Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permukaan jalan raya di China cecah 70°C

Jun 2, 2025 | 5:05 PM
Beberapa minggu sebelum musim panas secara rasmi bermula di Hemisfera Utara, pelbagai petanda sudah muncul yang menunjukkan cuaca panas terik bakal melanda Amerika Utara, Eropah, dan Asia dalam beberapa bulan akan datang.
Beberapa minggu sebelum musim panas secara rasmi bermula di Hemisfera Utara, pelbagai petanda sudah muncul yang menunjukkan cuaca panas terik bakal melanda Amerika Utara, Eropah, dan Asia dalam beberapa bulan akan datang. - Foto AFP

WASHINGTON: Di utara China, suhu permukaan jalan raya telah mencecah 70 darjah Celsius.

Di kawasan Central Valley California pula, suhu melebihi 37 darjah Celsius sementara di kebanyakan kawasan Sepanyol, suhu melonjak begitu tinggi sehingga pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada pelancong.

Beberapa minggu sebelum musim panas secara rasmi bermula di Hemisfera Utara, pelbagai petanda sudah muncul yang menunjukkan cuaca panas terik bakal melanda benua Amerika Utara, Eropah, dan Asia dalam beberapa bulan akan datang.

Malah, terdapat kemungkinan musim panas kali ini bakal memecahkan rekod suhu tinggi sejagat, kata pakar kaji iklim Universiti California, Los Angeles (UCLA), Dr Daniel Swain.

Keadaan cuaca terik itu dijangka memberi tekanan besar kepada grid elektrik, mengakibatkan kerosakan pada tanaman dan melonjakkan harga tenaga merentasi tiga benua itu.

Cuaca panas dan kering turut meningkatkan risiko kebakaran hutan, dengan beberapa kejadian dilaporkan berlaku di Alberta, pusat industri minyak Canada.

Haba melampau dijangka menyebabkan kerugian tahunan sekitar AS$200 bilion ($258 bilion) di Amerika Syarikat menjelang 2030, dan jumlah itu mungkin berganda menjelang 2050, menurut satu unjuran.

Ketiga-tiga benua di Hemisfera Utara dijangka mengalami suhu panas terik akibat perubahan iklim – khususnya di bahagian barat dan tengah Amerika serta Canada, selain kawasan barat dan utara Eropah, kata Dr Swain.

Menurut Dr Swain, oleh kerana atmosfera yang lebih panas mampu menampung lebih banyak kelembapan, kawasan-kawasan itu juga berisiko mengalami hujan lebat dan banjir.

“Saya menjangka akan berlaku lebih banyak kejadian hujan lebat luar biasa serta banjir besar, khususnya di kawasan yang sering ditimpa hujan lebat pada musim panas,” katanya.

“Peningkatan dalam kejadian haba melampau merupakan gejala paling ketara akibat perubahan iklim,” kata profesor di UCLA yang mengkaji perangkaan di sebalik perubahan iklim, Dr Karen McKinnon.

“Malah perubahan suhu yang kelihatan kecil – hanya beberapa darjah – boleh menyebabkan musim panas terasa jauh lebih terik.”

Di Lautan Atlantik, peningkatan suhu akibat cuaca panas kini turut memanaskan permukaan laut, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya musim ribut taufan yang lebih aktif daripada biasa.

Ketiadaan fenomena El Nino yang membawa angin kuat juga bermakna lebih banyak taufan dan ribut tropika mungkin terbentuk di kawasan Atlantik dan Caribbean, termasuk di sekitar beberapa kawasan perairan Amerika yang penting bagi industri minyak dan gas.

Sejak 1959, peningkatan suhu panas yang ketara pada musim panas telah direkodkan terutama di Eropah, serta di beberapa kawasan di barat laut Pasifik, timur laut Canada, dan juga di sebahagian kawasan di Mexico, Afrika, dan Timur Tengah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg