Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tony Blair dikait dengan projek kontroversi di Gaza

Jul 8, 2025 | 10:09 AM
bantahan, benjamin netanyahu, donald trump
Penunjuk perasaan berhimpun ketika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Washington, D.C. pada 7 Julai. - Foto AFP

GAZA/WASHINGTON: Sebuah laporan eksklusif oleh Financial Times mendedahkan dua kakitangan daripada Institut Tony Blair (TBI) – organisasi bukan untung – yang diasaskan oleh mantan Perdana Menteri Britain, telah terlibat dalam sebuah projek pascaperang Gaza yang mencetus kontroversi antarabangsa.

Rancangan tersebut termasuk pembinaan ‘Trump Riviera’ serta usaha memindahkan setengah juta rakyat Palestin keluar dari Jaluran Gaza.

Projek itu, yang dipimpin oleh sekumpulan usahawan Israel dan menggunakan model kewangan oleh firma perunding Amerika, Boston Consulting Group (BCG), turut disampaikan kepada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Walaupun TBI menafikan menulis atau menyokong pembentangan akhir yang dinamakan, ‘Great Trust’, dua kakitangannya dilaporkan aktif dalam perbualan kumpulan dan panggilan video semasa pembangunan projek tersebut.

Dalam laporan Financial Times pada 7 Julai, sumber yang rapat dengan projek tersebut berkata salah seorang kakitangan TBI menulis dokumen panjang mengenai pelan pemulihan Gaza.

Ia mencadangkan pembinaan pulau buatan ala Dubai, zon ekonomi khas dengan cukai rendah, pelabuhan laut dalam untuk menghubungkan Gaza dengan laluan ekonomi India-Timur Tengah-Eropah, serta daya usaha perdagangan berasas teknologi blok rantai.

Aspek paling kontroversi dalam projek itu ialah cadangan untuk menawarkan pampasan sekitar AS$9,000 ($11,511) kepada setiap seorang daripada 500,000 rakyat Gaza sebagai galakan untuk meninggalkan wilayah itu secara sukarela.

Menurut BCG, saranan itu merupakan sebahagian daripada model kewangan bagi projek rahsia yang dinamakan ‘Aurora’, dengan tujuan menjadikan Gaza sebuah hab ekonomi baru.

Pelaksanaan projek itu dilaporkan akan diterajui oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), pertubuhan yang ditubuhkan dengan sokongan Israel dan Amerika.

Bagaimanapun, menurut pihak berkuasa Palestin, GHF dituduh menyamar sebagai badan kemanusiaan untuk melaksanakan agenda ketenteraan Israel.

“GHF bukan pertubuhan bantuan, tetapi wajah palsu kepada projek penjajahan yang lebih luas,” kata seorang pegawai kanan Palestin.

Pihak berkuasa Palestin mengecam keras projek itu, menyifatkannya sebagai cubaan sistematik untuk menghapuskan isu Palestin melalui pengusiran besar-besaran yang diselindungi di bawah nama bantuan kemanusiaan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya rancangan berbahaya ini yang bertujuan melemahkan perjuangan rakyat Palestin,” tegas kenyataan rasmi Pejabat Media Pemerintahan Gaza.

“Walaupun dihadapkan dengan jenayah perang, kebuluran, genosid dan pelarian paksa, rakyat kami tetap teguh di tanah air mereka dan tidak akan sesekali menyerahkan hak yang tidak boleh dinafikan, selagi penjajahan Israel tidak dihentikan sepenuhnya,” ujar kenyataan itu seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Turkey, Anadolu Ajansi.

Menurut laporan, sejak 27 Mei, kegiatan GHF telah menyebabkan kematian 751 orang awam Palestin, mencederakan lebih 4,900 yang lain, dan 39 lagi masih hilang.

Lebih 130 organisasi bantuan antarabangsa enggan bekerjasama dengan GHF kerana menuduhnya menyembunyikan agenda ketenteraan Israel.

Financial Times turut mendedahkan pembiayaan rahsia daripada firma keselamatan swasta Amerika kepada projek itu.

BCG asalnya diupah oleh Orbis, sebuah kontraktor keselamatan berpangkalan di Washington, untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pihak Institut Tachlith, badan pemikir Israel yang juga dikaitkan dengan projek ‘Aurora’.

Rancangan untuk membina ‘Trump Riviera’ dan ‘Zon Pengilangan Pintar Elon Musk’ turut ditonjolkan dalam slaid pembentangan akhir.

Ia bertujuan menarik pelabur swasta bagi membangunkan Gaza sebagai destinasi perdagangan antarabangsa.

Seorang kakitangan TBI didakwa menyifatkan perang di Gaza sebagai “peluang sekali dalam satu abad untuk membina semula ekonomi dari bawah ke atas,” kenyataan yang mengundang kritikan hebat daripada masyarakat antarabangsa.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023 susulan serangan Hamas ke atas selatan Israel, lebih 57,400 rakyat Palestin terbunuh – sebahagian besar wanita dan kanak-kanak.

Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, dan mantan Menteri Pertahanannya, Encik Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Sementara tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin meningkat, pendedahan mengenai projek ‘Trump Riviera’ itu memburukkan lagi persepsi terhadap rancangan pascaperang yang dianggap sebagai bentuk kolonialisme baharu yang terselindung.

“Kami tidak akan menjadi mangsa kepada projek yang menyamar sebagai ‘pembangunan’ tetapi sebenarnya adalah penyingkiran.

“Gaza bukan untuk dijual,” kata seorang aktivis hak asasi Palestin kepada media tempatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg