WASHINGTON: China terus dianggap sebagai ancaman ketenteraan dan siber paling besar kepada Amerika Syarikat, menurut Laporan Penilaian Ancaman Tahunan yang diterbitkan oleh komuniti risikan Amerika pada 25 Mac.
Laporan itu menekankan bahawa Beijing sedang membuat kemajuan “konsisten tetapi tidak seimbang” dalam memperkukuh keupayaan yang berpotensi digunakan untuk menawan Taiwan serta menggugat kepentingan Amerika di pelbagai peringkat termasuk ruang angkasa dan dunia maya.
China dikatakan berupaya melancarkan serangan ketenteraan konvensional ke atas Amerika, menyusup ke dalam infrastruktur melalui serangan siber, serta menyasarkan aset strategik Amerika di angkasa lepas.
Laporan itu turut menyatakan bahawa China sedang melaksanakan strategi kebangsaan jangka panjang untuk menggantikan Amerika sebagai kuasa utama dalam kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030.
“Tentera China kini mempunyai senjata hipersonik, pesawat pejuang halimunan, kapal selam moden, kekuatan dalam peperangan siber dan angkasa, serta simpanan senjata nuklear yang semakin berkembang,” kata Pengarah Risikan Negara, Encik Tulsi Gabbard, ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perisikan Senat.
Beliau menyifatkan China sebagai “pesaing strategik paling berkeupayaan” buat Washington.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) sedang menguji penggunaan model bahasa kecerdasan buatan untuk menghasilkan berita palsu, meniru identiti, dan mengendalikan rangkaian serangan siber.
CIA turut menegaskan bahawa usaha China untuk membendung aliran bahan kimia yang digunakan dalam penghasilan fentanyl, penyebab utama kematian akibat pengambilan dos dadah berlebihan di Amerika adalah “separa dan tidak konsisten”.
Presiden Donald Trump telah meningkatkan tarif sebanyak 20 peratus ke atas semua import dari China sebagai tindak balas terhadap kegagalan Beijing menghentikan aliran bahan tersebut.
“Tiada apa yang menghalang China daripada bertindak keras terhadap bahan kimia fentanyl. Ini soal kehendak politik,” kata Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe.
China bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dalam krisis itu. Jurucakap Kedutaan China di Washington, Encik Liu Pengyu, berkata: “Amerika sengaja memperbesar-besarkan ancaman China untuk mengekalkan hegemoni ketenteraannya. Fentanyl adalah isu dalaman Amerika yang harus ditangani oleh negara itu sendiri.”
Laporan setebal 33 muka surat itu turut menyatakan bahawa China sedang memperhebat tekanan ketenteraan dan ekonomi terhadap Taiwan, sambil menjelaskan bahawa PLA kini sedang membuat kemajuan ke arah operasi ketenteraan sekiranya konflik meletus.
“PLA dijangka sedang membina keupayaan untuk menawan Taiwan sambil menghalang atau, jika perlu, menewaskan campur tangan ketenteraan AS,” menurut laporan tersebut.
China juga disebut berhasrat menjadikan Greenland sebagai ‘tapak strategik utama’ di Artik bagi mendapatkan sumber semula jadi, dan Amerika menyatakan kebimbangan mengenai pengaruh China di rantau itu. Timbalan Presiden AS, JD Vance, dijangka mengunjungi Greenland minggu ini sebagai sebahagian daripada delegasi keselamatan negara.
Walaupun begitu, laporan itu turut menyatakan bahawa China berdepan cabaran besar di peringkat domestik termasuk rasuah, ketidakseimbangan demografi, dan tekanan fiskal serta ekonomi yang boleh menjejaskan kredibiliti Parti Komunis China di mata rakyatnya sendiri.
Pertumbuhan ekonomi China dijangka terus perlahan akibat kurang keyakinan pengguna dan pelabur, dengan Beijing sendiri sudah bersedia menghadapi pergeseran ekonomi yang berpanjangan dengan Washington.
“China mungkin kelihatan agresif di luar, tetapi mereka sebenarnya sedang bergelut dari dalam,” kata Encik Ratcliffe.
Beliau menambah: “Kita tidak berdepan dengan satu musuh yang mudah dibaca. China sedang bermain dalam semua gelanggang, teknologi, ekonomi, ketenteraan dan pengaruh global. Ini memerlukan tindak balas yang menyeluruh, bukan reaksi bersifat fragmentasi.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg