BANGKOK/PHNOM PENH: Pertempuran di sempadan terus meletus buat hari kelima berturut-turut, dengan kedua-dua pihak saling berbalas tembakan dan tuduhan, meskipun rundingan damai antara pemimpin Thailand dengan Kemboja sedang berlangsung di Malaysia pada 28 Julai.
Dalam kenyataan rasmi, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Cik Maly Socheata berkata: “Ini hari kelima Thailand menceroboh wilayah Kemboja dengan senjata berat dan tentera yang ramai untuk merampas tanah kami.”
Beliau mendakwa tentera Thailand sedang memperhebatkan serangan di kawasan kuil yang menjadi pertikaian.
Pihak tentera Thailand pula menuduh penembak tepat Kemboja bersembunyi di dalam kompleks kuil yang dipertikaikan dan mendakwa Phnom Penh menghantar tambahan tentera serta melancarkan roket ke wilayah Thailand.
“Situasi kekal amat tegang, dan terdapat kemungkinan Kemboja sedang bersiap sedia untuk operasi ketenteraan besar sebelum memasuki rundingan,” menurut kenyataan tentera Thailand.
Konflik ini telah menyebabkan lebih 30 nyawa terkorban termasuk 13 orang awam di Thailand dan lapan orang di Kemboja.
Lebih 200,000 penduduk dari kedua-dua negara telah dipindahkan dari kawasan sempadan.
Pihak berkuasa Thailand melaporkan bahawa pertempuran berlaku di tujuh kawasan sepanjang sempadan yang terdiri daripada hutan tebal dan ladang getah serta sawah padi.
Dalam wilayah Sisaket, wartawan Reuters mendengar bunyi tembakan meriam berterusan sepanjang 27 Julai tetapi tidak jelas dari mana arah ia dilepaskan.
Kementerian Luar Thailand turut menuduh Kemboja mengebom rumah orang awam di wilayah Surin.
“Sebarang gencatan senjata tidak dapat dicapai jika Kemboja terus bertindak tanpa niat baik,” kata kenyataan itu.
Sebaliknya, Kemboja menuduh Thailand melakukan serangan yang terancang dan sengaja.
Phnom Penh turut mendakwa tentera Thailand menggunakan peluru berangkai yang diharamkan secara antarabangsa, sementara Thailand menuduh Kemboja menyasarkan hospital dan klinik kesihatan.
Sebuah klinik kerajaan di Kemboja yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan dilaporkan rosak teruk akibat terkena tembakan artileri pada 26 Julai.
Tingkapnya pecah, dindingnya runtuh, dan wayar elektrik terdedah berselirat di sekeliling bangunan.
Penduduk di kawasan itu telah dipindahkan lebih awal dan hanya beberapa lelaki tinggal untuk menjaga kediaman mereka, berlindung dalam kubu pertahanan bawah tanah buatan sendiri.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau percaya kedua-dua pemimpin Thailand dan Kemboja mahu menamatkan pertempuran selepas beliau menghubungi mereka secara berasingan dan memberi amaran bahawa tiada perjanjian perdagangan akan dimeterai selagi pertempuran diteruskan.
“Apabila semuanya selesai dan keamanan dicapai, saya menantikan untuk menyelesaikan perjanjian perdagangan kita bersama,” kata Encik Trump di laman sosial Truth Social pada 26 Julai.
Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet dalam catatan Facebook berkata beliau telah bersetuju dengan cadangan Presiden Trump untuk gencatan senjata segera dan tanpa syarat.
Beliau turut menyatakan sokongan kepada cadangan terdahulu dari Malaysia.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio mengesahkan kehadiran pegawai Jabatan Negara Amerika di Malaysia untuk membantu proses rundingan.
“Kami mahu konflik ini tamat secepat mungkin,” katanya.
Pada hari yang sama rundingan dijangka berlangsung, Raja Thailand Maha Vajiralongkorn menyambut ulang tahun ke-73.
Namun, sambutan rasmi di Istana Besar Bangkok telah dibatalkan susulan konflik yang sedang memuncak.
Notis rasmi pembatalan itu diterbitkan dalam Warta Diraja Thailand.
Kerajaan Thailand turut mengeluarkan amaran tegas kepada rakyatnya agar tidak melakukan sebarang bentuk keganasan atau diskriminasi terhadap pekerja migran Kemboja yang berada di negara itu.
Thailand mengesahkan seramai 22 rakyatnya telah terkorban, termasuk lapan anggota tentera, sementara Kemboja mencatatkan lima kematian tentera dan lapan orang awam.
Tentera Thailand turut memulangkan mayat 12 anggota tentera Kemboja yang terbunuh dalam pertempuran.
Walaupun rundingan damai sedang dijalankan, dentuman artileri masih kedengaran dan penduduk di kawasan sempadan terus hidup dalam ketakutan.
“Bagus kalau Amerika benar-benar desak untuk gencatan senjata. Itu akan bawa keamanan,” kata Encik Thavorn Toosawan, penduduk Sisaket, kepada Reuters dengan nada penuh harapan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg