Sejak menceburi sukan menembak secara serius selepas menyaksikan Sukan Olimpik 2016, penembak para, Daniel Chan, hanya mempunyai satu matlamat – membanggakan Singapura di pentas tertinggi sukan itu.
Setelah menyaksikan penembak Vietnam, Hoang Xuan Vinh, merangkul pingat emas pertama negaranya di Rio de Janeiro, Chan semakin bersemangat dan menyimpan impian mewakili Singapura.
Pada 20 Ogos, Chan, 36 tahun, menaiki penerbangan yang membawanya lebih dekat kepada impiannya, sebagai sebahagian kontinjen Singapura yang terbang ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris.
Sukan tersebut diadakan dari 28 Ogos hingga 8 September. Singapura akan diwakili 10 atlet dalam enam bidang sukan, lapor The Straits Times (ST).
Selain Chan, atlet para lain ialah Yip Pin Xiu, Toh Wei Soong dan Sophie Soon (renang para), Diroy Noordin (atletik para), Laurentia Tan, Gemma Foo dan Hilary Su (penunggang kuda para), Jeralyn Tan (boccia para) dan Nur Syahidah Alim (pemanah para).
Chan akan membuat penampilan sulungnya di Sukan Paralimpik bersama penunggang kuda, Su, 33 tahun, dan atlet boccia, Tan, 35 tahun.
“Saya sangat teruja dan agak gementar untuk pertandingan ini, kerana Paralimpik adalah acara sukan terbesar. Saya telah berlatih dan membuat persiapan untuk ini sejak saya menyertai acara menembak.
“Jadi, saya ingin sekali bertanding dan merasai keseluruhan suasana Paralimpik,” ujar Chan.
Beliau melayakkan diri ke Paralimpik 2024 setelah menduduki tempat kelima dalam acara pistol udara SH1 10 meter lelaki di Sukan Para Asia di Hangzhou pada 2023.
Menjelaskan matlamatnya, Chan menambah: “Acara menembak melibatkan penetapan minda dan mental. Jadi, saya pasti berasa amat tertekan menyertai pertandingan yang sebegini besar.
“Saya tahu tekanan ini datang daripada diri saya sendiri terutamanya, jadi matlamat saya adalah untuk menikmati proses menembak.”
Lebih 50 orang, termasuk kakitangan Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC), Majlis Sukan bagi Orang Cacat Singapura (SDSC), keluarga dan rakan atlet, hadir pada majlis pelepasan atlet tersebut di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 20 Ogos.
Beberapa atlet lain akan terbang ke Paris dari kem latihan luar negara masing-masing.
Perenang Yip, Toh dan Soon berada di Manchester, England, manakala tiga penunggang kuda berada di Jerman untuk mempertingkat kemahiran mereka, bersama pelontar peluru, Diroy.
Yip akan berusaha mempertahan gelarannya bagi acara renang kuak lentang S2 50 meter dan 100 meter wanita, dan menambah koleksi lima pingat emas Paralimpik yang dimenanginya sejak temasya sukan Beijing pada 2008.
Pada majlis pelepasan itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, berkata beliau hanya mahu atlet Singapura memberi yang terbaik.
Memenangi pingat adalah satu bonus, tambahnya.
“Seperti semua sukan utama yang dihadiri atlet kita, saya fikir matlamatnya adalah mencuba yang terbaik, memecahkan beberapa rekod terbaik peribadi.
“Mungkin sasarkan untuk memecahkan beberapa rekod nasional, tetapi saya fikir (memenangi) pingat adalah satu bonus yang baik.
“Tetapi (tidak mengapa) jika mereka tidak memenangi pingat, asalkan mereka memberi yang terbaik, itulah yang kita mahu lihat di Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg