Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian gencatan senjata Gaza gagal dicapai di Kahirah

Aug 26, 2024 | 1:08 PM
Penduduk Palestin memeriksa puing-puing bangunan yang runtuh di Bandar Hamad ekoran serangan udara Israel ke atas wilayah Khan Younis pada 24 Ogos.
Penduduk Palestin memeriksa puing-puing bangunan yang runtuh di Bandar Hamad ekoran serangan udara Israel ke atas wilayah Khan Younis pada 24 Ogos. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Tiada persetujuan dicapai dalam rundingan gencatan senjata Gaza di Kahirah, dengan kedua-duanya, Hamas dan Israel, tidak bersetuju dengan beberapa tolak ansur yang dikemukakan oleh pengantara, kata dua sumber keselamatan Mesir.

Ini menimbulkan keraguan tentang peluang kejayaan dalam usaha terkini yang disokong Amerika Syarikat untuk menamatkan perang lebih 10 bulan antara Israel dengan kumpulan Palestin itu.

Rundingan selama berbulan-bulan masih gagal menghasilkan persetujuan bagi menamatkan kempen ketenteraan Israel yang dahsyat di Gaza atau membebaskan saki-baki tebusan yang ditahan Hamas dalam serangannya ke atas selatan Israel pada 7 Oktober, yang mencetuskan perang tersebut.

Bercakap dalam satu sidang media di Halifax, Canada, pada 25 Ogos, Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Jake Sullivan, berkata Washington masih giat berbincang dengan perantara Mesir dan Qatar serta Israel untuk mencapai gencatan senjata di Gaza.

Perkara penting dalam rundingan berterusan yang menyaksikan Amerika, Mesir dan Qatar selaku perantara, termasuk kehadiran Israel di Koridor Philadelphi – kawasan sepanjang 14.5 kilometer di sempadan selatan Gaza dengan Mesir.

Pengantara mengemukakan beberapa pilihan kepada kehadiran tentera Israel di Koridor Philadelphi dan Koridor Netzarim, yang merentasi tengah-tengah Jaluran Gaza, tetapi mereka menolaknya, kata sumber Mesir.

Israel turut keberatan terhadap pembebasan beberapa tahanan Palestin yang dituntut Hamas, dan mahu mereka keluar dari Gaza selepas dibebaskan, tambah sumber itu.

Hamas berkata Israel telah menarik balik komitmen untuk mengundurkan tenteranya dari koridor tersebut dan mengemukakan syarat baru, termasuk pemeriksaan terhadap penduduk Palestin apabila mereka kembali ke kawasan utara selepas gencatan senjata bermula.

“Kami tidak akan menerima perbincangan mengenai penarikan balik daripada apa yang kami persetujui pada 2 Julai atau syarat baru,” kata pegawai Hamas, Encik Osama Hamdan.

Pada Julai, Hamas menerima cadangan Amerika untuk memulakan perbincangan mengenai pembebasan tebusan Israel, 16 hari selepas fasa pertama perjanjian yang bertujuan menamatkan perang Gaza, kata sumber kanan Hamas.

Pegawai kanan Hamas, Encik Izzat El-Reshiq, berkata sebarang perjanjian mesti menetapkan gencatan senjata kekal dan pengunduran penuh Israel dari Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg