Skuad tenis meja Singapura akan memanfaatkan kuasa belia bagi menamatkan ‘kemarau’ pingat emas acara berpasukan wanita di Sukan SEA dari 9 hingga 20 Disember di Thailand.
Sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur, pasukan wanita tidak meraih sebarang gelaran juara di sukan Asia Tenggara itu.
Kali ini, Singapura akan bergantung kepada skuad muda dengan purata usia 20 tahun untuk merampas mahkota daripada Thailand – juara pasukan wanita pada dua temasya sukan terakhir, lapor The Straits Times.
Skuad itu akan diketuai oleh Zeng Jian, 28 tahun, yang baru-baru ini menewaskan dua pemain terbaik Jepun iaitu Mima Ito, yang berada di kedudukan ke-9 dunia, dan Satsuki Odo, di kedudukan ke-13.
Menyertai Zeng yang berada di kedudukan ke-40 ialah Ser Lin Qian, 19 tahun; dan pemain baru, Tan Zhao Yun, 20 tahun; Chloe Lai, 18 tahun; dan Loy Ming Ying, 15 tahun.
Pasukan lelaki, dengan purata umur 22 tahun, terdiri daripada pemenang tiga emas edisi lalu, Izaac Quek, 19 tahun; pemain veteran, Clarence Chew, 29 tahun; Koen Pang, 23 tahun; Josh Chua, 23 tahun; dan pemain baru, Ellsworth Le, 16 tahun.
Barisan pemain itu diumumkan oleh Persatuan Tenis Meja Singapura (STTA) pada sesi medianya di OCBC Arena pada 3 November.
Walaupun jurulatih kebangsaan wanita, Jing Junhong, menggambarkan memenangi gelaran berpasukan sebagai “cabaran besar”, namun skuad itu dirangsang dengan pencapaian pingat gangsa bersama pada Kejohanan Berpasukan Tenis Meja Asia Oktober lalu.
Ketika itu, Singapura muncul sebagai pasukan Asia Tenggara yang berprestasi terbaik.
“Pasti akan ada tekanan... skuad kami sebelum ini, kami mempunyai Zhou Jingyi dan Wong Xin Ru, yang kedua-duanya telah meninggalkan pasukan,” kata Jing, yang berada di Frankfurt bersama Zeng dan telah menyertai sesi media melalui Zoom.
“Mujurlah pemain semasa seperti Ser, Tan dan Ming Ying menunjukkan kemahiran mereka dalam tempoh dua tahun lalu, termasuk bertanding di acara Tenis Meja Dunia (WTT) dan kemenangan pingat gangsa di kejohanan Asia.
“Itu benar-benar meningkatan keyakinan kami. Tetapi sudah tentu, kami akan membawa semangat juang dan sikap ‘bersedia untuk belajar’, terutamanya dengan pemain muda kami.
“Kesukaran sememangnya tinggi, tetapi kami tidak takut dan akan berjuang, dengan pemain muda sebagai aset terbesar kami,” tambah Jing.
Presiden STTA, Poh Li San, berkata:
“Kami telah banyak memikirkan tentang barisan pemain kami kali ini – kami perlu mengimbangi beberapa perkara.
“Barisan pemain ini mencerminkan pelan pembaharuan STTA.
“Pendekatan kami adalah untuk mengisi pasukan dengan gabungan pemain senior yang berpengalaman seperti Zeng Jian – yang telah bertanding di Sukan Olimpik dan banyak pertandingan di seluruh dunia – dengan pemain yang lebih muda.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg