Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perincian Pelan Damai: Pengampunan anggota Hamas, Gaza diurus ‘Lembaga Keamanan’

Sep 30, 2025 | 10:32 AM
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh pejabat media Pihak Penguasa Palestin (PPO) ini menunjukkan Presiden Mahmoud Abbas (kanan) bertemu mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair di Amman pada 13 Julai 2025
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh pejabat media Pihak Penguasa Palestin (PPO) ini menunjukkan Presiden Mahmoud Abbas (kanan) bertemu mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair di Amman pada 13 Julai 2025 - Foto AFP

WASHINGTON: Pelan damai Gaza setebal berbelas halaman yang diumumkan Rumah Putih pada 29 September menggariskan gencatan senjata serta-merta dan kerangka tadbir urus baru di Gaza.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkannya sebagai peluang nyata untuk mengakhiri peperangan. “Sudah tiba masanya penderitaan berakhir.

Pelan ini menyediakan jalan yang jelas ke arah keamanan dan pemulihan,” katanya ketika membentangkan dokumen tersebut.

Pelan 20 perkara itu menekankan Gaza yang bebas daripada keganasan, keselamatan Israel, dan hak penduduk Palestin untuk membina semula wilayah mereka.

Berikut adalah inti utama hala tuju pelan damai 20 Perkara yang diumumkan:

Gaza bebas keganasan: Gaza mesti dibersihkan daripada unsur ekstremisme dan menjadi zon bebas keganasan yang tidak mengancam negara jiran.

Pemulihan menyeluruh: Gaza akan dibangunkan semula demi kesejahteraan rakyat yang telah lama menderita.

Gencatan senjata segera: Jika kedua pihak menerima pelan ini, perang berakhir serta-merta. Tentera Israel berundur ke garis yang dipersetujui dan semua operasi ketenteraan dihentikan.

Pemulangan tebusan 72 jam: Dalam masa 72 jam selepas Israel menerima pelan, semua tebusan, hidup atau meninggal dunia, mesti dipulangkan.

Pembebasan tahanan: Selepas tebusan dipulangkan, Israel akan membebaskan 250 tahanan seumur hidup dan 1,700 rakyat Gaza yang ditahan selepas 7 Oktober 2023, termasuk wanita dan kanak-kanak. Untuk setiap mayat tebusan Israel yang dipulangkan, mayat 15 rakyat Gaza turut dilepaskan.

Pengampunan untuk bekas anggota: Anggota Hamas yang bersedia meninggalkan keganasan dan menyerah senjata akan diberikan pengampunan serta laluan selamat keluar Gaza jika mahu berpindah.

Bantuan kemanusiaan segera: Bantuan menyeluruh akan disalurkan sebaik sahaja perjanjian dimeterai, merangkumi pemulihan infrastruktur asas, pembaikan hospital, serta penyediaan peralatan bagi membersihkan runtuhan dan membuka semula laluan utama.

Pengagihan bantuan bebas gangguan: Bantuan akan disalurkan melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Bulan Sabit Merah, dan institusi antarabangsa lain tanpa campur tangan mana-mana pihak. Laluan Rafah dibuka di bawah mekanisme sedia ada.

Pentadbiran sementara teknokrat: Gaza akan diurus jawatankuasa sementara Palestin yang bebas politik bagi memastikan perkhidmatan awam berjalan lancar.

Pengawasan antarabangsa ‘Lembaga Keamanan’: Badan peralihan baru dipimpin Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump dan disertai pemimpin antarabangsa termasuk mantan Perdana Menteri Britain, Encik Blair, untuk memantau tadbir urus dan pembiayaan semula Gaza.

Persiapan ambil alih semula Penguasa Palestin (PA): Badan ini akan mengurus Gaza sehingga PA menyelesaikan reformasi dan bersedia mengambil alih pentadbiran dengan selamat dan berkesan.

Pelan pembangunan ekonomi: Panel pakar akan merangka strategi ekonomi bagi menjana peluang kerja dan pelaburan antarabangsa untuk menghidupkan semula Gaza.

Zon ekonomi khas: Kawasan perdagangan istimewa dengan kadar tarif keutamaan akan diwujudkan untuk merangsang ekonomi Gaza.

Hak kebebasan bergerak: Tiada rakyat Gaza dipaksa keluar. Mereka bebas tinggal atau kembali, dengan galakan untuk membina masa depan di tanah sendiri.

Pelucutan senjata dan pembubaran keupayaan ketenteraan: Semua terowong, kilang senjata dan kemudahan ketenteraan dimusnahkan di bawah pemantauan pemerhati bebas serta program beli balik senjata yang dibiayai antarabangsa.

Jaminan keselamatan serantau: Negara jiran akan memastikan Gaza baru tidak mengancam keselamatan serantau.

Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF): Pasukan sementara akan dikerah untuk melatih polis Palestin, mengawal sempadan bersama Israel dan Mesir, serta menghalang penyeludupan senjata.

Penarikan berperingkat Angkatan Pertahanan Israel (IDF): Tentera Israel akan berundur secara progresif berdasarkan piawaian keselamatan yang dipersetujui dengan ISF dan penjamin antarabangsa, sambil mengekalkan perimeter keselamatan sehingga ancaman keganasan dihapuskan.

Pelaksanaan di kawasan selamat: Jika Hamas menolak atau melengahkan, pelan termasuk bantuan besar-besaran tetap dilaksanakan di kawasan Gaza yang telah bebas keganasan.

Dialog antara agama: Proses dialog toleransi dan hidup bersama akan dijalankan bagi mengubah naratif kebencian dan membina persefahaman antara Palestin dengan Israel.

Landasan ke arah negara Palestin: Jika pembaharuan PA berjaya, peluang menubuhkan negara Palestin berdaulat akan terbuka. Amerika berjanji memimpin rundingan politik jangka panjang antara Israel dengan Palestin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg