JAKARTA: Perdebatan awam mengenai program makanan berkhasiat percuma Presiden Prabowo Subianto semakin sengit, mencetuskan demonstrasi di seluruh negara susulan kebimbangan terhadap rasuah, keselamatan makanan, dan beban kewangan negara.

Di Bali, ratusan pelajar berhimpun di luar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Denpasar pada 22 Jun, menuntut kajian semula program tersebut serta pembaharuan meluas demi menangani keresahan ekonomi dan demokrasi di Indonesia.

Mereka menggesa pemerintah dan Badan Audit Tertinggi (BPK) melakukan audit menyeluruh terhadap program itu, mempersoalkan peruntukan bajet yang besar ketika kerajaan sedang melaksanakan pemotongan perbelanjaan yang drastik.

Mereka juga menyeru siasatan penuh terhadap kes keracunan makanan dan dakwaan rasuah yang berkaitan dengan pelaksanaan program tersebut.

Di Jakarta, beribu-ribu pelajar yang bergabung dengan Gerakan Pelajar Islam Indonesia (PMII) berhimpun di luar kompleks Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta Pusat pada 22 Jun, menuntut rombakan sepenuhnya kepimpinan Badan Gizi Nasional (BGN), yang menyelia program makanan percuma, susulan penangkapan tiga pegawai tertinggi agensi itu baru-baru ini dalam dakwaan kes rasuah.

Demonstrasi itu diadakan beberapa hari selepas lebih 1,000 pelajar berkumpul di lokasi yang sama pada 19 Jun untuk membantah perbelanjaan pemerintah yang disifatkan berlebihan.

Perhimpunan itu diketuai pelajar daripada Universiti Trisakti dan disertai pelajar daripada Universiti Mercu Buana dan Universiti Esa Unggul.

Di Batam, pelajar daripada beberapa universiti mengadakan perhimpunan pada 18 Jun, menggesa penilaian komprehensif terhadap program tersebut dan menggantungnya jika didapati tidak berkesan.

Encik Muryadi Agus Priawan, penyelaras Perikatan Pergerakan Pelajar Batam, berkata bantahan itu mencerminkan kebimbangan awam yang lebih luas terhadap pelaksanaan dasar pemerintah.

Presiden Prabowo melancarkan program makanan berkhasiat percuma pada Januari 2025 untuk menangani kekurangan zat makanan dan masalah kebantutan kanak-kanak di seluruh negara.

Program melibatkan peruntukan sekurang-kurangnya 335 trilion rupiah ($19.4 bilion) pada 2026, menyasarkan sekitar 83 juta penerima, termasuk kanak-kanak sekolah dan wanita hamil.

Bagaimanapun, ia telah menjadi ujian utama bagi pentadbiran, menghadapi penelitian yang semakin meningkat terhadap kos yang tinggi, kes keracunan makanan dan siasatan rasuah yang berterusan.

Di sebalik gesaan untuk penggantungan, ketua Agensi Perhubungan Pemerintah, Encik Muhammad Qodari, berkata program itu akan diteruskan, dengan alasan ia harus diperbaiki dan bukannya dihentikan.

Pemerintah telah mengurangkan bajet kepada 228.4 trilion rupiah, menurut Timbalan Ketua Agensi Pemakanan Kebangsaan (BGN) Cik Agustina Arumsari, dan memperkenalkan langkah meningkatkan kecekapan, termasuk menggantung pengagihan semasa tempoh cuti sekolah akhir Jun-pertengahan Julai.

Ia juga merancang menghentikan pengagihan makanan di 76 sekolah di kawasan yang agak mewah.

Usaha untuk menggantung program itu menghadapi tentangan, terutamanya daripada mereka yang mendapat manfaat secara langsung.

Di Batam, beratus-ratus pekerja dapur di bawah program makanan percuma mengadakan perhimpunan pada hujung minggu di luar bangunan DPRD tempatan, menggesa pemerintah mengekalkannya. – Agensi berita.