Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tony Blair dipertimbang ketuai pentadbiran sementara Gaza pasca perang

Sep 26, 2025 | 3:34 PM
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh pejabat media Penguasa Palestin (PPO) ini menunjukkan Presiden Mahmud Abbas (kanan) bertemu dengan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, di Amman pada 13 Julai 2025.
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh pejabat media Penguasa Palestin (PPO) ini menunjukkan Presiden Mahmud Abbas (kanan) bertemu dengan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, di Amman pada 13 Julai 2025. - Foto AFP

LONDON: Bekas Perdana Menteri Britain, Sir Tony Blair, dilaporkan terlibat dalam rundingan peringkat tinggi mengenai pembentukan sebuah pentadbiran sementara di Gaza sekiranya gencatan senjata dapat dicapai. Menurut sumber yang dipetik BBC pada 26 September, Encik Blair telah menghadiri perbincangan bersama pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan beberapa pemimpin Arab di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.

Cadangan yang dibincangkan ialah mewujudkan sebuah badan sementara yang disokong PBB dan negara Teluk untuk mentadbir Gaza sebelum menyerahkan semula kawalan kepada pihak berkuasa Palestin. Salah satu pelan yang mendapat perhatian Washington mencadangkan Blair mengetuai badan itu, yang dilaporkan akan dinamakan “Pihak Berkuasa Transisi Antarabangsa Gaza”.

Bagaimanapun, pejabat Tony Blair menjelaskan beliau tidak akan menyokong sebarang rancangan yang mengakibatkan penduduk Gaza dipindahkan secara paksa. “Tumpuan kami adalah pada pembangunan semula dan kestabilan, bukan menyingkirkan rakyat dari tanah mereka,” kata seorang jurucakap Institut Tony Blair.

Encik Blair sebelum ini pernah berkhidmat sebagai utusan khas Kuartet Timur Tengah - gabungan Amerika, Kesatuan Eropah, Russia dan PBB dari 2007 hingga 2015, di mana beliau memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Palestin dan membuka jalan ke arah penyelesaian dua negara.

Namun, legasi beliau masih kontroversi kerana keputusan membawa Britain ke Perang Iraq pada 2003, yang kemudian dikritik kerana berasaskan maklumat risikan yang salah.

Laporan mengenai penglibatannya muncul ketika Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Encik Trump dan pemimpin dunia lain bagi melaksanakan pelan damai dua negara.

Encik Abbas turut menegaskan Hamas tidak boleh kembali memerintah Gaza selepas perang berakhir. “Kami sedia mengambil alih tanggungjawab keselamatan dan pentadbiran Gaza, tetapi Gaza kekal sebahagian daripada negara Palestin,” katanya.

Sokongan terhadap negara Palestin juga meningkat minggu ini. Britain, Canada dan Australia mengumumkan pengiktirafan rasmi negara Palestin, diikuti Perancis dan Denmark. Israel dan Amerika Syarikat bagaimanapun mengkritik langkah itu kerana dianggap memberi kelebihan kepada Hamas.

Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menegaskan pengiktirafan itu bukan untuk Hamas. “Mereka tidak boleh ada masa depan, tiada peranan dalam pemerintahan mahupun keselamatan. Ini bertentangan dengan agenda penuh kebencian mereka,” katanya.

Di pihak Amerika Syarikat, Utusan Khas Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, menyifatkan perbincangan di Rumah Putih bersama Encik Blair pada Ogos lalu sebagai “menyeluruh”, walaupun butiran lanjut tidak didedahkan.

Menurut laporan Financial Times, Institut Tony Blair turut terlibat dalam merangka pelan pembangunan semula Gaza sejak Julai.

Konflik di Gaza berlarutan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang meragut kira-kira 1,200 nyawa dan menculik 251 orang di selatan Israel. Sebagai tindak balas, serangan balas Israel menyebabkan lebih 65,000 kematian di Gaza, kebanyakan mangsa adalah orang awam, menurut pihak kesihatan tempatan yang dikawal Hamas. PBB juga menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai, dakwaan yang dinafikan Tel Aviv.

Pelan pentadbiran sementara yang sedang dibincangkan dilihat usaha baru untuk mengakhiri kitaran keganasan dan memulihkan kestabilan Gaza. Namun, ia juga mencetuskan perdebatan kerana melibatkan tokoh Barat yang dikaitkan dengan peperangan terdahulu di rantau itu.

“Kita perlukan pelan yang boleh diterima rakyat Palestin sendiri. Jika tidak, ia hanya akan mencetuskan penentangan,” kata seorang penganalisis politik Timur Tengah.

Walaupun belum ada pengesahan rasmi, sumber diplomatik menyebut sokongan beberapa negara Teluk dan Amerika terhadap pendekatan ini semakin kukuh. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg