Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian salur bantuan kemanusiaan ke Gaza masih diusahakan: AS

Oct 20, 2023 | 12:09 PM
SIAP SEDIA: Sekitar 100 trak yang sarat membawa bantuan kemanusiaan beratur panjang di pintu masuk lintasan Rafah di bahagian Mesir untuk disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza.
SIAP SEDIA: Sekitar 100 trak yang sarat membawa bantuan kemanusiaan beratur panjang di pintu masuk lintasan Rafah di bahagian Mesir untuk disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Amerika Syarikat masih mengusahakan butiran perjanjian dengan Israel dan Mesir pada Khamis untuk menyalurkan bantuan ke Jaluran Gaza di Palestin ketika Mesir giat membaiki jalan raya yang rosak sebelum lintasan Rafah dijangka dibuka semula tidak lama lagi.

Rafah adalah satu-satunya lintasan keluar dari Gaza yang tidak dikawal oleh Israel tetapi telah ditutup hampir dua minggu sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober.

Rumah Putih berkata pada Rabu bahawa persetujuan telah dicapai bagi membolehkan sehingga 20 trak bergerak masuk ke Gaza dan lebih banyak lagi trak kemudiannya.

Bagaimanapun, Duta Khas Amerika untuk Isu Kemanusiaan Timur Tengah yang baru dilantik, Encik David Satterfield, pada Khamis masih mengadakan pertemuan dengan pegawai Israel dan Mesir untuk “merundingkan kaedah yang tepat” perjanjian itu, kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Matthew Miller.

“Kami mahu melihat bantuan kemanusiaan berterusan disalurkan ke Gaza untuk manfaat orang awam yang tidak bersalah,” kata Encik Miller.

Menurut beliau, Israel menzahirkan kebimbangan bahawa Hamas boleh mengalihkan bantuan itu, yang Washington percaya adalah sahih.

Peperangan antara kedua-dua pihak bermula selepas kumpulan militan melancarkan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober. Lebih 1,400 orang terbunuh.

Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Semenanjung Gaza, yang diperintah oleh Hamas. Israel berkata ia mahu memusnahkan kumpulan militan itu.

Tindakan tentera Israel telah membunuh hampir 3,800 orang di Gaza.

Aktiviti diplomatik di sekitar pembukaan lintasan Rafah telah dipergiat, dengan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, menerima kunjungan jeneral tertinggi Amerika yang mengawasi tenteranya di Timur Tengah dan Raja Abdullah dari Jordan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyeru Kahirah supaya memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan secara berskala dan berterusan.

Mesir juga akan menganjurkan sidang puncak pada Sabtu mengenai krisis Gaza dan masa depan isu Palestin, yang dijangka dihadiri oleh Encik Guterres.

“Mesir berusaha membawa masuk bantuan kemanusiaan yang bertimbun di bahagian Mesir dan berharap agar penyaluran ini berterusan, kekal dan tanpa gangguan,” kata Menteri Luar Mesir, Encik Sameh Shoukry, ketika bercakap dengan Encik Guterres.

Kebanyakan penduduk Gaza bergantung kepada bantuan sebelum konflik bermula dengan sekitar 100 trak bergerak masuk setiap hari untuk memberikan bantuan kemanusiaan ke kawasan itu, menurut PBB. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg