MUMBAI: Nahas pesawat paling dahsyat di India dalam lebih sedekad dijangka memberi kesan besar kepada industri insurans penerbangan dan membawa pada salah satu tuntutan insurans paling tinggi di negara itu.
Ia dianggar mencecah sekitar AS$475 juta ($608 juta).
“Tuntutan insurans nahas penerbangan itu mungkin antara yang terbesar dalam sejarah India,” kata Encik Ramaswamy Narayanan, Pengerusi dan Pengarah Urusan, General Insurance Corporation of India, salah sebuah syarikat yang menyediakan perlindungan insurans kepada Air India.
Tuntutan bagi badan pesawat dan enjinnya dianggarkan sekitar AS$125 juta, kata Encik Narayanan.
Beliau menganggarkan tuntutan liabiliti tambahan ke atas kematian penumpang dan pihak lain akan mencecah sekitar AS$350 juta.
Menurut syarikat analitik data yang berpangkalan di London, GlobalData, jumlah itu adalah lebih tiga kali ganda daripada premium tahunan bagi industri penerbangan India pada 2023.
Kesan kewangan daripada nahas yang meragut nyawa 241 penumpang pesawat serta beberapa lagi mangsa apabila ia terhempas di kawasan padat penduduk di Ahmedabad, barat India, pada 12 Jun, akan dirasai dalam pasaran insurans penerbangan sejagat serta insurans semula.
Ia turut dijangka menyebabkan kos insurans bagi syarikat penerbangan di India meningkat.
Menurut beberapa pihak yang mengetahui tentang perkara tersebut, premium insurans bagi industri penerbangan dijangka bertambah di India, sama ada kini atau ketika polisi diperbaharui.
Berhubung pembayaran insurans Air India, jumlah keseluruhan mungkin meningkat memandangkan terdapat warga asing yang terkorban dalam nahas tersebut.
Tuntutan mereka akan dihitung mengikut peraturan dalam bidang kuasa masing-masing, tambah sumber tersebut yang enggan dinamakan dalam isu yang bersifat peribadi.
Jurucakap Air India tidak segera mengulas mengenai perkara itu.
Syarikat insurans akan menyelesaikan tuntutan melibatkan pesawat itu terlebih dahulu, diikuti tuntutan liabiliti, tambah Encik Narayanan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg