BANGKOK/PHNOM PENH: Ketegangan lama di sempadan Thailand–Kemboja kembali menghantui penduduk setempat, apabila letupan periuk api, serangan udara dan tembakan artileri minggu ini menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan memaksa 600,000 melarikan diri.
Bagi penduduk di wilayah berhampiran sempadan, ancaman periuk api yang wujud sejak perang saudara Kemboja kembali menjadi ketakutan harian.
Walaupun kedua-dua negara menjalankan operasi pembersihan selama beberapa dekad, periuk api lama masih tertanam di kawasan yang tidak ditanda dengan jelas.
Menurut tentera Thailand, 18 anggota tentera cedera pada 2025 akibat periuk api, dengan tujuh kehilangan anggota badan.
Salah satu insiden berlaku sebulan lalu di kawasan dipertikaikan di Sisaket, menyebabkan Bangkok menggantung rundingan damai yang ketika itu diusahakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Penyelaras di Pengawasan Periuk Api, Encik Yeshua Moser-Puangsuwan, berkata masalah utama kini ialah persoalan tentang asal usul periuk api yang mencederakan anggota Thailand.
“Persoalannya sekarang, dari mana datangnya periuk api ini dan siapa yang menanamnya?” katanya.
Selepas memeriksa 16 periuk api yang ditemui tentera Thailand, beliau mendapati semuanya buatan Soviet Union.
Thailand mendakwa periuk api itu baru ditanam oleh Kemboja, namun Phnom Penh menafikan dakwaan tersebut.
Negara itu menegaskan bahawa tentera Thailand sendiri memasuki kawasan ladang periuk api tinggalan lama.
Dalam mesyuarat di Geneva, Thailand menuduh Kemboja melanggar Perjanjian Ottawa yang mengharamkan periuk api antipersonel.
Thailand turut berkongsi rakaman video yang didakwa menunjukkan anggota Kemboja sedang berlatih menanam periuk api, serta laporan pemerhati Asean yang menyokong dakwaan Bangkok.
Encik Ly Thuch, Timbalan Presiden Penguasa Tindakan Periuk Api Kemboja berkata periuk api yang ditemui Thailand berada di kawasan kawalannya sendiri.
“Kami tidak mempunyai akses ke kawasan itu. Mustahil tentera kami menanam periuk api di situ,” katanya.
Beliau malah menuduh Thailand sengaja mencetuskan insiden untuk membenarkan tindakan ketenteraan.
“Mereka mencipta alasan untuk menyerang kami, seperti yang berlaku pada Julai,” katanya.
Pada 10 Disember tentera Thailand mengesahkan bahawa mereka melancarkan serangan udara terhadap sasaran di Kemboja, dan pertempuran kini merebak ke tujuh wilayah sempadan Thailand.
Pertempuran lima hari pada Julai lalu sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang sebelum gencatan senjata dicapai.
Namun ketegangan terus membuak, membawa kepada pertempuran baru minggu ini.
Di kawasan sempadan Kemboja, majoriti penduduk telah meninggalkan rumah mereka.
Encik Yem Mal, ketua masyarakat Roluos di Banteay Meanchey, berkata 95 peratus daripada 4,000 penduduk kampungnya telah dipindahkan.
Namun beliau memilih untuk kekal.
“Saya akan lari jika keadaan semakin teruk. Jika letupan membuatkan saya tidak boleh tidur, saya akan pergi,” katanya.
Selepas pertikaian melarat pada 9 Disember, Encik Yem Mal menggali sebuah kubu perlindungan bawah tanah kecil di halaman rumahnya – cukup untuk tujuh orang.
Pada 11 Disember, beliau dan jiran-jiran terpaksa berlindung di dalamnya apabila terdengar tembakan berdekatan.
Di Treas, Kemboja, Encik Chhem Sokha, 65 tahun, juga enggan meninggalkan tanahnya walaupun keluarganya sudah dipindahkan.
“Saya faham nyawa lebih penting, tetapi kehidupan akan menjadi sukar jika kami tinggalkan rumah,” katanya.
Menurut EncikJanes Imanuel Ginting dari World Vision Kemboja, lebih 130,000 penduduk kini ditempatkan di lebih 100 pusat pemindahan di enam wilayah Kemboja.
“Skala perpindahan ini terlalu besar dan terlalu pantas. Kekurangan makanan, air minum dan tempat perlindungan kini amat kritikal,” katanya.
Pertubuhan itu menyediakan makanan tambahan untuk wanita hamil, snek berkhasiat untuk kanak-kanak dan 12 ruang mesra kanak-kanak di wilayah Siem Reap.
Di pihak Thailand, tentera memberi amaran kepada penduduk di sepanjang sempadan agar tidak memasuki hutan.
“Apabila tentera kata jangan masuk, semua orang patuh,” kata penduduk tempatan, Encik Thongchai Thongmon, 47 tahun.
“Mereka yang meronda dan menyapu kawasan periuk api, jadi tiada siapa berani mengambil risiko,” tambahnya.
Insiden terkini sekali lagi merobek hubungan dua negara jiran yang berkongsi sejarah panjang perselisihan sempadan sepanjang 800 kilometer.
“Rakyat di kedua-dua negara sedang menderita. Tiada siapa mahukan perang. Biarkan kami hidup dalam harmoni,” kata Encik Chhem Sokha dalam nada merayu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg