Buat seketika, perenang paralimpik Singapura, Yip Pin Xiu, seolah-olah gagal menjuarai acara renang kuak lentang 100 meter wanita S2 di Paralimpik Paris pada 29 Ogos, selepas beliau dan perenang, Haidee Aceves, dari Mexico menyentuh tembok kolam renang di Arena La Defense.
Malah Yip, juara bertahan, menyangka beliau gagal menduduki tempat pertama perlumbaan itu.
Namun, Yip kemudian tersenyum riang apabila menyedari beliau memenangi perlumbaan akhir itu, dan sekali gus menambah koleksi pingat emas Sukan Paralimpik kepada enam.
Perenang berusia 32 tahun itu mengalahkan Aceves dalam pertandingan sengit, dengan kelebihan kurang sesaat.
Yip mencatat masa 2 minit 21.73 saat, hanya 0.06 saat di hadapan perenang Mexico itu, yang memenangi pingat perak.
Angela Procida dari Italy mendapat gangsa dengan mencatat masa 2 minit 24.48 saat, lapor The Straits Times.
Yip berkata selepas perlumbaan: “Masa (yang dicatat) sangat rapat. Apabila saya menyentuh tembok dan melihat dua perenang di sebelah saya juga menyentuh tembok, saya kata ‘oh tidak, macam mana ini?’.
“Saya dilatih selama bertahun-tahun untuk tidak melihat orang di sekeliling supaya saya dapat memberi tumpuan kepada apa yang saya lakukan dan fokuskan tenaga saya untuk itu.”
Yip menyasarkan meraih pingat emas tiga kali berturut-turut dalam acara renang 50 meter dan 100 meter S2 di Paris, selepas meraih dua gelaran itu semasa Paralimpik Rio 2016 dan Paralimpik Tokyo 2020.
Saringan bagi acara renang kuak lentang 50 meter S2 diadakan pada 31 Ogos.
Yip, atlet paralimpik Singapura paling banyak memenangi pingat, kini mempunyai enam pingat emas dan satu pingat perak dalam lima edisi Sukan Paralimpik.
Beliau memenangi gelaran pertamanya pada Sukan Paralimpik Beijing pada 2008.
“Saya rasa seperti ini satu perjalanan panjang, tetapi sebenarnya ia sangat singkat, kerana (saya berlatih) selama tiga tahun. Kini saya rasa semakin beremosi dengan usia yang meningkat...,” tambahnya.
Yip berkata beliau berasa lega tekanan besar ke atas dirinya untuk memenangi pingat emas bagi Singapura di Paris telah diatasinya.
“Acara renang 100 meter ini memang acara kegemaran saya. Dengan meraih (pingat emas ini), seolah-olah satu beban telah diangkat (dari bahu saya).
“Saya tidak menganggap diri saya sentiasa berada di puncak dan sedang dikejar (perenang lain). Yang membuat saya terus bekerja keras ialah saya cuma ingin menjadi lebih baik daripada diri saya sebelum ini,” ujarnya.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, yang berada di Paris bagi temasya sukan itu melahirkan rasa gembira dan mengucapkan tahniah dalam satu hantaran di Facebook:
“Tahniah kepada Pin Xiu! Tiga Emas berturut-turut. Ketabahan, kecekalan dan keazaman PX (gelaran Pin Xiu) luar biasa dan menakjubkan. (Kami) sangat berbangga dengan anda, PX!”
“
Acara renang 100 meter ini memang acara kegemaran saya. Dengan meraih (pingat emas ini), seolah-olah satu beban telah diangkat (dari bahu saya).

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg