BANGKOK: Thailand menyatakan kesediaan untuk menerima peranan Malaysia sebagai pengantara dalam usaha menyelesaikan konflik bersenjata yang semakin meruncing dengan Kemboja, kata jurucakap Kementerian Luar Thailand kepada AFP pada 25 Julai.
Kedua-dua negara jiran itu kini terperangkap dalam pertempuran paling dahsyat dalam lebih sedekad, bertempur dengan meriam dan tentera darat di beberapa lokasi di sepanjang sempadan sepanjang 800 kilometer yang dipertikaikan kedaulatannya sejak lebih 100 tahun.
“Kami bersedia, jika Kemboja ingin menyelesaikan perkara ini melalui saluran diplomatik, secara dua hala, atau melalui Malaysia. Kami terbuka. Tetapi setakat ini, kami belum menerima sebarang maklum balas,” kata Encik Nikorndej Balankura kepada AFP.
Malaysia kini memegang jawatan pengerusi Asean blok serantau yang dianggotai oleh kedua-dua Thailand dan Kemboja. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kenyataan Facebook pada lewat malam 24 Julai berkata, beliau telah menghubungi pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet.
Datuk Anwar menggesa kedua-dua pihak menghentikan pertempuran dan memberi laluan kepada penyelesaian diplomatik. “Saya mengalu-alukan isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan oleh Bangkok dan Phnom Penh untuk mempertimbangkan jalan ini,” tulis Datuk Anwar.
Menurut Encik Nikorndej, dalam perbualan itu Datuk Anwar menyuarakan hasrat untuk meneroka “sama ada kita boleh meredakan ketegangan... dan sama ada ada kemungkinan untuk mengadakan rundingan.”
Namun begitu, Thailand dilaporkan lebih cenderung kepada penyelesaian dua hala dan menolak penglibatan pihak ketiga buat masa ini. “Saya rasa kita belum perlukan pengantaraan dari negara ketiga,” kata Encik Nikorndej kepada Reuters dalam satu wawancara. “Kami tetap dengan pendirian bahawa mekanisme dua hala adalah jalan terbaik. Ini adalah konfrontasi antara dua negara. Tetapi pintu kami tetap terbuka.”
Thailand juga menegaskan bahawa sebarang usaha damai hanya boleh dimulakan selepas Kemboja menghentikan serangan terlebih dahulu.
Konflik tercetus awal pagi 24 Julai apabila kedua-dua negara menuduh satu sama lain memulakan pertempuran di kawasan yang dipertikaikan. Insiden yang pada awalnya hanya melibatkan tembakan ringan pantas berubah menjadi serangan meriam di beberapa lokasi sepanjang sempadan.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 16 orang telah terbunuh, kebanyakannya orang awam Thailand, menjadikan konflik ini yang paling berdarah antara kedua-dua negara sejak 2011.
Pertempuran berlanjutan hingga hari kedua pada 25 Julai, dengan kedua-dua pihak saling membalas serangan meriam. Encik Phumtham memberi amaran bahawa konflik ini berisiko bertukar menjadi peperangan.
Pertikaian juga bertambah tegang selepas Thailand memanggil pulang dutanya dari Phnom Penh pada 23 Julai dan mengusir duta Kemboja sebagai respons kepada insiden letupan periuk api yang mencederakan beberapa tentera Thai.
Thailand mendakwa periuk api itu dipasang baru-baru ini oleh Kemboja dakwaan yang disangkal keras oleh Phnom Penh.
Sementara itu, Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, pada 24 Julai menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar dan menuduh Thailand melakukan “agresi ketenteraan yang disengajakan dan tidak diprovokasi.”
PBB mengesahkan bahawa satu mesyuarat tertutup akan diadakan pada 25 Julai untuk membincangkan konflik ini.
Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, memainkan peranan penting dalam mendorong dialog. Anwar menekankan bahawa sebagai keluarga ASEAN, penyelesaian damai harus diutamakan. “Jika keluarga ASEAN ingin memudahkan kembalinya rundingan dua hala yang membina, kami juga menyambut baik,” kata Encik Nikorndej.
Selain Malaysia, Amerika Syarikat dan China turut menyeru gencatan senjata segera dan penyelesaian melalui rundingan. Bagaimanapun, Thailand berpegang kepada pendekatan diplomatik dua hala, sekurang-kurangnya buat masa ini. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg