 49 tahun, Cik Thein Aye Nu, berkata beliau masih tidak dapat menerima kematian suaminya yang terbunuh dalam serangan udara di wilayah Rakhine pada Jun lalu.
“Kesakitan ini seperti tiada penghujung,” katanya.
“Saya sangat marah dan kecewa. Tetapi saya sendiri tidak tahu kepada siapa saya harus marah lagi. Saya hanya cuba menerima semua ini sebagai takdir.”
Di wilayah Magway di tengah Myanmar, seorang bapa turut berkongsi kesedihan selepas anak lelakinya terbunuh ketika bertempur bersama kumpulan pemberontak prodemokrasi.
Beliau berkata anak remajanya melarikan diri dari rumah untuk menyertai perjuangan menentang tentera.
“Kalau tiada rampasan kuasa, anak-anak masih belajar di sekolah,” katanya.
“Kami pun tidak sempat melakukan upacara pengebumian Buddha dengan sempurna kerana bedilan artileri masih berterusan.”
“Dia tinggalkan terlalu banyak kenangan. Saya rasa sangat terkilan kerana tidak dapat melakukan lebih banyak untuknya,” katanya lagi.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 3.7 juta penduduk kini menjadi pelarian dalaman akibat peperangan, manakala lebih satu daripada lima rakyat Myanmar berdepan masalah kekurangan makanan serius.
Konflik itu juga menyebabkan kemiskinan semakin buruk di seluruh negara.
Pada April lalu, ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, melepaskan jawatan ketua tentera untuk menjadi presiden awam selepas pilihan raya yang dikawal ketat pemerintah tentera.
Pilihan raya itu bagaimanapun dikritik pemantau demokrasi antarabangsa sebagai sekadar usaha membersihkan imej pemerintah tentera.
Kumpulan pemberontak turut menolak tawaran rundingan damai baharu yang dikemukakan Encik Aung Hlaing kerana menganggapnya tidak ikhlas.
Pada Februari 2024, pemerintah tentera mula melaksanakan semula undang-undang kerahan tenaga bagi mengukuhkan jumlah anggota tentera.
Langkah itu menyaksikan puluhan ribu belia dipaksa menyertai tentera.
Seorang bekas anggota kerahan tentera berusia 20 tahun yang melarikan diri dari medan perang berkata ramai rekrut muda dihantar ke barisan hadapan tanpa latihan mencukupi.
“Mereka tidak mampu buat apa-apa. Mereka seperti dihantar untuk mati,” katanya tanpa mahu identitinya didedahkan atas faktor keselamatan.
“Kalau tidak mati di satu tempat, mereka akan dihantar ke tempat lain pula,” katanya.
Perang saudara Myanmar turut memberi kesan besar kepada negara jiran apabila ribuan pelarian melarikan diri ke Thailand dan Bangladesh.
Pemantau antarabangsa berkata kumpulan bersenjata di semua pihak kini membiayai peperangan melalui perdagangan dadah termasuk heroin dan methamphetamine.
Kawasan sempadan Myanmar yang longgar kawalannya juga menjadi pusat kegiatan penipuan dalam talian antarabangsa yang beroperasi di kompleks berkubu dan dikawal kumpulan bersenjata.
Penganalisis berkata walaupun kumpulan pemberontak pernah mencapai kemaraan besar pada penghujung 2023 sehingga menghampiri bandar Mandalay, kedudukan tentera kembali kukuh selepas China meningkatkan sokongan terhadap pemerintah Myanmar.
Beijing juga membantu memeterai beberapa gencatan senjata dengan kumpulan etnik bersenjata paling berpengaruh di negara itu.
Namun, pemerhati memberi amaran konflik Myanmar masih jauh daripada tamat dan angka korban dijangka terus meningkat selagi tiada penyelesaian politik menyeluruh dicapai. - Agensi berita
