Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rompakan di Louvre bongkar kelemahan keselamatan muzium tersohor dunia

Oct 23, 2025 | 12:51 PM
Rompakan, muzium di Louvre, Perancis, kelemahan keselamatan
Para pelawat berdiri di belakang tali pengadang keselamatan di Salle des Etats, sambil merakam gambar lukisan ‘Mona Lisa’ karya Leonardo da Vinci di Muzium Louvre pada hari pertama ia dibuka semula kepada orang ramai sejak kes rompakan minggu lalu. - Foto REUTERS

PARIS: Pihak pengurusan Muzium Louvre mengakui wujudnya kelemahan besar dalam sistem keselamatannya selepas sekumpulan pencuri berjaya melarikan perhiasan mahkota Perancis bernilai 88 juta euro ($132 juta) pada 19 Oktober.

Pengarah Louvre, Cik Laurence des Cars, mendedahkan kepada Senat Perancis bahawa sistem kamera litar tertutup (CCTV) di luar bangunan muzium itu lemah dan telah lama tidak diperbaharui.

Lebih mengejutkan, kamera yang sepatutnya memantau dinding luar tempat kumpulan pencuri memecah masuk sebenarnya menghala ke arah lain dan tidak merakam laluan ke Galerie d’Apollon, lokasi khazanah bersejarah itu disimpan.

“Kami gagal melindungi khazanah bersejarah ini,” ujar Cik des Cars dengan nada kesal, sambil menegaskan bahawa “tiada siapa yang benar-benar kebal daripada penjenayah kejam, bahkan Louvre sendiri tidak terkecuali”.

Pendedahan berani Cik des Cars itu mematahkan kenyataan beberapa menteri yang sebelum ini menafikan wujud sebarang kelemahan dalam sistem keselamatan di muzium itu.

Beliau menyifatkan sistem pemantauan luar Louvre sebagai “sangat tidak memuaskan” dan menegaskan bahawa beberapa bahagian muzium itu “terlalu usang untuk disesuaikan dengan teknologi moden”.

Walaupun Louvre menerima lebih 8.7 juta pengunjung pada 2024, pelaburan bagi keselamatan dikatakan terlalu perlahan akibat kekangan bajet.

Cik Des Cars, yang memegang jawatan sejak 2021, berkata beliau telah dimaklumkan sejak awal tentang peralatan keselamatan yang sudah usang berbeza dengan sistem moden di Musee d’Orsay, tempat beliau berkhidmat sebelum ini.

Beberapa anggota Senat yang hadir dalam sesi itu menyatakan rasa tidak percaya apabila dimaklumkan bahawa hanya terdapat satu kamera pada dinding luar menghadap Sungai Seine, dan kamera itu pula menghala ke arah yang salah.

Akibatnya, trak yang digunakan kumpulan pencuri untuk membawa tangga mekanikal ke tingkat satu langsung tidak dikesan.

“Ada kelemahan ketara di Louvre dan saya mengakuinya sepenuhnya,” kata Cik des Cars.

“Kami tidak sempat mengesan ketibaan mereka lebih awal, dan kelemahan dalam sistem perlindungan perimeter kami sememangnya sudah lama diketahui.”

Dalam tempoh kurang 10 minit, kumpulan empat lelaki itu berjaya memasuki muzium terkenal di dunia itu dan melarikan lapan perhiasan diraja, termasuk kalung berlian dan zamrud yang pernah dihadiahkan oleh Maharaja Napoleon kepada isterinya.

Ketika melarikan diri, mereka menjatuhkan mahkota bertatahkan berlian abad ke-19 milik Permaisuri Eugenie.

Mahkota itu ditemui semula tetapi dalam keadaan rosak, dipercayai dihancurkan ketika mereka memaksanya keluar dari bekas pameran.

Menurut Cik des Cars, penilaian awal menunjukkan pemulihan masih boleh dilakukan, namun ia akan menjadi proses terperinci dan mengambil masa.

Selain kekurangan kamera, Louvre juga berdepan masalah pengurangan kakitangan keselamatan dan penyeliaan sejak sedekad lalu.

Prasarana lama muzium itu, yang dahulunya merupakan istana diraja, menyukarkan pemasangan peralatan moden.

Cik Des Cars berkata kerja-kerja menaik taraf keselamatan dijadual bermula pada awal 2026, namun mengakui ia akan menjadi proses mencabar.

Beliau turut mengesahkan telah menawarkan peletakan jawatan kepada Kementerian Kebudayaan Perancis selepas rompakan itu, tetapi permohonannya ditolak.

“Saya telah lama memberi amaran tentang keadaan Louvre, namun kini kegagalan itu benar-benar berlaku,” katanya dengan nada kecewa.

Meskipun dikritik hebat, Cik des Cars memuji tindakan pantas pasukan keselamatan yang segera mengosongkan muzium sebaik menyedari pencerobohan berlaku.

Muzium dibuka semula kepada umum dua hari kemudian, namun galeri yang menempatkan permata itu kekal ditutup untuk siasatan.

Dalam perkembangan lain, pakar jenayah seni mendedahkan satu taktik licik digunakan kumpulan pencuri Louvre memakai rompi keselamatan neon seperti pekerja penyelenggaraan.

Pakar jenayah seni Belanda, Encik Arthur Brand, menyifatkan penyamaran itu sebagai “helah paling lama dalam dunia jenayah”.

Beliau menjelaskan, “Apabila seseorang berpakaian seperti polis, pekerja pembinaan, atau paderi, orang ramai menganggap ia tidak mencurigakan.”

Menurut pakar fesyen Cik Caroline Stevenson dari Kolej Fesyen London, pakaian keselamatan berwarna terang kini mempunyai “paradoks sosial” – ia sepatutnya menjadikan pemakai lebih kelihatan, tetapi dalam konteks sosial, menjadikan mereka tidak diperhatikan.

Profesor psikologi pekerjaan di Universiti Birmingham, Dr Craig Jackson, menambah bahawa rompi keselamatan kini dianggap simbol autoriti, seolah-olah “selimut yang menjadikan pemakainya tidak kelihatan”.

“Apabila orang melihat sekumpulan lelaki berjaket keselamatan, mereka biasanya menyangka mereka pekerja dan tidak berani menegur.

“Faktor ‘malu sosial’ ini memberi kelebihan besar kepada penjenayah,” katanya.

Fenomena itu menjelaskan bagaimana dua daripada empat pencuri Louvre boleh beroperasi di kawasan sibuk tanpa disedari, walaupun berpakaian terang di kawasan larangan.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Laurent Nunez, berkata beliau yakin kumpulan tersebut akan ditangkap tidak lama lagi.

Pendakwa raya percaya pencuri itu bertindak atas arahan sebuah organisasi jenayah antarabangsa.

Rompakan itu sekali lagi mencetuskan persoalan besar: Bagaimana muzium paling terkenal dan paling dilawati di dunia tempat tersimpannya Mona Lisa boleh diceroboh dengan begitu mudah.

Cik Des Cars menutup kenyataannya dengan penuh kesal:

“Kami telah mengalami kegagalan besar di Louvre, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya. Tetapi ini juga peringatan bahawa tiada khazanah budaya yang benar-benar kebal daripada jenayah.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg