Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putin bayangkan serang negara Barat dalam perang Ukraine

Sifatkan konflik bersifat ‘global’ sedang Russia uji peluru berpandu jarak pertengahan ke atas Ukraine
Nov 22, 2024 | 12:22 PM
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, mencerca sekutu Ukraine kerana membenarkan Kyiv menggunakan senjata yang dibekalkan Barat untuk menyerang sasaran di wilayah Russia, dan memberi amaran akan bertindak balas.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, mencerca sekutu Ukraine kerana membenarkan Kyiv menggunakan senjata yang dibekalkan Barat untuk menyerang sasaran di wilayah Russia, dan memberi amaran akan bertindak balas. - Foto EPA-EFE

MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata bahawa konflik di Ukraine mempunyai ciri-ciri perang ‘global’ dan kerana itu tidak menolak serangan ke atas negara Barat.

Orang kuat Kremlin itu berkata demikian pada 21 November selepas Russia menguji peluru berpandu jarak pertengahan generasi barunya ke atas Ukraine, yang beliau bayangkan mampu membawa muatan nuklear.

Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, pula menyifatkan serangan itu sebagai peningkatan besar “skala dan kekejaman” perang oleh “jiran gila”.

Manakala penyokong utama Kyiv, Amerika Syarikat berkata Russia harus dipersalahkan kerana meningkatkan konflik “pada setiap masa” .

Peluru berpandu jarak pertengahan biasanya mempunyai jangkauan sehingga 5,500 kilometer (km) – cukup untuk memenuhi ancaman Encik Putin untuk menyerang negara Barat.

Dalam ucapannya, Presiden Russia turut mencerca sekutu Ukraine kerana membenarkan Kyiv menggunakan senjata yang dibekalkan Barat untuk menyerang sasaran di wilayah Russia, sambil memberi amaran akan bertindak balas.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Ukraine buat kali pertama telah menembak peluru berpandu yang dibekalkan Amerika dan Britain ke wilayah Russia, sekali gus meningkatkan ketegangan yang sudah memuncak sejak konflik berlarutan hampir tiga tahun itu.

“Kami menganggap diri kami berhak menggunakan senjata kami terhadap kemudahan tentera negara-negara yang membenarkan senjata mereka digunakan terhadap kemudahan kami,” tegas Encik Putin.

Beliau berkata Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) Amerika dan Storm Shadow buatan Britain, telah ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Moscow, sambil menambah: “Matlamat yang jelas ditetapkan oleh musuh tidak tercapai”.

Jurucakap Kremlin, Encik Dmitri Peskov, berkata Moscow telah memaklumkan Washington menerusi talian hotline mengenai pelancaran peluru berpandu itu setengah jam sebelum ia dilancar.

Beliau sebelum ini berkata Russia melakukan segala-galanya untuk mengelakkan konflik bersifat (senjata) nuklear, setelah mengemas kini doktrin nuklearnya.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karine Jean-Pierre, memberitahu wartawan bahawa Washington tidak melihat keperluan untuk mengubah suai kedudukan nuklear Amerika sebagai tindak balas.

Ukraine sebelum ini menuduh Russia menembak peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) buat kali pertama dalam sejarah – satu dakwaan yang kemudiannya diperkecilkan oleh Washington.

Tentera udara Ukraine berkata Moscow telah melancarkan peluru berpandu itu sebagai sebahagian daripada serangan ke atas Dnipro, bandar di Ukraine, yang menempatkan beberapa kemudahan prasarana.

Dua orang awam cedera dalam serangan tersebut.

Encik Putin berkata Russia telah menjalankan “ujian dalam keadaan perang dengan menggunakan salah satu sistem peluru berpandu Russia terbaru” bernama ‘Oreshnik’.

Serangan Russia itu adalah bukti Russia pasti tidak mahu keamanan”, tegas Encik Zelensky.

“Adalah perlu untuk menggesa Russia supaya mencapai keamanan sebenar, yang mungkin hanya dilakukannya melalui kekerasan.

“Jika tidak, akan ada serangan, ancaman dan ketidakstabilan daripada Russia tanpa henti dan bukan sahaja terhadap Ukraine,” kata pemimpin Ukraine itu.

Serangan ke atas Dnipro berlaku hanya beberapa hari selepas beberapa kedutaan asing di ibu kota Ukraine ditutup buat sementara, memetik ancaman berlakunya serangan besar-besaran.

“Ini adalah satu lagi contoh tingkah laku melulu daripada Russia,” kata jurucakap Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer. – Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg