Apabila anda berbual tentang sukan renang Paralimpik di Singapura, nama Yip Pin Xiu sudah tentu akan timbul.
Perenang berusia 32 tahun itu, yang mempunyai kabinet trofi yang semakin penuh, termasuk lima pingat emas Paralimpik, merupakan salah seorang atlet paralimpik yang paling dikenali di negara ini.
Di sebalik semua kejayaannya, kata Yip, terdapat satu detik yang menentukan kerjayanya dan meletakkannya di landasan tersebut.
“Rio 2016 benar-benar detik yang penting bagi saya... ia menunjukkan kepada saya bagaimana ‘rupa’ kecekalan. Selepas menang di Beijing (2008), saya mengambil cuti, pergi belajar, dan tidak tahu apa yang saya mahu lakukan.
“Saya mengambil masa lama untuk menyedari bahawa saya masih mahu mengejar kejayaan untuk negara saya,” kata perenang veteran itu, yang menghidap penyakit Charcot-Marie-Tooth yang menyebabkan kehilangan tisu otot dan daya sentuhan secara progresif.
“Memenangi pingat dan memecahkan rekod dunia – ia seperti satu detik penentu besar yang menunjukkan bahawa, pada masa itu, saya lebih dewasa daripada diri saya di Beijing dan saya berjaya berenang lebih laju daripada apa yang pernah saya lakukan.
“Ia memecahkan persepsi saya sendiri tentang apa yang saya fikir boleh saya lakukan.”
Yip bakal menuju ke Paralimpik kelimanya untuk menguji kebolehannya sekali lagi, kerana beliau sedang mengejar tiga pingat emas berturut-turut dalam acara renang kuak lentang 50 meter dan 100 meter selepas merangkul kededua kemenangan di Rio 2016 dan Tokyo 2020, lapor The Straits Times (ST).
Dengan memegang rekod dunia dan pingat, timbul juga tekanan, kerana perenang yang disifatkan ceria, sering dilihat dengan senyuman di wajahnya, berkongsi perjuangan perit yang telah dilaluinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ramai orang melihat kemenangan tetapi mereka tidak melihat kesukaran di sebaliknya. Walaupun klise, banyak pengorbanan dan tenaga yang dihabiskan di sebaliknya.
“Selepas pertandingan terakhir saya di Perancis, (keputusan) tidak seperti yang saya jangkakan, jadi pada penghujung pertandingan, saya menangis di bilik persalinan,” kongsinya.
Beliau bukanlah seorang yang kerap menangis, kata Yip, tetapi beliau akui bahawa emosi daripada perlumbaan semakin menguasai dirinya sejak kebelakangan ini.
“Saya rasa apabila saya semakin berusia, saya lebih rasakannya. Semasa saya masih muda, ia hanya melibatkan latihan dengan bersungguh-sungguh, berusaha dengan gigih.
“Apabila anda masih muda, anda mempunyai tenaga dan masa. Anda tidak perlu risau tentang perkara lain di dunia,” jelasnya.
Semua atlet melalui pasang surut dalam kerjaya mereka, tetapi Yip percaya renang telah “menyumbang banyak kepada hidupnya”, sambil menambah bahawa ia “benar-benar telah membentuk saya sebagai seorang manusia hari ini”.
Ketika ditanya sama ada beliau teruja dengan temasya (paralimpik) kelimanya, Yip berkata beliau akhirnya telah dapat mengatasi bekas perenang paralimpik dan rakan baiknya Theresa Goh – yang bertanding dalam empat edisi paralimpik.
Penunggang kuda Paralimpik, Laurentia Tan, berusia 45 tahun, juga membuat lima penampilan paralimpik.
Hanya berusia 16 tahun ketika membuat penampilan sulung di Paralimpik Beijing 2008, Yip mempunyai kerjaya cemerlang dengan pelbagai pingat emas di Sukan Para Asean, Sukan Para Asia, Paralimpik dan kejohanan dunia.
Bagaimanapun, perjalanannya masih belum berakhir kerana beliau merancang untuk meneruskan renang selepas Sukan Paris.
“Sangat sukar untuk saya menjawab (soalan mengenai persaraan), tetapi kali ini tidak kerana kami menganjurkan kejohanan dunia tahun depan (2025) dan saya mahu berlumba di tempat sendiri sekali lagi, kemudian selepas itu, tiga tahun lagi, siapa tahu?” kata Yip.
“
Ramai orang melihat kemenangan tetapi mereka tidak melihat kesukaran di sebaliknya. Walaupun klise, banyak pengorbanan dan tenaga yang dihabiskan di sebaliknya... Saya rasa apabila saya semakin berusia, saya lebih rasakannya. Semasa saya masih muda, ia hanya melibatkan latihan dengan bersungguh-sungguh, berusaha dengan gigih.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg